Roma : Julai 476
Lucius terbaring kesakitan menunggu saat kematian tiba. Sudah lebih sepuluh tahun dia menjadi komander tentera pasukan yang hanya terdiri dari para perajurit berbangsa Rom dan Itali sahaja.
Berbanding dengan tentera-tentera Rom lain yang lebih merupakan tentera upahan dari Jerman dan Gaul, Legio Avgvsta adalah merupakan tentera rahsia yang hanya taat kepada Maharaja Rom terdiri dari lebih 1000 legionari yang sanggup berjuang hingga mati mempertahankan Rom dan Itali. Sudah banyak tanah jajahan Rom di Eropah Barat termasuk Semenanjung Iberia yang jatuh ke tangan bangsa Gothik dan lainnya menyebabkan tentera-tentera upahan tidak lagi dapat dipercayai.
Bantuan dari Maharaja Rom Timur yang berpusat di Konstantinopel juga tidak kunjung tiba kerana mereka juga kini berjuang melawan musuh-musuh mereka sendiri. Maharaja Augustus Romulus yang masih terlalu muda juga tidak dihormati oleh Maharaja Rom Timur kerana beliau sebenarnya mempunyai calon tersendiri untuk takhta Maharaja Rom Barat.
Tidak jauh dari bandar Ravenna, Lucius dan tenteranya diserang dari luar dan dalam. Ketumbukan tentera upahan berkuda dari Gaul yang sepatutnya membantu tentera Rom telah berpaling tadah menyertai tentera Heruli menyebabkan para legionari dari Legio Avgvsta yang terdiri dari tentera berjalan kaki dan berbaju perisai menurut tradisi legio-legio terdahulu semasa zaman keemasan Rom mula keletihan.
Satu demi satu perajurit gugur atau meletakkan senjata, ramai yang di bunuh serta ditawan sehinggalah musuh tiba menuju ke kumpulan pengawal peribadi Lucius yang turut memegang panji-panji Rajawali pasukan tentera terakhir dari bangsa Rom dan Itali. Lucius dan para pengawal peribadinya berjuang habis-habisan dan mereka tidak mungkin menyerah kalah dan satu demi satu perajurit tewas sehinggalah tubuhnya juga ditikam dengan lembing dan tombak menyebabkan Lucius tumbang tidak sedarkan diri.
Dibiarkan terbaring oleh musuh yang menyangkakan bahawa dia telah mati lalu pergi membawa panji keramat pasukannya, Lucius hanya tersedar apabila malam tiba. Seluruh badannya kesakitan dan dia tidak mampu bergerak di malam yang begitu sunyi dan gelap gelita. Baju perisainya juga telah ditanggalkan dan dia hanya bertunik merah, warna kemegahan dan keperwiraan bangsa Rom. Tidak langsung kedengaran bunyi-bunyian haiwan dan mergastua, seolah-olah semuanya menangisi perwira-perwira yang terkorban. Tidak ada lagi tentera yang mampu mempertahankan Rome. Semuanya sudah hampir menemui kesudahan.
Di ambang maut, antara hidup dan mati, Lucius terdengar bunyi tapak kaki membelah rumput yang dibajai darah-darah pejuang yang tumpas. Tidak lama kemudian, sekujur tubuh berstola warna putih berlutut di sebelahnya dan menyuakan kantung berisi air kepada Licius. Dia yang sememangnya dahaga terus meminum seolah-olah itulah kali pertama dia meminum air dan dirasakannya begiti sedap dan manis sekali.
Lukanya masih terbuka dan darah masih mengalir namun baju perisai yang dipakainya sebelum ini berjaya menahan tusukan yang lebih dalam. Namun Lucius merasakan tubuhnya begitu lemah sehinggakan nafasnya begitu perlahan.
"Terima kasih," ucapnya perlahan kepada wanita yang memberinya minuman itu.
"Berehatlah Lucius... Aku akan menjagamu," balas wanita itu.
"Siapakah engkau? Adakah engkau mengenaliku?"
"Namaku Mirabelle. Tidak ada orang-orang Rom yang tidak mengenalimu, Jeneral..."
"Rom akan tewas... Segeralah engkau melarikan diri Mirabelle... Orang-orang barbarik ini tidak akan mengira wanita ataupun kanak-kanak... Mereka akan membunuh atau memperhambakan semuanya..."
"Aku boleh menjaga diriku wahai Lucius, sebagaimana aku akan menjaga dirimu..."
"Aku tidak akan lama lagi di dunia ini... Luka di tubuhku terlalu hebat. Aku tak akan dapat berbakti kepada Rom dan Maharaja lagi..."
"Mahukah engkau hidup selama-lamanya Lucius?"
