Rani Ledang

73 1 0
                                    

"Mariah Rahim, pelakon terkenal Malaysia mengaku diganggu toyol"

            Aku meneliti artikel yang baru sahaja dimuat naik di laman web Pisang Goreng. Tidak dinafikan tajuk yang dipilih Qahir laju sahaja memancing pembaca untuk menekan pautan artikel itu tetapi aku sedikit kecewa dengan isinya. Bukan cara penulisannya yang aku kritik. Boleh dikatakan hanya lima peratus sahaja cerita tentang toyol dan selebihnya adalah tentang perkembangan filem seram terbaharu Mariah Rahim.

            "Amacam? Boleh pergi jauh?" soal Qahir.

            "Berapa dia bayar?"

            "Ceh! Orang tanya dia. Dia tanya kita balik. Kau tak suka?"

            "Bukan tak suka. Kenapa cerita pasal Toyol?"

            "Zak, topik-topik macam ni lah ramai orang nak klik. Benda yang manusia biasa tak boleh nampak. Ramailah yang nak tahu rupa dia, apa yang benda ni buat. Walaupun aku sendiri tak percaya benda-benda ni semua"

            Aku menggeleng sahaja. Zaman sekarang, cerita-cerita macam ini sudah pupus dalam carta. Aku fikir mungkin pembaca ramai sudah ada otak rasional. Kalau dulu-dulu waktu aku kecil, majalah Mastika selalu ada di tangan budak-budak sekolah. Masa aku sekolah menengah dulu pun, makcik-makcik kenduri rewang rajin selak-selak majalah ni. Nak cari idea buka topik. Aku suka juga dengar cerita mereka kadang-kadang. Tapi bila aku mula pasang telinga Mak mesti halau aku pergi depan. "Jangan sebuk orang-orang tua bercerita" kata Mak. Jadi cerita yang aku dengar selalu tergantung.

            Drrrttttt!!! Drrtttt!!! Drttt!! Aku mencari-cari punca getaran itu. Habis semua laci aku geledah. Timbunan kertas di atas meja semua aku alihkan. Akhirnya jumpa juga telefon pintarku.

            "Zak, minta teman Mak balik kejap. Si Awang sakit kuat kat kampung"

            Aku sudah jangkakan ini akan berlaku pada Awang. Mungkin sudah hampir masa dia. Kali terakhir aku ke Ledang waktu umur aku tujuh tahun. Aku ingat lagi malam tu. Melangkah sahaja kaki aku ke halaman rumah kayu itu, seorang budak lelaki menyambut kami. Tubuhnya kurus dan agak tinggi dari aku. Dia mengenakan baju melayu putih yang sudah singkat dengan pelikat lusuh. Tersengeh-sengeh menyusun atur kami ke dalam rumah yang sudah dipenuhi orang berkopiah. Aku lihat beberapa helai kain batik tergantung pada cermin muka dalam rumah itu. Jendela kayu dikuak luas memberi ruang angin meniup ke dalam rumah. Waktu aku melabuhkan punggung di atas lantai papan, budak lelaki itu terus mengambil tempat di sebelah aku. Di hadapanku ada sekujur tubuh orang tua berselimut batik yang aku tidak tahu jantinanya. Susuknya terlalu kurus seperti kulit sahaja yang menyelaputi tubuh tua itu, pipinya cengkung, matanya jatuh dan bibirnya berkerumut ke dalam. Ada seorang lelaki muda duduk disebelahnya terkumat-kamit membacakan ayat suci al-quran. Dia mendekatkan bibirnya pada telinga orang tua yang terbaring itu. Sekejap-sekejap dada orang tua itu berombak kuat. Kemudian dia bertenang seketika dan sekali lagi dadanya seperti di tarik ke atas. Aku dengar suara garau dia mengaduh sakit tetapi tiada apa yang aku boleh lakukan untuk meredakan sakitnya.

            Dua jam lebih sudah berlalu. Mata aku sudah berkali-kali terpejam. Aku dapat rasakan angin sejuk meniup dari atas. Apabila aku mendongak, aku lihat langit malam kosong dan sangat hitam. Tanpa cahaya bulan dan gerlipan bintang. Terlihat begitu sunyi di atas sana.

