TERTIB Nurain menjamah nasi. Lauk kegemaran Saidah menjadi santapan mereka waktu ini, walaupun Saidah sudah bergerak pulang ke rumahnya semula. Perlahan-lahan air kosong dari dalam jag dituang ke dalam gelas kosong milik Adhwa. Dia perasan lelaki itu sepertinya tiada selera mahu menjamah lauk yang tersedia. Lama pandangan Nurain singgah pada wajah Adhwa di hadapan.
“Adh, kenapa tak makan lagi? Awak dah kenyang ke?” pelik Nurain apabila memikirkan jika ada apa-apa perkara yang mengganggu selera lelaki itu.
Adhwa geleng, dia senyum. Gelas yang berisi air kosong tadi terus disua ke bibirnya pula. Nasi tidak lagi disentuh. Lauk yang Nurain letak di sebelah nasi putih itupun Adhwa hanya pandang tanpa ada selera yang menjengah.
“Awak tak suka lauk yang saya masakkan ni?”
Lagi sekali Adhwa menafikan, tetapi cara lelaki itu semakin memupuk rasa tidak senang pada hati Nurain. Seolah-olah, ada perkara yang Adhwa sedang fikirkan saat ini. Seperti fikirannya bercelaru dengan perkara yang langsung dia tidak ketahui itu.
“Saya dah ajak Mak Wa makan sekali, tapi Mak Wa kata dia dah masak lauk makan tengah hari tadi. Tak mahu membazir. Kebetulan pula opah macam terburu-buru nak balik, tak dapat juga makan tengah hari sekali dengan kita.” Nurain cuba pancing tumpuan Adhwa. Namun, sia-sia.
Jauh pandangan Adhwa menerawang. Hendak ditegur, Nurain tidak mahu timbul rasa kurang selesa nanti. Nurain sekadar berdeham perlahan. Mahu menegur lamunan Adhwa secara lembut. Tidak mahulah sebab teguran dia suasana tenang ketika makan tengah hari ini berubah tiba-tiba.
“Esok saya dah boleh mula masuk kerja. Awak tak kisahkan kalau saya minta Farek hantarkan saya ke kedai?”
Adhwa diam. Langsung tidak diendahkan soalan Nurain, pandangannya entah ke mana merayau. Jauh mengelamun.
“Adh?” perlahan Nurain menyeru. “Adh!”
“Hah?” terkebil-kebil Adhwa balas seruan Nurain. Terpinga-pinga dia apabila lihat riak wajah Nurain sudah berkerut seribu pertanyaan itu.
“Awak ada masalah apa?” duga Nurain.
“Oh, erm. Tak. Tak ada apa-apa. Badan rasa penat sikit.” Adhwa cebis lauk yang ada sebelum disuap ke mulut beserta nasi kosong. Dia berpura-pura bahawa keadaannya tadi disebabkan badannya rasa penat, walhal dia cuba memikirkan cara supaya Nurain tidak bertanya ataupun membuka mulut berkaitan Arifah.
Entah jawapan apa yang dapat dia beri jika Nurain minta keizinannya untuk bertemu Arifah pula.
Nurain tidak lagi bertanya. Melihat gaya Adhwa dengan jawapan yang diberikannya itu, dia sudah berjaya meneka dengan tepat. Pasti Adhwa rasa kurang selesa jika badannya lemah dan tidak bermaya. Memang patut Saidah minta Adhwa pulang makan tengah hari, jika tidak tentu dia tidak tahu apa masalah yang sedang Adhwa lalui sekarang ini.
“Kalau awak tak lalu makan, awak tinggalkan saja nasi di dalam pinggan tu. Naik ke atas, berehat. Nanti saya sediakan bubur nasi kalau selera makan awak masih kurang.”
“Ain, tak perlu.” Adhwa bersuara apabila melihat Nurain bangun dari kerusi. Berura-ura mahu menapak ke dapur memasak pula. Pasti ingin menyediakan bubur nasi seperti apa yang telah dia katakan tadi.
“Kalau perut awak kosong. Nanti masuk angin pula. Lagi susah hati saya tengok awak jatuh sakit.” Nurain pandang Adhwa dengan riak wajah yang cukup runsing. Dia tidak suka melihat penolakan Adhwa itu, dia mahu kesihatan lelaki sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Tidak mahulah jadi isu pula jika sampai ke pengetahuan Hasna pula.
“Duduklah. Tak perlu susahkan diri. Sambung makan, nasi di dalam pinggan tu tak habis lagi.”
