Masuk bilik, Dara rebahkan badannya di atas katil usang beralas tilam nipis. Lega dia rasa selepas seharian membanting tulang. Telefon di sisi katil dia ambil. Skrin besar ditekan dan aplikasi Facebook dilihat. Salah satu perkara wajib yang dia buat sebelum melelapkan mata. Nak menonton televisyen dia malas sebab ada Mak Cik Hasnah di situ.
Laju saja jejari menskrol melihat berita yang dikongsi rakan Facebook. Sedang dia asyik melayan Facebook ada panggilan video WhatsApp masuk pula. Melihat nama Erica perasaan Dara mula berbunga-bunga. Laju saja jarinya menggesek ikon hijau untuk menjawab panggilan tanpa membuang masa.
"Ni hao ma." Ceria saja suara Erica ditalian.
"Sihatlah. Kalau tak macam mana aku nak jawab call kau." Dara ketawa kecil menjawab pertanyaan Erica.
"Busy ke?" Erica bertanya lagi.
"Taklah. Aku baru lepas makan. Sekarang masa aku free. Itu yang dapat layan handphone". Beritahu Dara dengan jujur.
"Hari ni kerja okey tak? Ada Abang Alan buli kau lagi?" Soal Erica lagi.
"Hari ini Abang Alan tak ada. Abang Alan dah jarang tolong daddy kau dekat nursery. Daddy kau cakap Abang Alan dah dapat kerja dekat KL". Beritahu Dara satu per satu. Alan adalah abang pada Erica.
"Yelah weh aku lupa langsung tentang tu. Okeylah tu Abang Alan dah tak ada. Nanti tak ada siapa yang nak kacau kau lagi". Erica ketawa lucu bila teringatkan segala yang berlaku.
"Bila kau nak balik sini? Aku rindulah dengan kau moi. Aku sunyi kau tak ada tahu tak!" Beritahu Dara dengan jujur. Air mata sudah bergenang di kelopak mata.
"Ala...la...la kasihannya dia. Besok aku balik Malaysia. Aku balik terus. Nanti kita boleh jumpa selalu". Erica ketawa senang hati.
"Really tak sabarnya aku nak jumpa kau. Nanti jangan lupa bawak kangaroo balik Malaysia buah tangan untuk aku.” Dara ketawa-ketawa mengusik Erica.
"Kau nak aku mereput dalam penjara pasal bawak buah tangan kau tu. Jangan weh! Aku tak kahwin lagi ni." Erica ketawa galak di hujung talian.
"Miang juga kawan aku ni ye sekarang. Dah ada boyfriend mata biru ke sekarang ni?" Sakat Dara lagi dengan ketawa lucu.
"Belum ada lagi tapi kalau ada apa salahnya. Kau nak tak? Kalau nak aku boleh belikan satu." Gurau Erica lagi.
"Aku kalau boleh tak nak mata biru. Aku nak yang mata sepet. Kalau dapat, aku nak dua tau buat teman aku tidur. Cari yang macam Lee Min Ho baru aku boleh tidur lena." Dara menambah lagi cerita merapu Erica. Selalunya memang begitulah ragam dia setiap kali berbual dengan Erica. Sentiasa mengusik antara satu sama lain.
"Tamak betul kawan aku ni. Tak habis-habis dengan mamat Korea kau tu. Okeylah aku letak dulu. Nanti makin aku layan kau, aku pula yang sewel. Aku nak kemas barang-barang ni sebelum balik. Kau nak apa-apa tak?" Erica bertanya lagi.
"No thanks. Aku cuma nak doakan kau selamat sampai dan cepat jumpa aku aje." Dara senyum melihat wajah Erica.
"Thanks dear. Aku chow dulu. Good night". Ucap Erica sebelum panggilan video ditamatkan.
Perasaan Dara berbunga-bunga ketika ini bila mengingatkan Erica akan pulang. Tak sabar dia mahu bertemu dengannya. Hanya WhatsApp dan panggilan video menjadi alat perhubungan mereka berdua untuk berhubung.