            "Nan. Nan... Zakunan!" Aku buka mata, wajah budak lelaki itu betul-betul di hadapanku tersengeh-sengeh. "Kau nak ikut aku ke air terjun?"

            Pada ketika itu, aku tidak tahu kami berada dekat dengan kawasan air terjun. Semakin jauh kami berjalan semakin kuat bunyi desiran air yang mencurah menghentam batu-batu sungai. Sepanjang perjalanan budak itu tidak henti bercakap. Sempat juga dia memberi tahu namanya Awang. Dia membawaku ke air terjun untuk berjumpa dengan seseorang bernama Rani. Kata Awang, Rani seorang yang baik hati. Selalu ada ketika dia susah, sedih dan pabila dia sunyi.

            "Rani!!"

            Tersentak aku mendengar Awang memekik tiba-tiba. Tidak lama lepas itu, satu tubuh muncul dari seberang sungai. Awang menyuruh aku tunggu sahaja di sini dan dia menyeberang berjumpa dengan orang yang dipanggil Rani itu. Aku hanya memerhati sahaja. Dari jauh mulut Awang tidak henti bergerak tetapi tidak dapat aku dengari butir bicaranya kerana bunyi desiran air yang sangat kuat itu. Rani pula hanya tersenyum-senyum mendengar cerita Awang. Lama juga aku menunggu seorang diri di situ. Sebelum kami pulang Rani sempat melambai ke arahku. Aku soalkan pada Awang apa yang mereka borakkan tetapi Awang tidak langsung menjawabnya.

            "Kau lihat Rani tadi? Dia cantikkan orangnya?" dengan wajah yang ceria Awang menyoalku.

            Aku terangguk-angguk bagi gantian jawapan yang aku tidak mampu ucapkan. Dia menunjukkan aku sesuatu dalam genggamannya. Kata Awang, tujuh biji guli di tanggannya itu adalah pemberian Rani. Dia mengajak aku bermain bersama dan aku tidak menolak. Keesokkan harinya, Awang mengajak aku sekali lagi ke tempat yang sama. Begitu juga hari-hari seterusnya. Tiba hari ke tujuh aku di rumah itu, Awang pergi dan tidak pulang ke rumah.

            "Mak risaulah"

            "Tak ada apa nak dirisaukan, Mak" kataku sambil meneruskan pemanduan.

            "Sampai sana nanti kamu tunggu sahaja dalam kereta"

            Aku hanya berdiam sahaja. Jika aku kata tidak, sudah pasti Mak akan menegaskan juga aku untuk jauh dari rumah itu. Masuk sahaja di perkarangan Ledang, kawasan itu kosong tidak seperti sebelum-sebelum ini. Sejak wabak berbahaya merebak satu dunia, tempat-tempat rekreasi seperti ini sudah tiada lagi orang kunjungi. Tempat ini menjadi semakin sunyi daripada kali terakhir aku di Ledang. Hanya ada sebuah kereta kancil dan van putih sahaja yang terpakir di situ.

            "Kamu jangan merayau-rayau. Duduk sahaja dalam ni" pesan Mak.

            Setelah tubuh Mak lenyap ke dalam rumah kayu itu, aku melangkah menyusuri sungai mendaki puncak. Di tempat di mana aku dan Awang sering bermain. Aku duduk di atas batu sambil merenung jauh ke dalam hutan di seberang. Seorang wanita muncul dari situ. Cantik rupanya, bersanggul satu yang dihiasi bunga merah. Ada bau yang sangat harum menyinggah ke rongga hidung. Aku terus memanggil namanya. Walau rupa parasnya lain dari yang biasa aku lihat tetapi aku tahu dia adalah Rani. Ya, Rani yang selalu Awang ceritakan. Bukan Rani berbongkok, bermuka hodoh dan berbau busuk yang biasa aku lihat ketika aku kecil dahulu.

Rani LedangWhere stories live. Discover now