Dia hanya mampu tersenyum mendengar soalan dari wanita yang bernama Mirabelle itu. Dalam kegelapan, wajahnya ssolah bercahaya menunjukkan rupanya yang menawan dengan rambut hitam yang lurus panjang sehingga melepasi bahu.
"Tidak ada sesiapa yang akan hidup selamanya... Aku tidak akan mati... Hanya berpindah dari dunia ini ke Elysium... tempat di mana nenek moyangku dan para pahlawanku menunggu... Mereka sudah lama menantikan ketibaan ku... Sekali lagi, Mirabelle, segeralah engkau meninggalkan tempat ini. Pergilah ke Konstantinopel dan berlindung di sana..."
Mirabelle hanya tersenyum. Diusapnya pipi Lucius yang berdarah dan dibelai-belainya rambut lelaki berusia awal 30an itu.
"Bukankah aku telah memberitahu yang aku akan menjaga mu? Mahukah kau jika aku berikan hadiah ini?"
"Hadiah apakah yang akan kau berikan padaku, Mirabelle?"
"Kehidupan abadi bersamaku..."
"Adakah engkau akan membawaku ke Elysium? Adakah engkau dihantar oleh Dewa Martius untuk membawaku ke sana?"
"Engkau tidak perlu ke sana, kerana Elysium tidak wujud. Hanya ada syurga dan neraka di sebelah sana. Engkau akan hidup menjalani kehidupan abadi bersamaku di dunia ini, sekiranya engkau menerima pemberianku ini..."
Menyangkakan yang Mirabelle hanya melayannya untuk menggembirakan dan juga membuatkan kematiannya dalam keadaan tenang, Lucius hanya tersenyum dan mengangguk.
Mirabelle kemudiannya mengambil dan memegang tangan Lucius sambil membalas senyumannya.
"Tenanglah perwiraku... Pejamkan matamu... Apabila engkau membuka matamu esok, engkau akan melihat dunia dengan padangan yang baru..."
Lucius yang memejamkan matanya merasakan pergelangan tangannya berada diantara dua bibir wanita itu. Kulitnya dirasakan bagai disiat, menyakitkan melebihi luka-luka tusukan pedang yang lain di seluruh tubuhnya. Dirasakan seperti darahnya mengalir keluar dengan laju bagai air empangan yang pecah. Nafasnya mula perlahan apabila dia merasakan ada titisan air menitik ke atas bibirnya.
Apabila dibuka matanya, dilihatnya pergelangan tangan Mirabelle berada tetap di atas bibirnya mengalirkan darah. Bagai dipukau mulutnya terbuka lalu segera memagut tangan yang dihulurkan meminum darah yang lebih manis dari wain Falernian yang digemarinya. Nafasnya mula terhenti sehinggalah tubuhnya berasa seperti di bawa terbang di awangan sehinggalah Lucius terus tidak sedarkan diri...
🔷🔷🔷🔷🔷Nota🔷🔷🔷🔷🔷
Tunik adalah pakaian kebiasaan lelaki Rom manakala stola adalah pakaian untuk wanita yang lebih menyerupai toga (pakaian rasmi lelaki Rom terutamanya golongan bangsawan).
Avgvsta (Augusta) bermaksud dari Augustus iaitu nama gelaran yang digunakan oleh Maharaja Rom. Huruf V sengaja digunakan kerana tulisan Latin lama tidak menggunakan huruf U.
Legio atau Legion adalah satu divisyen tentera Rom yang jumlahnya berbeza-beza mengikut zaman. Pada akhir-akhir kejatuhan Rom Barat, Legion terdiri dari lebih kurang 1000 tentera tidak termasuk bantuan sokongan.
Gelaran Maharaja sebenarnya tidak begitu tepat kerana Rom sudah tidak mengamalkan sistem beraja lebih kurang 500 tahun sebelum Masehi. Pada zaman Empayar (14BC-476AD), Rom secara dasarnya masih sebuah Republik tetapi di perintah oleh seorang Emperor sahaja berbanding 2 Konsul yang bergilir-gilir dilantik setiap 2 tahun. Perkataan Emperor (Maharaja) datangnya dari perkataan Latin Imperator yang lebih kurang bermaksud Ketua Tertinggi Tentera. Pemerintah Rom kemudiannya digelar sebagai Caesar mengambil sempena Julius Caesar.
Lucius dalam bab ini adalah seorang Jeneral atau Legate/Legatus dalam konteks ketenteraan Rom purba memerintah satu divisyen atau Legion.
YOU ARE READING
Perkara Kita
Historical FictionPerkara Kita adalah merupakan terjemahan dari perkataan La Cosa Nostra gang bermaksud 'Our Thing' atau 'Our Cause/Our Interest' dan merujuk kepada satu kumpulan sama ada berasaskan keluarga atau tempat tinggal yang sama dan memiliki tujuan yang sama...