Nenek

1 0 0
                                    

Jam 3.00 pagi.

Mia tersedar dan bangun. Berasa ingin ke tandas. Tiba-tiba, kaki sebelah kanan terasa berat dan sakit.

Dia gigih bangun dan memaut hujung katil. Shafa dan Ilmiza lena tidur. Tidak sampai hati mahu mengejutkan teman sebilik. Puas dia cuba bangkit, akhirnya berjaya juga.

Mujur juga bilik yang dipilih mereka adalah 'master bedroom'. Jadi tak perlu susah hendak menggunakan bilik air di luar. Namun, agak susah juga dia ingin melangkah. Entah kenapa selepas pulang dari main pertandingan badminton lewat petang tadi, kaki kanan berasa lain macam.

Hati Mia bertambah risau kerana jam 10.00 pagi nanti dia akan menduduki peperiksaan di kolej tempat dia belajar separuh masa. Mahu atau tidak, dia perlu bersiap dan pergi mendapatkan rawatan ke hospital yang tidak sampai tiga kilometer dekat dengan kuaters mereka. Muka dicuci dan Mia hanya mampu berkumur dengan Listerine.

Segera dia masuk ke dalam bilik. Mia lekas menyarung Cardigan labuh dan tudung sarung. Tidak lupa dengan beg tangan yang sudah tersedia dengan barang penting. Bergenang mata apabila setiap langkah, dia rasa perit seolah dipaku ke lantai bumi. Kunci kereta diambil. Dia membuka pintu rumah dengan kunci pendua, lalu dikunci semula. Air mata menitis kerana menanggung kesakitan yang tiada terperi.

Setelah masuk ke dalam perut kenderaan, dia terus menghidupkan enjin. Kaki berasa sangat sakit. Seolah dihimpit sesuatu. Kereta Viva manual itu beransur perlahan menuju ke hospital. Mia usaha sedaya upaya untuk berada dalam perjalanan yang selamat.

Setibanya di kawasan letak kereta hospital, Mia keluar dari kereta. Dengan bersusah payah, dia melangkah menuju ke unit trauma dan kecemasan. Namun langkahan terhenti seketika.

Sepasang suami isteri yang mempunyai anak kecil, berjalan bertentangan arah Mia. Mata anak kecil itu memandang arah kaki Mia dengan penuh minat. Dia segera mencuit tangan ibunya dahulu.

"Ibu, kenapa ada nenek peluk kaki kakak tu?" soal anak kecil tersebut. Si ibu hanya memandang Mia dengan wajah sedikit gelisah. Lekas dia mendukung anaknya.

"Ish, kau ni merepek sahaja. Jom balik!" tegur si ayah pula. Dia menjeling Mia yang terhenti langkah dek tersentak

"Abang. Cepatlah buka pintu kereta. Saya dah takut ni!" pinta si isteri.

Laju si suami membuka pintu kenderaan. Mia hanya memusingkan badan. Itu saja yang dia mampu respon. Aneh pula dengan kata-kata si kecil.

"Ayah, nenek tu kata nak ikut kita balik. Lihat ayah, dia sedang jalan laju-laju di belakang kita!"

"Sudah. Hanya kita bertiga saja sekarang ini." Si ibu mula bersuara. Mereka segera masuk ke dalam kenderaan. Masing-masing berwajah pucat lesi.

Namun, anak kecil itu tetap suka. Seolah ada yang mahu bermain dengannya.

"Saya nak duduk dengan nenek di belakang!" kata anak kecil tersebut sebelum kenderaan mereka bergerak pergi. Reaksi kedua ibu bapanya sedikit ketakutan.

Mia dapat melihat 'nenek' itu sedang tersenyum kepadanya. Anak kecil tersebut pula melambai tangan kepada Mia juga.

Dan serta-merta, Mia terasa kakinya ringan. Tiada lagi rasa sakit dan pedih. Lenguh juga sudah tidak rasa lagi. Umpama tersedar dari dipukau, Mia terus berlari ke arah kenderaannya semula. Dia ingin terus pulang ke rumah!

**TAMAT**

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 22, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

KOLEKSI CERPEN SERAM, MISTIK DAN MISTERIWhere stories live. Discover now