PUAN Nawal dan Maryam sedang berada di dapur ketika Eshal menguak pintu rumahnya sendiri di Kuala Lumpur itu. Baru sahaja pulang dari kerja. Pagi-pagi tadi Puan Nawal dan Maryam muncul di depan pintu rumahnya dari Janda Baik. Katanya kerana mengikut Encik Emir yang ada perbincangan dengan rakan niaganya di sini.
Dari pintu utama Eshal dah boleh nampak Puan Nawal dan Maryam di dapur. Rumahnya tidaklah besar. Cuma sebuah unit kondo jenis duplex sahaja. Ruang tamu dan dapur di bawah dan tiga bilik tidur di atas. Selesa untuk Eshal yang masih bujang yang hanya sesekali sahaja pulang ke rumah. Kebanyakan hari boleh dikatakan Eshal akan pulang ke Janda Baik memandang Eshal boleh bekerja dari rumah sahaja.
“Assalammualaikum, ibu,” tegur Eshal seraya memeluk sebelah bahu Puan Nawal. Sebelah lagi tangan menyalam tangan Puan Nawal. Pada Maryam hanya dijelirkan sahaja lidahnya, sengaja mengusik. Marah pun masih berbaki pada Maryam yang telah membuat onar di dalam hidupnya yang aman damai sebelum ini.
“Waalaikumussalam. Baru balik? Kata masuk pejabat? Sekejapnya?” soal Puan Nawal seraya mengerling ke arah jam di dinding dapur Eshal. Dapur bujang. Kabinet dapur sahaja gah dan nampak moden namun kosong. Bersih berkilat tanda tidak digunakan langsung.
“Siap kerja baliklah. Lagi pun ibu ada dekat rumah.”
Maryam menoleh. “Adik pun ada.”
Eshal menjeling. Malas nak layan Maryam. Mogok.
“Ibu... tengok abang tu...”
Puan Nawal ketawa kecil. Tangan kembali sibuk mengasing-ngasingkan barang masakan yang dia pesan dalam talian dan terus dihantar ke depan pintu rumah Eshal tadi. Senang. Tak perlu bersesak dengan manusia lain.
Eshal memanjangkan lehernya. Mata meliar pada barang-barang masaka yang agak banyak di atas meja dapur. “Banyaknya beli barang? Lama ke ibu duduk sini?”
“Tak. Esok ayah nak melawat resort dia. Kami balik malam ni.”
“Habis tu ni semua? Masak untuk lunch? Kenapa banyak sangat?”
Maryam sembunyi senyum. Ikan-ikan mentah dibawa ke sinki. Baik dia lari awal-awal. Nanti makin marahlah Eshal padanya.
“Eshal naiklah. Mandi ke, berehat ke... sekejap lagi turun balik.” Puan Nawal menghalau. Rimas pula dia bila Eshal menempel sahaja di sebelahnya. Nak bergerak buat kerja laju sikit pun susah.
“Okey. Eshal naik sekejap, ibu. Sambung kerja sikit aje lagi. Weh, budak!” Eshal menolak belakang bahu Maryam dengan jari telunjuknya. Tergerak ke depan tubuh kecil itu.
“Eshal...” Suara Puan Nawal meleret-leret. Kurang senang dengan cara Eshal. Sengaja nak menyakat adik.
Maryam merengus seraya berpaling. Masam mencuka wajahnya. “Apa?”
“Masak sedap-sedap. Lepas tu cuci balik dapur abang ni,” arah Eshal sebelum dia berpaling dan menyusun langkah ke arah tangga.
Maryam menjelir lidah. Mengejek walaupun hanya belakang tubuh Eshal yang dapat diejek. Geram! Tunggulah apa nasib Eshal sekejap lagi. Huh!
Ding! Dong!
Bunyi loceng rumahnya membuatkan Eshal berhenti langkah. Kepala menoleh, memandang ke arah pintu utama. Dilihatnya Maryam sedang berjalan ke arah pintu dan Eshal meneruskan langkahnya ke biliknya. Tombol pintu dipulas dan dia hilang masuk ke dalam. Mungkin sahaja Encik Emir sudah pulang.
Beg laptop diletakkan di atas meja kerjanya. Wallet dan kunci kereta juga diletakkan di atas meja. Jam di pergelangan tangan dibuka dan diletakkan di sisi wallet. Telefon dikeluarkan dari kocek seluar. Skrin disentuh. Ada beberapa mesej diterima. Dibuka dan ditolak skrin ke atas melihat setiap nama yang keluar.
YOU ARE READING
Drama Queen untuk Introvert *Ebook*
रोमांसCintakan orang yang tak cintakan kita? Eh? Kisah? Memang tiada rasa suka pun pada si introvert itu pada awalnya. Hanya sekadar mahu mencabar diri. Lebih lagi si introvert itu bila saat bersamanya sahaja, mulut bukan main laser lagi! Tetapi itulah...