MATA Aleeya terus terpaku pada seseorang yang sedang berdiri di depan kaunter pembayaran.
Itu Zariel.
Ya! Zariel suaminya, sedang menghulur beg kertas tertulis machines pada seorang perempuan yang berdiri di sebelahnya.
Tak tahu mereka beli apa dan pastilah Zariel yang bayarkan sebab yang berada di depan ialah Zariel.
Dan nampak perempuan tersebut tersenyum gembira.
Dada Aleeya bagai dirodok buluh runcing, rasanya sangat ngilu.
Siapa perempuan tu?
Tanpa sedar kaki melangkah ke arah pasangan tersebut.
"Abang!" Mulut pula menyeru.
Nampak wajah suaminya berubah. Tetapi hanya seketika sebelum senyuman lebar dihulur.
"Sayang buat apa kat sini? Dengan siapa?" Zariel menyoal.
Aleeya terus berpaling mencari si teman yang masih sibuk bertanya itu ini di bahagian smart watch. Dia ke situ bersama Diana, rakan pejabatnya. Mencuri waktu makan tengah hari. Dari pejabatnya nak ke KLCC ni dekat saja.
Sebelum berkahwin, memang dia selalu ke situ sendirian atau bersama teman pejabat saja.
Tapi bila adanya Zariel, bila segala hal yang kecil pun semuanya Zariel mahu lakukan, Aleeya jadi 'tidak pandai' untuk buat apa-apa sendirian. Setiap waktu hanya bertemankan Zariel.
Cuma kali ini, menunggu waktu lapang Zariel bagai menunggu buah durian yang baru berputik gugur ke bumi, makanya Aleeya ambil keputusan untuk datang sendiri. Tak sangka pula suaminya juga berada di disni.
"Dengan kawan. Repair phone. Abang buat apa?" Aleeya tanya balik.
Kalau nak kata Zariel ke situ mencuri waktu makan tengah hari sepertinya, memang tak logik sebab pejabat si suami di Shah Alam. Agak jauh.
"Abang ada kerja dekat-dekat sini. Kenalkan office mate abang, Marina." Zariel pantas kenalkan perempuan yang berdiri di sebelahnya.
Boleh tahan cantik dan seksi dengan blouse putih mengikut bentuk badan dan seluar ketat.
Tunduk hormat Aleeya beri dan matanya jatuh pada beg kertas yang terpegang di tangan perempuan tersebut.
Teringin Aleeya tanya suaminya beli apa tetapi suaranya tak mahu keluar.
"Abang teman Marina nak beli phone." Seolah faham dengan pandangan mata Aleeya, pantas saja Zariel jelaskan apa yang sebenarnya.
Tapi minda Aleeya masih berfikir lagi. Kalau perempuan lain yang nak beli, kenapa suaminya yang bayarkan?
Soalan tersebut berlegar laju.
Dan lagi satu, boleh pula temankan perempuan lain tetapi nak temankan isteri sendiri tak pernah ada masa.
Betullah Zariel telah berubah.
"Sorry la, abang tak sempat nak teman Leeya..."
"It's okay. Dah settle dah." Aleeya memintas. Sebenarnya belum settle lagi. Dapat ganti yang baru tapi nak kena tunggu.
"Okey la kalau macam tu. Abang gerak dulu, dah lambat ni." Zariel kerling jam di tangan sebelum beri isyarat pada Ina untuk pergi.
Tak cakap apa-apa, Aleeya hanya mengangguk. Saat itulah Diana datang menghampirinya.
"Laki kau ke?" Soal Diana dengan pandangan menghantar langkah Zariel pergi.
Aleeya angguk perlahan. Diana memang tak pernah bersemuka dengan Zariel. Perkahwinan dia dan Zariel memang tak ada majlis. Aleeya pun tak pernah kenalkan Zariel pada kawan-kawannya. Cuma Diana pernah nampak Zariel datang ke pejabat menjemputnya ketika keretanya rosak.
"Perempuan tu?"
"Kawan opis dia." Endah tak endah Aleeya beri jawapan.