Telefon yang dipegang tadi Dara letak di sisi. Suis lampu di tepi dinding dioff sebelum dia melelapkan mata. Baru beberapa saat mata tertutup dia sudah pun terlelap. Tiba-tiba Dara terasa ada sesuatu menjalar di wajahnya. Dengan mata tertutup Dara tepis makhluk yang sedang bergembira bermain di atas mukanya. Memang menganggu betullah!
Beberapa minit kemudian Dara terasa ada benda menjalar atas perut dia pula. Ketika ini dia tak tunggu lama dan mata yang berat tadi terus terbuka. Dalam keadaan gelap gelita Dara terasa ada seseorang sedang duduk di atas badannya tapi wajah dia tak nampak dengan jelas. Baru Dara nak menjerit tangan besarnya menutup mulut dia.
Dara meronta-ronta ingin melepaskan diri. Dengan tenaga yang ada dia cuba melawan. Dara tolak dan tepis setiap sentuhan yang diterima hingga dia menjadi lelah. Badan mula terasa menggigil bila fikir dia akan tewas ketika ini. Dalam hati dia berdoa semoga ada orang yang akan membantunya nanti.
Tiba-tiba baju yang dipakai direntap dengan kasar. Wajah si lelaki mula mendekat pada lehernya lalu dikucup dan digigit rakus. Menggigil tubuh Dara bila diperlakukan seperti itu. Melihat si lelaki terleka mengerjakan tubuhnya, Dara mula melancarkan serangan menendang celah kelangkangnya.
Si lelaki mula mendengus sakit Dara dengar. Tubuh si lelaki, Dara tolak ke tepi. Kaki dia jatuhkan ke atas lantai lalu berlari ke muka pintu. Tangan pantas memusing tombol pintu untuk keluar dari situ. Bila pintu dikuak kelihatan Pak Cik Abdullah dan Mak Cik Hasnah sedang melihat ke arahnya.
Masing-masing tayang muka tak puas hati dengan dia. Bila Dara menoleh ke belakang untuk melihat si lelaki, mata dia membulat besar. Air liur yang ditelan terasa kesat. Lutut terasa lembik. Dugaan apa pula kali ini YaAllah.
“Apa yang korang berdua buat hah? Dah tak tahu malu ke berzina dalam rumah sendiri?” Pekik Pak Cik Abdullah dengan kuat. Renungan matanya dihalakan ke arah Dara dan anaknya Hakim.
“Hakim tak buat apa-apa ayah, Dara yang cuba goda Hakim tadi. Ayah nampak ni kemeja Hakim koyak bila Hakim cuba melawan. Mata dihalakan Hakim pada Mak Cik Hasnah sekilas sebagai isyarat meminta sokongan.
“Abang tak dengar ke apa yang anak kita cakap? Kalau dah keturunan tak elok memang macam tu. Tak kira tempat kalau dia nak menyundal. Halaukan aje bang keluar dari rumah kita. Sebelum dia memalukan kita nanti.” Sengaja Mak Cik Hasnah membakar emosi suaminya yang tengah marah.
Terasa sesak dada Dara mahu bernafas bila dituduh dengan perbuatan yang tak sepatutnya. Tak berhenti dirinya dihina hanya kerana kesalahan orang tuanya. Dia tak minta pun jadi macam ni. Kenapa manusia di sekelilingnya langsung tak faham keadaan dia. Bila Dara halakan mata pada Pak Cik Abdullah nampak dia kecewa teramat sangat padanya.
“Ayah, Dara tak buat macam tu. Dara tak goda pun abang Hakim.” Dara geleng kepala beberapa kali tanda tidak.
“Tak goda apanya kalau leher aku lebam kau kerjakan. Dada aku ni kau cakar sebab kau dah tak tahan.” Butang kemejanya dibuka Hakim satu per satu hingga menampakkan separuh badannya. Mata dihalakan pada Dara dan Pak Cik Abdullah silih berganti.
