MOTOR Modenas Kriss kepunyaan Arsel dibawa keluar dari garaj seperti biasa. Walaupun motor ini adalah motor second hand, Arsel tetap tak kisah kerana dirinya sudah terbiasa. Kalau diikutkan kemampuan, boleh saja dia beli motor lain. Tambahan, dia ada lagi sebiji motor berkuasa tinggi di rumahnya dan dia akan gunakan motor itu jika dia ingin keluar berjalan pada waktu malam.
"Sana sikit. Motor kesayangan aku nak keluar ni," usik Naqeeb yang entah dari mana datang menghampiri adik lelakinya yang sedang menghidupkan enjin motor.
Arsel diam tak membalas. Penat nak layan perangai tak semenggah si abang. Kerja nak mengusik. Helmet yang berada di dalam bakul motor dipakai kemas di atas kepala. Ekor matanya menangkap pergerakan Naqeeb yang sedang mengeluarkan Kawasaki Ninja H2 milik jejaka itu sendiri.
"Tepi sikit motor buruk," gurau Naqeeb sambil tertawa besar.
"Separuh harga motor second hand aku ni boleh beli kau," balas Arsel berserta senyuman senget. Kunci pagar rumah ditekan untuk membuka pagar automatik itu.
"Apahal? Motor second hand kau bukan mahal mana. Nak dibandingkan dengan harga diri aku, berkali-kali ganda aku lebih mahal."
"Sebab kau murah," Arsel membalas, lalu dia terus menunggang motornya keluar dari kawasan rumah.
Dipulas kuat motor itu untuk mempercepatkan perjalanan sampai ke Petronas. Walkie talkie yang tersimpan di poket belakang seluar jeans dibawa ke dalam bakul motor. Tajam matanya memerhati kawasan lalu lintas, sekilas dia menjeling ke arah jalan raya yang penuh dengan kenderaan.
Gear motor ditekan. Telefon yang berdering di dalam bakul motor diabaikan supaya dia fokus kepada pemanduan di atas jalan raya. Lagipun, ada beberapa kamera tertutup dipasang oleh polis trafik pada lampu isyarat.
Sampai saja di Petronas, Arsel terus mematikan enjin motor serta-merta, lalu helmet ditanggalkan. Walkie talkie ditekan untuk melaporkan diri kepada unitnya.
"Arsel here. I'm reporting to the Criminal Investigation Department that I am on duty." Kunci motor dimasukkan ke dalam poket lalu topi kepunyaan dipakai.
Walkie talkie dimatikan sebelum kaki mengatur langkah ke dalam stor di belakang Petronas untuk mengambil penyapu serta penyodok.
"Zayden, baru sampai ke?" Seorang lelaki berbangsa Bangladesh menegur dirinya apabila mereka terserempak di pintu stor.
"Haah. Kau dah makan ke belum?" Seperti biasa, Arsel akan bertanya soalan yang sama setiap kali terserempak dengan Abdullah. Perut Abdullah selalu berbunyi setiap kali mereka berdua sedang bersembang. Bila ditanya sudah makan ke belum, Abdullah akan menipu bahawa dia sudah makan, walhal jarang sekali dia melihat Abdullah memegang plastik berisi makanan.
"Saya tak lagi."
"Tak apa?"
"Kamu tanya sama saya tadi, saya jawab tak lagilah." Abdullah garu kepala.
"Belum makan lagi?"
"Itulah, saya tak makan lagi."
Kecil besar kecil besar dia tengok Abdullah, geram pun ada juga, sebab lelaki ini selalu sangat cakap tak jelas sampai kadang-kadang dia sendiri tak dapat tangkap apa yang Abdullah katakan. Tangan menyeluk ke dalam poket seluar jeans dan sekeping duit bernilai RM20 diberikan kepada Abdullah tanpa rasa ragu-ragu.
"Kamu selalu bagi saya duit. Kamu ada duit ka?"
"Pergi beli makanan sana, jangan banyak tanya." Batang penyapu di tangan bertindak memukul kaki Abdullah.
"Saya tanya, jangan marah." Cubaan untuk mencubit pipi Arsel terhalang kerana jejaka itu menepis tangannya.
"Kau dah lama hidup ke?"
