Bab 1

1 0 0
                                    


Botol air mineral kosong yang berada kuat di genggaman tangan aku letakkan di atas meja kaca ruang tamu. Tanpa sedar, kaki aku laju melabuhkan duduk di atas lantai. Lama aku bersimpuh sebelum tanganku secara refleks mengesat air mata yang perlahan mengalir keluar dari tubir mataku.

Aku mendongak memandang siling ruang tamu. Sekali lagi air mata aku mengalir. Namun kali ini air mata itu mengalir dengan lebih deras. Tak mampu untuk aku mengesat sekali lagi. Dadaku rasa terhimpit. Bulu romaku tegak menaik. Terasa seluruh tubuhku mempunyai cas yang mengalir. Seperti ada satu tenaga yang meluncur laju di dalam tubuhku dan menuju ke arah mulutku, seperti menyuruh aku meraung.

Sesak.

Nafas yang aku tarik, dihembus dengan teriakan. Aku menjerit sekuat hati. Meraung. Seperti baru kematian anak. Namun bukan itu terjadi pada aku, malah lebih daripada itu.

"Aku pun nak bahagia!" teriak aku kuat. Rumah kosong itu seperti bergema dengan sendiri. Kuat aku mengempal penumbuk dan menumbuk lantai marmar rumahku sekuat hati.

"Aku nak hidup macam orang lain! Aku nak impian aku tercapai macam orang lain! Aku nak ada kawan macam orang lain! Aku nak ada keluarga bahagia macam orang lain!" tersedu-sedu aku menjerit. Anak tekak aku seperti mahu berlari keluar dari mulut. Aku telan air liur yang kesat itu, rasanya sebiji macam pasir.

Jika aku pernah diuji sebelum ini, ujian yang pernah aku lalui, tidak seberat ini. Tidak sebeban ini. Tuhan uji kerana dia tahu aku mampu. Tapi aku? Terduduk. Tersungkur. Dan paling berat, tiada siapa tahu. Tiada seorang manusia pun mengetahui keadaan yang menyedihkan ini.

Dari jauh aku memandang helaian surat yang aku lepaskan dari genggaman tangan tadi. Elok sahaja surat itu bertaburan di hadapan pintu. Amat bagus untuk dipijak.

"All I did, the pain that I've been through, absolutely for nothing," gumam aku sendiri. Berkaca mata aku melihat surat berhenti belajar yang baru sahaja aku tanda tangan sebentar tadi. Impian aku untuk menghabiskan Matrikulasi aku, hanya sekadar mimpi. Mimpi yang aku tidak akan pernah capai. Nasi sudah menjadi bubur.

"Setahun lebih. Aku dah nak habis dah pun. Ke-," aku berjeda. Tak mampu untuk aku habiskan ayat terakhir itu. Seakan-akan aku tahu bahawa aku akan hidup dalam kegelapan selepas ini. Air liur aku kering. Seperti enzyme amylase aku kali ini langsung tidak berfungsi.

"Kenapa aku kena korbankan cita-cita aku untuk orang lain?" perlahan aku utarakan ayat itu.

Aku memeluk tubuh. Blouse putih yang aku pakai dari pagi tadi sudah pudar warnanya. Jika tadi aku keluar dengan baju yang putih bersih, tapi tatkala pulang, warna putih itu sudah tercemar. Sama seperti hati aku ketika ini. Tercemar. Merata aku berjalan selepas kejadian pagi tadi. Merata aku singgah, mencari jalan pulang ke rumah.

Aku bercadang tidak mahu kembali ke rumah ini, namun ringan sahaja otak aku memberi alamat rumah kepada pak cik teksi yang mengambil aku dari stesen LRT sebentar tadi.

Rumah itu kosong. Aku pandang sekeliling. Bibir aku mengukir senyuman pahit. Sekali lagi bulu romaku tegak menaik. Minda aku tanpa dipinta, memainkan pita rakaman di mana ketika itu, rumah ini masih lagi berpenghuni.

Jelas aku mendengar gelak tawa yang sudah hilang itu. Perasaan menyesal itu mula terdetik di dalam hati. Menyesal kerana tidak merakam detik-detik indah ketika rumah ini masih dalam keadaan ceria.

"Rindu," bilang aku perlahan. Aku memejam mata sekuat-kuatnya sehingga mencipta kerutan di dahi. Aku mahu pita rakaman itu berhenti bermain di minda. Aku tidak mahu tidur dengan penyesalan. Aku takut. 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 15, 2021 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Izinkan Aku MenangisWhere stories live. Discover now