PANDANGAN Aleeya jatuh pada skrin telefon si suami yang sejak tadi berbunyi dan tatkala membaca pesanan WhatsApp yang masuk, jantungnya terus berhenti berdenyut.
Satu kejutan yang dia tak pernah jangka.
Sayang, malam ni jadi ke tak? You berilah apa-apa alasan pada wife you....
Aleeya telan liur. Tiba-tiba alirannya terasa kesat.
Sayang?
Siapakah gerangan yang menghantar pesanan tersebut? Nak dibuka untuk melihat, dia tak tahu password. Yang dia perasan nama penghantar itu @Ina.
Sedang Aleeya berfikir, ada lagi pesanan yang masuk.
Jangan lupa beritahu wife you tu yang you balik lambat.
Berulang kali Aleeya baca ayat tersebut. Dan dia terfikir, pernah tak Zariel terlupa memberi pesanan akan balik lambat jika keluar malam ?
Tak pernah!
Aleeya geleng kepala.
Selalu pun Zariel akan berpesan suruh tidur dulu, jangan tunggu sebab dia akan balik lambat. Rasanya sejak Zariel pandai keluar malam ni, tak pernah pun sekali suaminya itu balik awal.
Nafas Aleeya sedut panjang. Cuba bawa hati bertenang.
Dan saat sama, ada lagi pesanan masuk.
Dan jangan lupa beritahu wife you pasal plan outstation kita.
Berkerut kening Aleeya membaca ayat pesanan tersebut.
Plan outstation? Macam pelik sangat. Siapa sebenarnya Ina ni?
Belum sempat akalnya mencerna, pintu bilik air dibuka dan si suami yang bertuala terikat di pinggang keluar dengan senyuman.
Matanya lurus memandang Zariel. Tanpa kelip. Bukan sebab tergoda tapi, sebab dia seakan tidak percaya dengan persoalan yang menghujani hatinya.
"Kenapa pandang abang macam tu?" Zariel menghampirinya dan satu ciuman singgah di pipi si isteri.
Entah kenapa saat itu Aleeya jadi tidak pandai untuk membalas setiap perlakuan romantis Zariel. Hanya melihat tingkah sang suami yang sibuk membelek handphone di tangan.
"Abang nak ke mana?" Akhirnya Aleeya bersuara juga setelah melihat si suami sibuk menyarungkan baju dan seluar. Pakaian seperti orang mahu keluar.
Baru balik kerja. Sampai rumah pun dah lepas Isyak. Nampak macam nak keluar semula. Sejak akhir-akhir ini, sibuk Zariel mengalahkan orang berjawatan CEO yang bisnesnya juta-juta.
"Abang nak keluar jumpa kawan. Kalau abang lambat balik, sayang tidur dulu. Jangan tunggu abang." Hanya itu alasan yang diberi sebelum satu lagi ciuman dilekatkan ke pipi si isteri.
Tapi entah kenapa Aleeya rasa ciuman itu satu kepura-puraan untuk menutup sebuah penipuan. Tiada lagi rasa yang sering menjentik hingga ke hati seperti hari-hari sebelumnya.
Hatinya jadi tak sedap. Apatah lagi bila teringat pesanan Diana dan Zafri.
"Abang pergi dulu."
Bersama pintu bilik yang tertutup, mata Aleeya turut terpejam.
'Kalau abang lambat, tidur dulu.'
Pesanan itu berulang di minda Aleeya. Dan dipadankan dengan pesanan yang dia baca tadi.
Betul ke jumpa kawan? Atau jumpa Ina? Minda bergerak lagi, mengingat sejak bilakah si suami mula pandai berjumpa 'kawan' waktu malam begini?
Saat itu, mindanya mengingat kembali hari-hari sebelumnya.
Ya! Sejak akhir-akhir ini Zariel sering keluar malam dengan alasan yang sama. Ada ketikanya subuh baru balik dan bersiap ke tempat kerja. Alasannya, tertidur rumah kawan selepas menonton bola di TV.
Kerana satu perkataan PERCAYA, Aleeya tidak bertanya lanjut walau hatinya terdetik alasan tersebut sangatlah tidak logik. Tapi, dia cuba pujuk hati untuk bersangka baik dan fikir yang baik-baik.
Tangan naik memagang perut sendiri. Niat untuk mengkhabarkan berita gembira hari ini jadi terbantut.
Hari ini dia ke klinik sendirian selepas waktu pejabat kerana tekak terasa loya dan kepala terasa pening. Badan pun rasa kurang sihat. Dan dia dikhabarkan dengan berita kehamilannya.
Sepanjang perkahwinan mereka, berita inilah yang diharapkan dia dan Zariel. Tapi kenapa saat ini dia rasakan berita tersebut hadir pada waktu yang kurang tepat?
Perlukah dia tunggu Zariel pulang untuk mengkhabarkan berita tersebut.
Atau tunggu dan lihat dulu?
YOU ARE READING
SAKITNYA MENCINTAI JILID 1
RomanceCurang itu pilihan, bukan kesilapan yang tak disengajakan. Sakitnya dicurangi oleh suami sendiri, hanya diri yang merasa saja yang tahu.