"MACAM mana dengan Camelia, pa?" Uzzair yang baru sahaja tiba dengan mengah yang bersisa terus saja mengajukan pertanyaan. Terpapar jelas riak risau pada wajahnya saat ini. Semestinya terkejut bilamana menerima berita kemalangan Camelia sebentar tadi. Terus terburu dia mengejar masa ke sini.
"Nothing serious. Cuma ada cedera sikit dekat bahagian tangan. Tapi jangan risau, keadaan dia stabil. Dah sedar dah pun," balas Dato Rusydan pula. Dia pun baru saja menerima laporan dari doktor yang habis memeriksa anaknya sebentar tadi. Tangan naik menepuk bahu Uzzair, mahu menenangkan perasaan yang melanda menantunya.
Akhirnya, dapatlah Uzzair menarik nafas lega sejenak setelah itu. Kerisauan kini sudah dihalau pergi bila mendengar maklumat yang dikira positif dari bapa mertuanya. Sejak perjalanan untuk kesini lagi, dia memikirkan bagaimana keadaan Camelia. Nak memandu pun tak tenang. Rasa bersalah pada isterinya mula berganda-ganda. Bersalah pada sesuatu.
Kepala Uzzair kemudian berpaling ke kiri dan kanan. Mencari kelibat-kelibat yang dikenali.
"Yang lain mana, papa?" Uzzair meluahkan pertanyaan yang bermain di kepala. Takkan ada papa seorang saja yang melawat Camelia saat ini di hospital.
"Reen keluar pergi belikan makanan untuk Camelia."
"Uzzair dah tahu?" Sambung Dato Rusydan lagi berbaur soalan. Mahu membuka cerita yang merupakan rahsia ahli keluarga. Mungkin Uzzair masih belum tahu mengenai hal ini dan sebagai salah seorang anggota dari keluarga ini, menantunya itu harus tahu.
"Tahu apa?" Uzzair menayang muka serius. Fokus pada apa yang mahu diberitahu.
"Reen dengan Kamal dah berpisah. Camelia kemalangan tadi sebab nak lari daripada abang ipar dia yang nakkan Sofea. Mungkin Camelia ingat daddy Sofea nak rampas Sofea tadi," jelas Dato Rusydan. Membuka cerita tentang masalah yang menimpa Katreena, anak sulungnya.
"Takkan sampai macam tu sekali?" Agak terkejut Uzzair tatkala bertanya. Riak wajah menerangkan segalanya.
"Bila dah alami sendiri, tahu lah macam mana nanti. Nak tentukan hak penjagaan memang susah. Banyak urusan nak kena selesaikan. Camelia memang tak nak Sofea jatuh dekat tangan Kamal. Dia sayang sangat-sangat dekat Sofea."
Dato Rusydan berkata lemah. Mahu marah, tapi tidak tahu mahu marahkan siapa. Mungkin semua ini salahnya juga sebagai seorang bapa yang kurang mengambil peduli tentang urusan anak sendiri. Tapi... masing-masing sudah berkeluarga, takkan mahu campur tangan pula?
"Papa harap Uzzair takkan jadi macam tu." Sekali lagi, bahu Uzzair ditepuk berkali. Seolah menyalurkan harapan agar menantunya tidak akan melakukan hal yang sama.
Uzzair hanya diam. Tidak memberi tindak balas atau apa-apa jawapan. Enggan memusnahkan kepercayaan dan harapan Dato Rusydan kepadanya. Masa hadapan, tidak boleh kita duga apa yang bakal berlaku nanti.
"Uzzair masuk dulu. Nak jenguk Camelia," pinta Uzzair. Tidak mahu memanjangkan topik tadi, bimbang terlepas kata-kata.
"Pergilah. Papa kena balik. Nak tengokkan mama dekat rumah. Apa-apa nanti, bagitahu papa." Angguk kepala sebelum dua lelaki itu mulai bersalaman.
Tatkala bayang Dato Rusydan menghilang pergi, Uzzair terus saja membuka pintu bilik wad yang menempatkan Camelia.
Susuk seorang gadis berpakaian hijau sedang berbaring di atas katil menyapa pandangan. Bila dengar saja bunyi pintu, Camelia menggerakkan kepala ke sisi. Melihat siapa gerangan yang datang melawatnya.
Tautan mata mereka bertembung saja, air muka Camelia yang tenang tadi mulai berubah. Tegang. Sebelum dia melarikan pandangan ke arah lain.
"Buat apa datang?" Dingin soalan Camelia. Bunyi kerusi ditarik menyapa halwa telinga. Menandakan jarak antara dia dan Uzzair kini sudahpun hampir.
YOU ARE READING
HANYA UNTUK SEDETIK ✔️
RomanceUzzair | Camelia Segalanya bermula dengan pendustaan. Sepanjang hidup, pernah kau buat keputusan meninggalkan sesuatu yang sempurna demi mengejar sesuatu yang tidak pasti? --------------------- Hidup adalah pilihan. Kata orang, pilihan itu di tang...