Terbeliak mata Dara bagaikan disampuk hantu. Sesuka hati aje Hakim nak fitnah dia. Bila masanya dia goda. Entah Hakim buat dengan betina mana-mana dia pula yang kena. Dara patut bersuara untuk membela diri supaya tak dipersalahkan. Baru nak buka mulut Pak Cik Abdullah sudah meluru ke arahnya.
Panggg!!!!
Berdengung telinga Dara bila ditampar Pak Cik Abdullah tiba-tiba. Rasa perit dan kebas Dara rasa. Selama 23 tahun dia hidup belum pernah lagi Pak Cik Abdullah naikkan tangan padanya tapi hanya satu fitnah yang dibawa dia terpaksa terima. Tempat yang sakit itu Dara usap dengan tangan. Air mata mula bergenang ditubir mata.
“Kau ni memang memalukan aku aje tahu tak! Sia-sia aje aku bela kau dari kecik. Aku tatang kau bagai minyak yang penuh tapi taik yang kau balas aku. Kalau dasar anak tak ada keturunan memang macam tu agaknya. Langsung tak ada perasaan malu buat maksiat depan aku.” Sembur Pak Cik Abdullah langsung tak bertapis.
Koyak rabak hati Dara ketika ini mendengar hinaan Pak Cik Abdullah. Kasar bahasa Pak Cik Abdullah hingga menghiris seluruh perasaannya.
“Ayah, Dara tak buat semua tu. Tolonglah dengar cakap Dara, ayah.” Tangan Pak Cik Abdullah, Dara capai lalu digenggam erat. Wajah Pak Cik Abdullah, dia lihat tak berkedip mengharapkan pengertian darinya.
“Tak payah dibagi muka lagi bang. Halaukan aje dia keluar dari rumah kita. Dah cukup kita bela dia selama ini. Lepas ni pandai-pandailah dia nak duduk di mana.” Mak Cik Hasnah bersuara lagi selepas melihat Pak Cik Abdullah cuma terdiam kaku.
Selama ini hati Pak Cik Abdullah akan cepat tersentuh setiap kali dia merayu. Memang Pak Cik Abdullah sentiasa lebihkan dia dari anak-anaknya. Hingga semuanya jadi cemburu dengan dia.
“Pergilah ke mana kamu nak pergi Dara. Ayah dah tak ada halangan lagi. Ayah cuma mampu jaga kamu setakat ini aje.” Rungkaikan tangan Dara pada tangannya terus Pak Cik Abdullah pusing langkah beredar dari situ.
“Ayah! Jangan buat Dara macam ni. Dara dah tak ada sesiapa.” Dara jerit kuat panggil Pak Cik Abdullah supaya dia menoleh ke arahnya semula. Tapi Pak Cik Abdullah terus berlalu meninggalkannya tanpa menoleh ke belakang lagi. Tubuh yang tegak tadi terus jatuh melorot ke atas lantai. Air mata yang ditahan dari tadi menderu-deru turun dari kelopak mata.
Bila Dara angkat muka Mak Cik Hasnah sudah tersenyum melihat ke arah dia dan berlalu pergi. Seperti Mak Cik Hasnah pun suka kalau dia pergi dari sini. Pandang muka Hakim nafas dia terus menderu ganas. Tubir mata yang basah dengan air mata Dara kesat dengan belakang tangan. Dia kena kuat berdepan dengan Hakim ketika ini.
“Apasal tak puas hati? Lain kali kalau aku mintak bagi. Jangan nak acah-acah suci sangat dengan aku. Cuba tadi kalau kau tak melawan. Sedap pun kau dapat. Lepas ni pandailah kau nak hidup kat luar sana tu.” Hakim ketawa senang hati dan terus menapak ke arah pintu biliknya.
Bayang Hakim yang sudah menghilang Dara lihat lama. Tarik nafas dan sedut perlahan untuk menghilangkan rasa sedih yang membungkam di dada. Dara kena kuatkan hati berdepan dengan semua ini. Dia tak boleh berharap pada sesiapa lagi sekarang.