Dan kening Diana berkerut.
"Rasanya masa kau kat bahagian repair tadi, aku perasan mereka kat depan aku dekat hujung sana." Diana tunjuk ke arah bahagian pameran smart watch.
"Patutlah aku macam cam laki tu tapi tak ingat siapa. Dan...." Ayat Diana mati di situ.
"Maaf kalau aku cakap, gaya mereka bukan macam rakan kerja. Sebab perempuan tu gedik semacam, siap peluk-peluk lengan suami kau." Mata Diana tepat ke arah si teman.
Saat itu, usah ditanya apa yang Aleeya rasa. Bagai dia dibuang ke laut dalam yang penuh gelora.
Dadanya ketat.
"Kau jangan marah aku...."
"Tak!" Aleeya pintas cepat dan geleng kepala. Takkan dia nak marah temannya bercerita. Dan dia yakin Diana bercerita yang benar, yang matanya nampak.
"Dan suami kau pun melayan."
Makin ketat dada Aleeya tatkala mendengar ayat Diana seterusnya.
"Jomlah. Nak makan lagi, lambat pula masuk ofis." Aleeya tarik lengan Diana untuk keluar dari situ.
"Beb..." Diana menyeru. Lengan si teman dipegang.
"Aku bukan nak menghasut. Tapi dari pengalaman aku sendiri, jangan letakkan seluruh percaya pada lelaki. Takut bila dikhianati, kau akan kecewa teruk." Ayat nasihat Diana lebih kurang sama iramanya dengan ayat Zafri. Cuma liriknya saja berbeza sedikit.
"Berkahwin suka sama suka tak semestinya tak ada istilah curang." Diana berpaling. Langkah mereka masih seiring, menuju ke arah tempat parkir kereta.
"Contoh aku sendiri. Kahwin muda, suka sama suka, bercinta sejak sekolah tapi sudahnya dia curang dengan perempuan lain. Nasib baik tak sempat ada anak. Kalau ada anak, lagi susah."
Mendengar luahan Diana yang panjang lebar itu, Aleeya jadi seriau. Dia kenal Diana waktu mula-mula bekerja empat tahun lepas. Dan dia tahu Diana janda. Tapi dia tak pernah tanya perceraian atas sebab apa.
"Entahlah! Bila fikirkan semua tu, aku jadi takut." Kali ini Aleeya pula berpaling memandang Diana.
"Aku tak rasa aku boleh kuat macam kau. Dan aku tak rasa keluarga aku boleh terima aku semula." Kesedaran yang baru datang buatkan Aleeya jadi galau.
Hampir dua tahun perkahwinan dan enam bulan perkenalan dengan Zariel yang membahagiakan, dia lupa hakikat hidup yang berkemungkinan akan ada derita di sepanjang jalan.
"Sebut pasal keluarga, dulu kau pernah kata keluarga kau dah tetapkan supaya kau kahwin dengan sepupu tapi kau tak setuju dan sepupu kau tu pun tak setuju sebab dia dah ada girlfriend. Sebab tu ke keluarga kau tak boleh terima kau kahwin dengan laki kau sekarang ni?"
Aleeya lepaskan keluhan berat mendengar soalan tersebut. Untuk menyingkap kembali sejarah keluarga, sejarah dia bergaduh besar dengan mamanya sebab menolak pilihan keluarga dan memilih Zariel, memang boleh buat dia hilang mood.
"Kalau Leeya pilih dia, maknanya Leeya bukan anak mama lagi. Jangan sesekali jejak kaki ke rumah mama lagi." Ayat paling sadis keluar dari bibir mamanya, Aleeya ingat sehingga ke hari ini.
Dan kerana itu, dia tak pernah lagi bertemu keluarganya selepas menjadi isteri Zariel.
YOU ARE READING
SAKITNYA MENCINTAI JILID 1
RomanceCurang itu pilihan, bukan kesilapan yang tak disengajakan. Sakitnya dicurangi oleh suami sendiri, hanya diri yang merasa saja yang tahu.