Finally, dapat publish~
.
.SELERANYA mati. Nasi goreng di dalam pinggan dikuis-kuis hambar. Tidak lalu untuk disuapkan ke dalam mulut apabila memikirkan nasibnya yang bakal gagal untuk satu subjek di semester ini. Walaupun cuma satu, tetapi kelak akan tetap memberi kesan pada kiraan GPA.
"Tini... janganlah macam ni. Dah tiga hari aku tengok kau tak lalu makan. Nak nampak kau makan sesuap pun susah. Aku risau kau jatuh sakit nanti. Kita dah nak dekat final exam tau. Kau kena jaga kesihatan..." pujuk Aqila mengambil berat.
"Apa bezanya pun Qila... aku jatuh sakit ataupun tidak, nasib final exam aku memang dah hancur," jawab Fatini sambil menyuap sesudu nasi goreng ke dalam mulut. Nak tak nak, dia perlu juga isi perut.
Aqila menggeleng. Tidak tahu lagi bagaimana cara untuk memujuk hati Fatini agar jangan terlalu cepat mengalah.
"Jangan hanya kerana satu subjek, kau nak terus give up Tini. Kau masih ada subjek lain yang kena fikir. Pasal isu plagiat tu, kau boleh usahakan untuk mengadu pada dekan. Kau boleh fight."
Keluhan dilepaskan sebelum sudu dan garpunya diletak pada bibir pinggan. Fatini benar-benar tidak mampu menghabiskan nasi goreng itu walaupun makanan tersebut adalah makanan kegemarannya di kafe universiti ini.
"Memang sekadar satu subjek tapi dia akan beri kesan pada GPA aku nanti, Qila. Mustahil aku akan menang. Kau sendiri tahu Prof. Ahmad tu antara lecturer paling lama dekat sini dan berapa banyak anugerah dia dapat sepanjang mengajar. Tak akan mudah kredibiliti dia dipertikai. Cakap memang senang, tapi kita semua tahu hakikatnya macam mana. Pelajar sentiasa salah..." Fatini tersenyum sinis. Jelas ada nada kecewa pada suaranya.
Terkunci bibir Aqila untuk mengulas lebih lanjut. Bimbang ayat-ayatnya nanti akan semakin mengguris hati Fatini.
"Yang paling aku tak puas hati... aku rasa tindakan Prof. Ahmad betul-betul tak adil. Aku nak tahu siapa student tu!"
Fatini jadi berang apabila teringatkan hal itu. Gelas minuman segera dicapai dan disedut rakus bagi menghilangkan rasa hangat di hatinya.
"Hmm, aku faham perasaan kau, Tini. Aku harap kau tak bersedih terlalu lama sebab ni, ya."
Tangan Fatini yang terletak di atas meja dicapai dan diramas lembut untuk menyuntik sedikit semangat. Hendak tolong pun, apa kuasa yang dia ada selain kata-kata sokongan yang tidak seberapa.
Tak. Kau tak faham, Qila. Sebab hidup kau selalu indah. Kau tak pernah rasa apa aku rasa. Tak pernah. Sebab kau terlalu bertuah!
Namun kata-kata itu hanya mampu diluahkan di dalam hati. Tidak akan pernah mampu dia ungkapkan rasa itu dan biarlah ia tersimpan kemas menjadi rahsia.
Fatini angkat wajah lalu merenung wajah manis sahabatnya itu. Aqila memang sahabat yang cantik dan baik. Sentiasa ada di saat dia susah dan senang sejak di bangku sekolah lagi.
Berdosakah dia kerana menyimpan perasaan cemburu terhadap sahabat sendiri?
"Qila!" tegur Iman yang entah tiba dari mana itu.
"Eh, Iman. Kau dari mana ni? Tercungap-cungap macam baru lepas berjalan jauh aje. Jomlah makan sekali dengan kita orang," ajak Aqila.
"Aku baru balik dari library. Dah nak musim exam ni, memang library tu jadi rumah kedua aku dah. Aku dengar coursework kau full mark untuk subjek process plant design. Gila hebat weh kau! Senpai..."
Bukan main Iman memuji penuh kagum. Dia memang pandang tinggi pada pelajar yang mampu dapat markah penuh untuk subjek yang paling susah baginya itu.
Aqila tersipu malu apabila dipuji sebegitu. Tidak pasti untuk memberikan reaksi yang bagaimana.