Nurain duduk di atas kerusi semula. Melihat Adhwa menjamah makanan dengan berselera, dia batalkan niatnya seawal tadi. Tidak tahu apa yang Adhwa sedang lalui tadi. Yang pasti, Adhwa tidak lagi termenung seperti tadi. Elok lelaki itu menambah lauk yang ada. Melihat perubahan itu, berkurangan rasa runsing di hati Nurain.
(ʘᴗʘ✿)(ʘᴗʘ✿)(ʘᴗʘ✿)(ʘᴗʘ✿)(ʘᴗʘ✿)
NURAIN masih di dapur. Perihal membasuh pinggan dan gelas yang telah digunakan tadi tidak langsung diberi peluang kepada Adhwa. Diminta lelaki itu naik ke bilik, jika keadaan badan Adhwa masih belum memuaskan, dia minta Adhwa tidak pergi menyambung tugasnya di ladang petang itu. Biarkan badannya berehat sahaja.
Usai kerja di dapur selesai. Terus Nurain naik ke bilik. Kakinya melangkah masuk ke ruang dalam, mata liar mencari kelibat Adhwa di sekitar ruang katil yang ada tetapi deria pendengarannya menangkap bunyi air pancuran dari dalam bilik mandi. Pasti Adhwa sedang bersihkan badan.
Terus Nurain bergerak ke sebelah almari pakaian, dicapai sejadah yang elok berlipat di atas para khas. Telekung dan kain sarung yang biasa Adhwa pakai ketika mengerjakan solat diambil lalu diletak di atas katil. Telekung miliknya turut diletak di sebelah kain sarung tadi.
Pintu bilik mandi dibuka. Adhwa yang sedar dengan kehadiran Nurain di situ hanya diam tidak berkata apa. Melihat sejadah sudah elok dihampar di atas lantai bilik, dia tahu Nurain mahu mereka solat bersama.
“Badan aku dah okey. Lepas solat nanti aku sambung kerja di ladang. Nanti apa kata ayah kalau tahu aku ponteng kerja pula?” suara Adhwa tatkala Nurain masih berdiri membelakanginya.
“Awak betul-betul rasa dah okey?” Nurain minta kepastian.
Adhwa angguk mengeyakan soalan Nurain. Dicapai kain sarung yang elok terletak di atas katil. Nurain yang turut ada berdekatan dengan katil sesekali menjaga jarak. Semerbak wangian mandi yang Adhwa pakai singgah pada rongga pernafasannya.
Tatkala sedar dengan keadaan Adhwa yang hanya bertuala itu, cepat-cepat Nurain mengundur langkah. Dia perasan Adhwa sedar dengan reaksi spontannya itu apabila melihat senyuman nipis mula terukir di bibirnya.
“Kau takut macam nampak hantu,” usik Adhwa.
Nurain tidak endahkan. Laju dia menapak ke bilik mandi. Seketika langkahannya terhenti di muka pintu ruang mandi. Wajah ditoleh ke arah Adhwa. Saat yang sama juga lelaki itu memanah pandangan tepat kepadanya.
“Adh, saya ada cuba telefon nenek tadi. Tapi, tak dapat. Saya risaulah kalau apa-apa jadi dengan nenek. Saya ingat, saya nak balik tengok keadaan nenek hujung minggu nanti. Awak izinkan tak?”
Soalan yang cuba Adhwa elak, tetapi telah diutarakan Nurain tanpa sempat Adhwa mencelah. Pandangan Nurain yang seolah-olah merayu mahukan jawapan positif daripadanya, tidak mampu dia pandang lama.
Bisu. Diam. Langsung Adhwa tidak berkata apa. Dan, cara Adhwa yang hanya membatukan diri itu memberi Nurain satu petanda.
“Awak tak izinkan saya balik ke kampung?”
Tidak sempat Adhwa mahu memberi alasan, kelibat Nurain hilang ke dalam ruang mandi. Tertutup kemas pintunya. Adhwa hela nafas berat, apa yang dapat dia lakukan saat ini? Dia tidak mahu kata janjinya tadi dicabuli kerana kasihankan Nurain, tetapi dia turut berbelah bagi dengan permintaan Arifah. Apa yang perlu dia lakukan?
YOU ARE READING
CINTA MENANGKAN KITA (BACAAN PERCUMA)
Romance[BACAAN MATANG] Nurain cucu kepada Nenek Arifah. Adhwa pula cucu kepada Opah Saidah. Bertemu di atas satu kekhilafan. Bersatu di atas satu usaha mencari jawapan yang pasti. Bahagia itu bukanlah milik kita selamanya tetapi kita tetap mencuba meraih...