Masuk ke dalam bilik Dara kemaskan segala pakaian yang ada di rak dan almari. Selesai urusan Dara susun semua pakaian di dalam beg. Dokumen pengenalan diri turut dia bawa sekali. Sekeliling bilik Dara lihat lama. Tiada apa yang tinggal dia lihat. Kalau boleh dia tak nak tinggal segala kenangan yang menyakitkan. Kali ini Dara nekad untuk memulakan kehidupan baru walaupun dia tak tahu di mana.
Dara baringkan semula badan di atas tilam. Untuk terakhir malam ni dia akan berada di sini selepas itu dia tak tahu nak tidur di mana. Pejamkan mata Dara cuba lupakan apa yang dia fikir ketika ini. Semoga besok bila fajar menjelma ada sinar bahagia untuknya.
Baru saja Dara terlelap, ada ketukan di pintu dia dengar. Mata yang memberat dia tenyehkan berkali-kali supaya boleh terbuka. Turunkan kaki ke atas lantai, perlahan dia menapak ke arah pintu. Dara kuak sedikit pintu untuk melihat gerangan siapa.
Terkejut Dara apabila melihat Pak Cik Abdullah sedang berdiri di muka pintu. Wajahnya masih bengis dan langsung tiada senyum dia lihat. Dara ramas tangan dengan kuat untuk menghilangkan rasa resah. Janganlah malam ini Pak Cik Abdullah halau dia keluar pula. Dia hanya perlukan sedikit masa sebelum beredar dari sini.
“Ada apa ayah cari Dara?” Takut-takut Dara bertanyakan pada Pak Cik Abdullah.
“Dalam ni ada barang-barang yang ibu kamu tinggalkan ketika ayah jumpa kamu. Nanti cubalah cari lelaki bernama Zafuan kalau nak tahu lebih lanjut pasal ibu kamu. Sebenarnya masa jumpa kamu dulu, ayah dah cuba hubungi dia tapi tak dapat. Ayah tak tahu lelaki itu ada kaitan apa dengan ibu kamu. Itu aje ayah nak cakap.” Sampul surat berwarna coklat, Pak Cik Abdullah hulurkan pada Dara sebelum dia beredar.
Baru beberapa tapak Pak Cik Abdullah melangkah, Dara panggil namanya dan membuatkan dia berpaling ke arahnya semula. Mata dihalakan Pak Cik Abdullah pada Dara tak berkedip.
“Ayah, terima kasih sebab jaga Dara selama ini. Budi baik ayah, Dara akan kenang sampai bila-bila. Izinkan Dara menumpang di rumah ayah malam ini.” Dara tahan sebak yang melanda di jiwa sebab tak sanggup berpisah dengan Pak Cik Abdullah buat selamanya.
“Ayah izinkan.” Pak Cik Abdullah anggukkan kepala dan terus pusing tubuh menapak ke biliknya.
Masuk bilik, Dara tutup semula pintu. Sampul surat yang dipegang Dara lihat lama. Perasaan cukup berdebar mahu melihat apa yang ada di dalam sampul surat tersebut. Menggigil tangannya mahu membuka sampul surat yang dipegang.
Bila dibuka Dara lihat ada seutas rantai emas dengan loket berbentuk hati. Selain dari itu dia jumpa sehelai selimut dan sehelai napkin serta sekeping kad bisnes. Kad bisnes yang sudah usang itu Dara lihat lama. Berkerut dahinya melihat semua itu. Mampukah petunjuk yang ada dia mencari jejak ibu? Dara tak mampu fikirkan ketika ini.
YOU ARE READING
Tidak aku pinta begini
RomanceNama aku Dara Nurissa binti Abdullah. Nama dia pula Hanan Khaleeda binti Abdullah. Walaupun nama ayah kami sama tapi ada bezanya. Aku hanya anak angkat yang dilahirkan sebagai seorang anak yang tidak sah taraf. Ditinggalkan ibu sendiri ketika kecil...