Prolog

2.4K 100 24
                                    

BAM! Pintu dihempas sekuat hatinya. Melampiaskan rasa amarahnya yang menggunung terhadap manusia-manusia di luar sekeping papan kayu itu. Ke hulu dan ke hilir dia melangkah entah arah mana sebenarnya mahu dia tuju sambil bibir menggumam sumpah seranah.

"Abang…"

Kepala terkalih semula menatap marah pintu yang tidak bernyawa itu. Semakin mendidih hatinya. Automatik tangan terkepal penumbuk.

"Abang, jangan macam ni. Buka pintu ni. Kita sembang."
Dia tersenyum sinis. Entah di mana ayat yang terasa lawak tapi sumpah hatinya terusik.

"Abang…"

Sekali lagi suara halus itu tak mengalah mahu memujuk. Lembut sahaja dan pasti yang mendengar akan terpujuk tenang hatinya tapi kali ini untuk dia, tidak lagi. Sungguh, dia terlalu marah.

Sedangkan yang berada di luar dari tadi langsung tak berkurang detak jantung menghempas dadanya. Sehingga terasa pedih hulu hati. Semuanya salah dia! Dia punca!

"Adik minta maaf. Abang…" Mata yang berkaca-kaca diangkat menatap pintu. Andai dapat dia melihat terus orang di sebalik pintu itu, tidaklah sesakit ini rasanya.

"Maryam…"

Kepala laju menoleh dan serentak itu juga tangan laju menyeka cepat air mata yang menitis-nitis di pipi putihnya. "Ibu… abang marah adik."

Wanita berusia lewat 40an itu tersenyum nipis. Tenang raut wajahnya. Kepala si anak gadis diusap-usap, memujuk. "Biarkan. Nanti abang cool down. Macam adik tak biasa, kan?"

Bibir semakin tercebik. Tidak berhenti air mata menitis-nitis. Sekejap-sekejap mata mengerling ke arah pintu yang tertutup rapat. "Tapi kali ni… abang… dia betul-betul marah…"

Kepala menunduk lemah, selemah jiwanya. Menyakitkan hati lelaki yang selama ini menjadi sebelah sayap pelindungnya, bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Lebih lagi bila hati sayapnya itu terlalu rapuh sejak kebelakangan ini.

"Ibu turun dulu. Sekejap lagi adik pun turun, okey? Kalau abang tak nak, jangan paksa. Bagi dia ruang."

Ubun-ubunnya dikucup sebelum wanita itu melangkah meninggalkan dia kembali sendiri di koridor itu. Tegak berdiri dan masih mengharap.
Keluhan dilepaskan. Susahlah kalau dah merajuk ni. Kalau tak merajuk pun dah susah nak bercakap, inikan pula bila dah merajuk.

"Abang!"

Pap! Pap! Pap! Geram, sekuat hatinya dia menumbuk-numbuk permukaan pintu. Habis merah setiap kekura jarinya, dia tak peduli dah.

"Susah sangat ke nak terima? Hah? Nak hidup sorang-sorang sampai mati ke?"

Klak!

Automatik kaki terundur beberapa langkah ke belakang. Matanya bulat memandang susuk tubuh yang tegak berdiri di depannya. Kalau sahaja renungan tajam itu mampu membunuh, Maryam dah temui ajal dah beberapa minit sebelum ini.

"Abang lebih rela mati reput sendiri dari hidup dalam neraka dengan perempuan gila tu!" Keras suaranya menekan setiap patah perkataan yang meluncur keluar dari bibirnya.

Maryam mengeluh. Nafasnya yang tersekat-sekat akibat terkejut tadi, berjaya juga dilepaskan. Matanya redup merenung muka tegang si abang.

"Niat dia baik…"

"Huh, baik?" Lelaki itu ketawa sinis. Tergeleng-geleng kepalanya. Bibir dibasahkan dengan lidah. "Kalau sekarang pun dia dah memalukan abang, adik rasa makhluk macam tu layak ke masuk dalam hidup abang?"

"Adik tak nampak di mana salahnya dia…"

"Dia lamar abang depan semua orang! Dekat mana yang tak salahnya?!"

Drama Queen untuk Introvert *Ebook* Where stories live. Discover now