KERETA mewah Mercedez Benz yang gah menjalar itu berhasil membuat siapa sahaja yang melihat payah untuk mengalihkan pandangan mata. Bukan tidak pernah ada kereta mewah yang memasuki jalan-jalan di Kampung Janda Baik. Terlalu banyak. Sudah tidak terhitung dengan jari.
Cumanya, kenderaan mewah tersebut baru keluar dari Jalan Damai. Dan Jalan Damai itu cuma ada satu hartanah. Hartanah yang diberi nama Heaven Private Estate.
"Siapa yang baru keluar dari Heaven Private Estate tu?"
"Entah. Manalah aku tahu. Kalau kau nak tahu sangat, pergilah tahan kereta tu. Minta penumpang kereta tu turun. Lepas tu kau tanya apa mereka buat dekat Heaven Private Estate tu."
"Kau gila?"
"Kau yang nak tahu sangat."
"Habis tu, kau tak nak tahu?"
Keluhan yang meletus. Pandangan mereka berdua masih lagi mengekori kenderaan Mercedez Benz yang semakin menghampiri mereka berdua.
"Dah lama sangat orang tak masuk ke dalam estate tu. Takkanlah keluarga tu dah berpindah ke sana semula. Bukan estate tu mereka dah jual ke?"
Belum habis perbalahan tersebut, kereta mewah Mercedez Benz tersebut akhirnya berhenti menjalar. Pintu bahagian pemandu tersebut terbuka. Keluar seorang lelaki separuh abad. Mereka kenal lelaki separuh abad tersebut. Orang kampung mereka juga. Pak Muhid namanya.
Jelas di mata mereka, Pak Muhid tergesa-gesa membuka pintu penumpang. Keluar pula seorang wanita. Separuh abad juga.
"Assalamualaikum semua. Ini Mak Jemah dengan Kak Tipah ke? "
Teragak-agak dua teman baik tersebut mahu menjawab pertanyaan yang dilontarkan. Biarpun mereka berdua memang Mak Jemah dan Kak Tipah, namun untuk mengaku perlukan diskusi lebih lanjut. Bukan mereka tidak kenal dengan keluarga wanita tersebut. Sebab kenal sangatlah mereka jadi teragak-agak untuk menjadi mesra.
"Ini saya. Zainab. Kak Tipah dengan Mak Jemah ingat saya lagi?"
Saling berpandangan kedua-duanya. Sudah cuak muka kedua-duanya.
"Keluarga saya akan tinggal di sini semula."
Dua kali Mak Jemah menelan liurnya. Kak Timah pula sudah semakin tidak selesa. Bukan mereka menolak Cik Puan Zainab dan keluarganya tinggal di Heaven Private Estate, cuma janganlah tuan muda ikut sekali berpindah ke sini. Tuan muda ada aura gelap. Aura gelap itu bahaya dan melemaskan.
Belum sempat Mak Jemah dan Kak Timah bersuara, cermin kereta mewah Mercedez Benz tersebut diturunkan. Semakin rendah cermin kereta tersebut diturunkan, semakin kuat detakan jantung mereka berdua. Seperti ada kepulan asap hitam berlumba-lumba keluar dari kenderaan mewah tersebut melalui cermin kereta yang diturunkan. Cik Puan Zainab yang berdiri di depan mereka pun sudah lama diabaikan.
Elok cermin kereta selesai diturunkan, elok juga kedua-duanya menganga. Seperti ada petir yang melintas di depan muka mereka.
"Mama, kita dah lambat."
Suara tuan muda bak guruh yang berkelahi di atas langit. Renungan mata tuan muda tajam bak pedang yang siap untuk membunuh. Dengusan tuan muda pula bak naga yang mahu memuntahkan lahar api. Tidak hairanlah apabila Kak Timah dan Mak Jemah hilang suara selepas itu. Tidak hairanlah kenapa kedua-duanya jadi patung bernyawa.
Jadi pada lewat petang yang damai itu, kecoh satu kampung. Tuan muda dari neraka telah sampai!
Nota Bonda PK :
E D I S I e - B O O K
JUALAN SECARA ONLINE SAHAJA
Wasap kami untuk menempah / pertanyaan :
🛒 +6 0 1 0 4 4 9 7 8 3 5
YOU ARE READING
e-Book HUSBAND FROM HELL | Best Seller
RomanceJangan rapat sangat dengan tuan muda. Tuan muda tu macam ada sumpahan. Siapa bercinta dengan tuan muda, nanti Izrail mesti datang bagi salam. Berani ke?