TUDUNG yang baru saja selesai dipinkan, dikemaskan di hadapan cermin. Gincu dalam bekas beg solekan diambil lalu dioles di bibir sebelum kemam.
"Ayla cepatlah! Dah siap ke belum? Penat Mak Uda tunggu," bebel Puan Hawa kepada anak saudaranya. Suruh bersiap awal tak nak, last minute baru terhegeh-hegeh. Lepas itu, kelam-kabut.
Diperhati dirinya di hadapan cermin seketika. Abaya hitam, tudung bawal hitam. Nice. Baguette bag di atas kerusi dicapai dan kunci kereta Perodua Myvi disambar oleh Ayla. Kelam-kabut dia keluar dari biliknya setelah terdengar leteran Puan Hawa yang tak henti dari tadi.
"Lamanya anak saudara Mak Uda. Cuba bersiap cepat sikit, jangan bazirkan masa."
"Rileklah, Mak Uda. Tak ke mana pun kawan-kawan Mak Uda tu."
"Banyaklah. Dah cepat, Mak Uda tak suka orang tunggu."
"Pak Uda mana?"
"Bawa Tok Abah dengan Tok Umi jalan-jalan," Puan Hawa berjalan menuju ke pintu rumah.
Ballet flats di dalam rak kasut dipakai olehnya. Pintu rumah dikunci memandangkan dirinya orang terakhir keluar rumah. Lalu Ayla menerobos masuk ke dalam perut kereta di bahagian pemandu untuk menuju ke rumah bakal ibu mentuanya.
"Mak Uda jangan lupa tau. Dah habis bincang dengan aunty, teman Ayla pergi beli barang." Enjin kereta dipanaskan.
"Tahulah, tak payah nak ingatkan banyak kali."
"Kena ingatkan sebab Mak Uda bukan boleh percaya sangat. Dah jumpa kawan, lupa terus apa Ayla cakap. Lepas tu, suruh Ayla pergi sorang-sorang." Ayla tersengih setelah diberi jelingan oleh Puan Hawa.
Kereta Perodua Myvi milik Ayla terus keluar dari kawasan perumahan banglo setingkat itu dan meluncur laju ke destinasi.
"Nak beli apa?"
"Kamera baru, sebab job makin banyak. Musim orang kahwin. Tebal poket Ayla, Mak Uda."
Sesampai saja di rumah Encik Zarif, Ayla menghentikan kereta di luar pagar rumah tersebut. Belum sempat dia matikan enjin kereta, Mak Uda sudah keluar kereta terlebih dahulu.
Kepala digelengkan. Tak menyabar.
"Cantiknya Ayla," puji Puan Azizah.
Bibir dikemam. Kembang kuncup dia dibuatnya saat bakal ibu mentuanya memuji.
"Cantik-cantik ni nak pergi mana, sayang?" tegur wanita itu.
"Si Ayla ni nak keluar beli barang. Itu yang dia pakai cantik-cantik." Giliran Puan Hawa membalas bagi pihak anak saudaranya.
"Alang-alang nak keluar, pergilah sekali dengan Arsel. Dia pun dah siap nak keluar." Lupa pula bahawa anak bujangnya yang seorang itu ingin keluar hari ini. Ada baiknya dia suruh Arsel membawa Ayla sekali, jimat minyak kereta. Penampilan tertutup Ayla diperhati dalam diam. Cantik pun cantik. Memang sesuai jadi menantu. Pandai Arsel pilih.
Ayla pandang Puan Hawa.
"Pergi jelah. Mak Uda ada hal dengan aunty."
Dah agak. Memang ibu saudaranya akan lupakan dia bila berjumpa dengan kawan. Ingatkan pun tak ada guna, sebab Puan Hawa memang akan lupa. Dipandang dua orang wanita itu yang sudah masuk ke dalam rumah. Hm!
Tak apa, dia boleh pergi sendiri. Tak perlu rasanya pergi dengan Arsel. Bukan dia ada plan dengan lelaki itu pun nak keluar bersama. Lebih baik pergi sendiri.
Saat itu, sebuah kereta berwarna hitam berhenti di kawasan luar rumah agam ini. Tingkap kereta diturunkan seraya meletakkan telefon di atas paha. "Nak pergi mana?" Arsel bertanya setelah melihat susuk tubuh Ayla.
