LAMA aku berdiri setempat di hadapan rumah banglo atuk dan nenek Khai. Kaku. Melangkah ke depan pun tidak, melangkah ke belakang pun tidak. Aku perhatikan sekeliling dahulu sementara Khai memunggah barang dari belakang kereta. Luas lamannya. Dihiasi pula dengan pokok-pokok bunga sebagai penaik seri. Di belakang rumah atuk dan nenek pula ada dusun buah-buahan. Rasa takut menerjah diri sebab ini pertama kali aku jejak kaki dan akan menginap di sini.
"Jom, masuk. Mama dah sampai. Ada dekat dalam."
"Aku takut." ujarku jujur.
"Kenapa? Nenek dan atuk tak makan orang pun, sayang. Aku ada, kan?"
Atuk memang ok. Tapi nenek...
Bukannya aku nak mengata yang buruk-buruk pasal nenek Khai. Cuma... tanggapan pertama aku pada nenek waktu kami pertama kali jumpa adalah kurang menyenangkan.
Tepat pada waktunya mama dan nenek muncul depan pintu rumah. Menyambut kedatangan kami. Aku maniskan senyuman di hadapan kedua orang tua itu. Tangan mama dan nenek aku raih untuk disalam.
Tapi tiba pada nenek, belum sempat hidung aku nak mendarat di belakang tapak tangannya, dia terlebih dulu menarik tangannya dari pegangan aku. Tadi aku nampak Khai salam elok aje hidungnya melekat di belakang tangan nenek. Bila pandang muka aku, senyum yang koyak di hadapan Khai tadi cepat-cepat dijahit semula.
Sama macam waktu majlis pernikahan dulu. Tiada langsung senyuman di bibir. Membuatkan aku tertanya-tanya jika aku ada melakukan sebarang kesalahan.
Kami semua berlalu masuk ke dalam rumah selepas dipelawa nenek. Mama tunjukkan bilik yang bakal didiami aku dan Khai untuk tiga hari dan dua malam.
"Khai dan Bunga, tidur dekat bilik sebelah ruang tamu tu. Disebabkan awak berdua dah kahwin, dapatlah bilik khas. Kalau tak Khai tidur bersepah aje dekat ruang tamu dengan saudara-mara lain," kata mama diikuti dengan tawa kecil.
"Letak barang-barang dalam bilik dulu. Lepastu pergi dapur. Kita makan sekali." Seraya itu mama meninggalkan aku dan Khai di ruang depan.
Aku hanya akur dan mengikut langkah Khai masuk ke bilik. Selepas meletakkan barang-barang, kami bergerak menuju ke dapur seperti yang dipesan mama.
"Baru sampai?" Atuk yang baru muncul dari pintu belakang rumah mencelah. Aku tunduk dan salam tangan atuk.
"Ya, atuk. Tak sempat duduk pun lagi. Ni atuk dari mana?" gurau Khai.
"Pergi kedai runcit dekat simpang tiga tu. Nenek kau lupa nak beli garam tadi." Dia duduk di kerusi kayu bersebelahan dengan Khai. Tangan tuanya mencapai secawan kopi yang baru dibancuh mama tadi.
"Khai, nanti bolehlah ajak Bunga jalan-jalan dekat kampung kita ni. Belum sibuk lagi ni sebab majlis doa selamatnya pun esok malam. Esok baru nak mula masak. Banyak lagi masa nak rehat," tambah atuk lagi.
Khai hanya mengangguk mengiyakan kata atuk. "Boleh juga Khai tengok apa perkembangan dekat kampung ni."
Aku menuang air masak ke dalam gelas. Haus-haus begini tekak sedap dilalukan dengan air kosong. Lagi pula aku bukan peminat kopi yang pahit. Sebiji kuih bahulu aku masukkan ke dalam mulut.
Mama yang baru labuhkan duduk di depan aku disapa. "Kak Teha belum sampai lagi ke, mama?"
Air kopi yang masih panas di dalam cawan disisip sekali sebelum menjawab soalan aku. "Suami dia kerja harini. Paling awal diorang sampai malam nilah kot. Kalau tak, esoklah tu baru nampak batang hidung."
"Oh." Nampaknya aku hanya ada Khai sebagai teman buat masa sekarang. Haih... Kalau Kak Teha sudah ada di sini, bolehlah juga aku berborak-borak dengan dia. Tak pun bleh luangkan masa bermain dengan anak buah Khai.
YOU ARE READING
KHAI'S FLOARE ✓
Romance𝐊𝐡𝐚𝐢'𝐬 𝐅𝐥𝐨𝐚𝐫𝐞 | 𝐂𝐨𝐦𝐩𝐥𝐞𝐭𝐞𝐝 𝐒𝐭𝐨𝐫𝐲 AKIF KHAIZURAN. Lelaki jambu yang diminati ramai kerana rupa fizikalnya. Wajahnya tak pernah lekang dengan senyuman. Sifat ramah sudah sebati dengan dirinya. Mulutnya suka menabur kata-kata ma...