Bab 2

250 14 0
                                    

THAQIF membaca sekali lalu saja mesej daripada si teman yang tidak sabar bertanya di mana lokasinya ketika itu. Tak terasa hendak membalas kerana beberapa minit saja lagi dia akan sampai ke tempat yang dijanjikan.

Melintasi sebuah perhentian bas, dari ekor matanya Thaqif ternampak kelibat sesuatu. Automatik kereta diperlahankan sedikit. Matanya mengerling cermin pandang belakang.

Perempuan?

Apa yang ditunggu di perhentian bas malam- malam begitu?

Yakin kelibat yang dilihat itu adalah manusia, Thaqif kembali menekan pedal minyak. Tak lagi peduli tentang wanita yang tidak dikenali itu.

Sampai ke restoran nasi kandar yang masih dipenuhi pelanggan walaupun jam sudah melepasi jam 11 malam, terus Thaqif ternampak Fendi. Melambai-lambai untuk menarik perhatiannya.

"Kif!"

Thaqif mengangkat tangan. Isyarat dia sudah tahu di mana kedudukan meja si teman. Melintas seorang pekerja restoran itu, dia meminta secawan kopi O pekat. Ditunjuk meja yang diduduki Fendi.

"Apa khabar, kawan?" Fendi bangun sebaik saja Thaqif sampai di depannya. Dipeluk longgar tubuh si teman selepas bersalam. Sempat ditepuk beberapa kali belakang bahu Thaqif.

"Sihat. Kau?" Ringkas saja Thaqif membalas. Selesa duduk bersandar, dia memandang sekeliling kedai. Sesekali tangan mengetuk permukaan meja.

Sampai kopi yang dipesan, mereka berbual tentang hal semasa. Lain dari itu, Fendi berceloteh serba sedikit tentang keluarganya.

Tak sampai pun setengah jam, mereka sudah keluar dari restoran itu. Melepak di kaki lima tempat kereta mereka diparkir.

Ketika Thaqif mengeluarkan sebatang rokok, Fendi menyalakan pemetik api. Tak ditanya sejak bila Thaqif merokok walaupun dia tahu Thaqif memang menolak tabiat yang satu itu.

"Kau tak nak kerja dengan Derek balik?"

"Dia kat tempat sama lagi ke sekarang?" Tenang saja Thaqif membalas tanya selepas menghembus asap keluar dari mulutnya.

"Sekarang dia bukan kuli lagi. Dia dah buka bisnes sendiri. Tapi tak lari jauh juga."

"Apa yang tak jauh tu?"

"Sekuriti juga. Kelab, anak VIP, PI, semua ada. Kau nak apa, dia mesti boleh kawtim punya. Derek dengan kau, bukan baru kenal semalam. Apa pun mesti dia bagi. Orang macam kau, mana nak dapat lagi sekarang ni."

Thaqif mendengus.

"Orang macam aku tu macam mana?"

Fendi ketawa. Bahu Thaqif ditepuk sekali.

"Tak banyak hal la, kawan. Kau buat kerja diam-diam, tak kacau orang. Orang kacau kau, kau settle sendiri. Budak-budak sekarang ni lain. Kerja nak, main pun nak. Banyak masalah kalau macam tu."

Thaqif diam. Dua kali disedut asap yang dipenuhi nikotin masuk ke dalam paru-paru. Ada satu perasaan muncul setiap kali dia menghembus keluar semula asap itu.

Tenang.

"Aku senang macam ni." Pendek. Thaqif tak mahu memanjangkan persoalan yang satu itu.

Sudah bertahun-tahun ditinggalkan dunia yang itu. Mustahil dia akan kembali semula ke sana walaupun tanah yang dipijak sekarang tidak lagi menjanjikan bahagia.

Baki pertemuan mereka malam itu lebih banyak dipenuhi dengan celoteh Fendi. Thaqif lebih banyak diam mendengar. Tapi sedikit pun Fendi tidak terasa dengan tingkah si teman.

Dia faham. Tak mudah untuk Thaqif kembali bangkit selepas melalui satu kehilangan besar dalam hidupnya. Sekurang-kurangnya temannya itu cuma menggunakan masa sebagai pengubat lara, bukannya menghancurkan hidup dengan melakukan perkara yang merosakkan diri.

HAIRA THAQIF (eBOOK)Where stories live. Discover now