"Ish, kau ni... mana kau tahu ni. Tapi mana ada hebat. Itu cuma rezeki. Aku pun tak sangka sebenarnya. Kau pun apa kurangnya. Jangan nak acah sangat dapat rendah ya! Aku cubit karang."
Sempat juga Aqila mengerling pada Fatini yang hanya menunduk sambil menguis nasi goreng di dalam pinggan. Gadis itu nampak leka dan beriak biasa. Seperti tidak berminat untuk masuk sekali dalam perbualan mereka berdua.
"Dekat library tu dah heboh kau dapat full mark weh. Sekejap aje tersebar. Mustahil aku tak tahu. Sekejap lagi, confirm kau kena serbu dengan dia orang pula."
Iman berdekah ketawa dan kagum dengan sifat merendah diri Aqila. Betullah orang kata, orang yang bijak pandai ni selalunya orang yang sangat merendah diri.
"Tapi, serius kau memang hebat. Pecah rekod ya ada student dapat full mark untuk coursework subjek ni. Kalau setakat subjek separation process, calculus, aku tak heran sangat. Tapi ni subjek paling susah tau untuk course kita." Iman masih tidak berhenti memuji.
"Ya Allah, kau ni Iman. Janganlah puji aku lebih-lebih sangat... aku biasa-biasa ajelah..." Aqila masih jua merendah diri dengan menganggap itu semua hanyalah sekadar rezekinya.
"Bukan biasa-biasa tapi luar biasa! Bolehlah kau jadi mentor aku lepas ni." Iman tersengih-sengih ada makna. "Boleh ajar aku untuk final exam nanti."
Aqila tergelak sekadarnya sebelum mengangguk.
"Boleh aje... mana yang boleh aku tolong, aku akan tolong. Tapi aku pun masih banyak yang belum faham. Kita boleh belajar sama-sama."
"Untung kau kan, Tini. Dapat kawan bijak macam ni. Mesti result kau haritu pun gempak kan? Aduh, aku jealous!" Iman buat muka monyok, kononnya cemburu.
Terus berubah wajah Fatini mendengarkan itu. Perlahan-lahan dia angkat wajah dan dibiasakan seboleh mungkin air mukanya.
Gamam sebentar untuk menjawab soalan yang dirasakan begitu membunuh jiwa itu. Letih kerana sering disamakan atau dibandingkan dengan Aqila.
Aqila yang menyaksikan situasi sekarang, menjadi semakin serba-salah. Sudahlah sahabatnya itu masih bersedih hati.
"Tak adalah... result aku biasa-biasa aje. Tak mampu setanding Qila lagi." Fatini akhirnya menjawab tenang dengan segaris senyuman di bibir.
"Eleh, iyalah tu. Kau orang berdua ni sama aje. Dua-dua merendah diri sangat. Padahal result masing-masing gempak!" Iman bersuara tidak puas hati. Tidaklah cemburu betul-betul. Sekadar ingin mengusik.
"Okeylah Qila, Tini, aku nak naik bilik ni. Nanti aku whatsapp kau orang okey? Nak belajar sekali dengan senpai-senpai sekalian! Bye!"
Iman berlalu pergi meninggalkan Aqila dan Fatini dalam suasana canggung. Masing-masing diam seribu bahasa.
Aqila yang masih serba salah manalala Fatini yang masih terkesan dengan kata-kata Iman sebentar tadi. Alangkah bagusnya jika apa yang dikatakan itu adalah benar. Namun kebenarannya, hanya mereka berdua yang tahu.
Tidak sanggup untuk membiarkan keadaan mereka terlalu lama menyepi, Fatini terlebih dahulu bersuara.
"Aku dah kenyanglah, Qila. Kau pun dah habis makankan? Jomlah kita naik bilik..."
Aqila mengangguk bersetuju lalu memerhatikan langkah sahabatnya yang sudah bergerak ke sinki untuk membasuh tangan. Dia hilang kata untuk memujuk hati yang masih bersedih tersebut.
Bab ni pendek aje sebab cut bawa bab seterusnya
Next;
Bab 3: Bunuh diri(Jangan fikir bukan-bukan dulu ya HAHAH)
14/5/2022
YOU ARE READING
Khilaf Semalam
RomansSaat dia begitu lelah dengan berita yang begitu melumat hancurkan hatinya, Fatini tidak pernah menyangka... takdir mempertemukan dia dengan seorang lelaki asing yang mulutnya berbisa daripada segala bisa yang telah wujud di hatinya. "Apa kau fikir...