Keluar dari tandas, Naaila terus mencari susuk tegap Sirhan. Tak nampak di meja makan mereka tadi, dia keluar dari kafe. Menuju ke kawasan parkir kereta sebelum langkah kakinya terhenti bila melihat Sirhan sedang bercakap dengan seorang wanita yang kira-kira berusia separuh abad tidak jauh dari kereta Sirhan.
Namun bukan itu yang buatkan langkah dia termati, tapi riak wajah Sirhan. Riak Sirhan yang ketika ini tampak begitu tegang dan bengis. Hinggakan kulit wajah Sirhan yang putih menjadi merah padam. Seolah-olah sedang menahan marah yang bukan kepalang.
Pandang si wanita tua namun masih anggun dan bergaya itu. Dahi Naaila tak semena-mena jadi berkerut seribu. Bertentangan dengan riak Sirhan, riak wajah wanita yang tidak dikenalinya itu seolah-olah menyinis. Lagi-lagi dengan senyuman yang tersungging di bibir merahnya. Jelas kelihatan sinis.
Rasa tak sedap hati, Naaila segera mendekati Sirhan. Namun langkahnya sekali lagi mati bila Sirhan tiba-tiba menjerkah kuat. Hinggakan bahu dia terangkat mendengar jerkahan bosnya itu. Terkejut kerana ini kali pertama dia dengar Sirhan menjerkah seseorang. Lagi-lagi orang tua.
Ketap bibir, Naaila jadi teragak-agak mahu mendekati Sirhan. Mujur ketika ini tiada siapa yang melihat pergaduhan Sirhan dan wanita itu. Kecuali dia seorang saja. Kesudahannya dia sekadar menjadi pemerhati walaupun hati meronta-ronta ingin tahu apa yang sedang berlaku. Apa yang menjadi penyebab Sirhan tiba-tiba menjerkah wanita itu?
"SIRHAN..."
Dengar namanya dipanggil seseorang, Sirhan segera balikkan tubuhnya ke belakang. Semedan riak wajahnya berubah bila melihat seraut wajah seorang wanita yang dia sangat kenali.
"Datin nak apa?" soal Sirhan senada. Wajah tidak beriak ditayang. Langsung tidak menduga yang dia akan terserempak dengan wanita itu di kawasan ini
"Nak jumpa anak sendiri. Tak boleh ke?" soal wanita itu.
Sirhan senyum sinis sebelum dia lepas gelak. "Anak? Anak yang Datin buang sebab lelaki lain? Itu ke maksud anak bagi Datin?" sinis Sirhan menyoal.
Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam kocek seluar. Anak mata tajam memandang wanita yang bergelar ibunya itu, Datin Jania.
Datin Jania ketap bibir. Pandangan tajam Sirhan dibalas. Hati mendongkol geram. Namun disabarkan hati bila dia ingatkan diri tentang niatnya mahu berjumpa dengan anak lelaki tunggalnya.
"Sir sihat? Papa sihat?" tanya Datin Jania dengan wajah yang dimaniskan.
Sekali lagi Sirhan senyum sinis. Dia geleng kepala. Menyampah dengan sikap pura-pura Datin Jania. Dia yakin ada sebab kenapa Datin Jania boleh muncul di hadapan dia secara tiba-tiba. Jika tidak jangan harap wanita itu akan muncul depan dia.
"Kenapa Datin nak tahu? Keadaan saya dengan Datuk ada kaitan dengan Datin ke?" perkataan Datuk sengaja ditekan keras.
Mahu mengingatkan Datin Jania kenapa wanita itu meninggalkan dia dan papanya dulu. Mahu menyedarkan Datin Jania tak semudah itu dia dapat lupakan apa yang wanita itu pernah buat dulu.
"Salah ke kalau mama nak tahu tentang anak mama? Kamu anak kandung mama juga. Bukan papa saja."
Sirhan berdecit sinis. Dia gelak. "Tiba-tiba? Dah terlambat, Datin Jania. Lebih baik Datin balik saja. Saya tak ada masa nak layan Datin."
Sirhan balikkan tubuh mahu berlalu. Namun langkah disekat Datin Jania yang melelar tangannya. Rentap tangannya, Sirhan pandang wanita itu tajam. Dia mendengus kasar.
YOU ARE READING
Sirhan Lutfi : Cinta Yang Kau Jauhi
RomanceMenjadi PA kepada Sirhan, hidup Naaila tak pernah senang dan aman. Sering kali dia menjadi mangsa usikan bos sengalnya itu. Pantang nampak dia senang sikit, mulalah Sirhan akan kenakan dia. Nak berhenti kerja, Naaila tidak sanggup memandangkan zama...