"CUCU nenek dah tertidur ke?"
Halus nada suara Arifah berbisik ke cuping telinga Nurain. Tersedar dirinya yang mula larut ditelan anganan sendiri. Laju mata ditala ke arah Arifah yang masih elok bertelekung dan duduk bersimpuh di sebelah kiri.
Arifah senyum nipis sambil menggeleng-geleng.
Nurain cukup pasti, perilakunya tadi sudah lama diperhatikan. Orang ke masjid mahu mendengar ceramah tetapi dia seronok berkhayal di alam mimpi.
Wajah didongak seketika, Nurain cuba mengintai melalui celahan kain tirai yang menjadi pemisah di antara bahagian muslimin dan muslimat. Hanya kedengaran suara Ustaz Zakir memberi ceramah usai solat maghrib berjemaah tadi. Rupa parasnya langsung tidak dapat dilihat jelas.
Sedang liar matanya merayap ke serata ruang bahagian muslimin, sekilas pandangan Nurain menangkap tepat sepasang mata milik seorang pemuda yang kebetulan menoleh ke arahnya. Melalui celahan tirai yang terbuka sedikit luas. Tidak sampai sesaat, Nurain berlindung di belakang tubuh Arifah. Wajah yang sama, desis hatinya.
Hampir terhenti degupan jantung Nurain saat pandangan lelaki itu masih merenung jauh ke arah kawasan muslimat. Nurain sedaya upaya cuba menyembunyikan diri, memandang lama belakang tubuh Arifah dengan harapan lelaki berkenaan tidak akan menyedari kelibatnya di situ.
"Nurain." Arifah menyeru perlahan. Cuba menegur tingkah laku Nurain.
Dia tunduk menekur ke atas lantai yang berlapik permaidani berwarna biru laut itu. Nurain hanya menggeleng tanda tiada apa-apa apabila Arifah menyebut namanya lagi.
"Nur nak ke tandas sekejap," pintanya.
Selagi mampu Nurain akan cuba larikan pandangan daripada terus memandang ke arah lelaki itu. Selalu sahaja terlintas di fikirannya, memikirkan gerangan sebenarnya tetapi dia tiada keberanian.
Baldi yang sudah hampir penuh dengan air paip itu diangkat lalu dibawa ke ruang mengambil wuduk. Air yang masih mencurah laju dari lubang kepala paip direnung lama pula. Masih segar di kotak ingatannya, peristiwa tiga hari yang lepas. Kejadian pecah rumah di hujung kampung, lelaki itulah yang berjaya menangkap pencuri tersebut. Seorang diri. Tak pernah-pernah lagi ada yang berani sebegitu di kampung ini. Perihal keberanian lelaki itu yang menjadi sebutan orang kampung sehinggalah sampai ke pengetahuannya.
Tegak badan Nurain apabila azan isyak mula berkumandang. Segera dia membersihkan wajah sebelum berlari anak keluar dari ruang mengambil wuduk berkenaan. Jika terlalu lama di sini pasti Arifah akan bising lagi.
****
"MARILAH Nur, nenek tak larat nak tunggu lama dah ni." Arifah yang sudah berdiri sambil memegang erat tongkatnya memandang ke arah Nurain.
Sandal hitam gelap segera Nurain sarungkan ke kaki. Usai solat isyak berjemaah tadi, Arifah sudah katakan bahawa dia tidak larat untuk menunggu lama di masjid.
"Nenek Pah tak nak jamah apa-apa dulu ke?" tegur seorang wanita berumur lewat 40-an tatkala mereka yang masih berada di tangga anjung bahagian muslimat.
Arifah yang sudah menoleh ke arah pangkin ruang makan itu hanya menggeleng perlahan.
"Nenek dah tak larat tunggu lama. Ni yang Nur nak bawa nenek balik terus," jelas Nurain. Lengan Arifah segera dipautnya kemas. Cuba mengatur langkah agar seirama dengan langkahan Arifah sekarang.
"Sejuk mata nenek memandang. Masih ramai lagi yang berminat nak datang ke masjid," luah Arifah saat mereka melalui halaman hadapan Masjid Al-Mutaqqin.
"Sebab ada ceramah nenek. Kalau tak..."
"Ish, cuba berprasangka yang baik-baik! Niat orang, mana kita tahu." Lantang Arifah mencantas kata-kata Nurain.
YOU ARE READING
CINTA MENANGKAN KITA (BACAAN PERCUMA)
Romance[BACAAN MATANG] Nurain cucu kepada Nenek Arifah. Adhwa pula cucu kepada Opah Saidah. Bertemu di atas satu kekhilafan. Bersatu di atas satu usaha mencari jawapan yang pasti. Bahagia itu bukanlah milik kita selamanya tetapi kita tetap mencuba meraih...