1: TAK SENGAJA

24.2K 160 3
                                    

Aku mula tertarik dengan dia sejak kali pertama kami bertemu. Hari pertama aku melaporkan diri di sekolah itu setelah hampir tiga tahun berkhidmat sebagai guru di Sarawak. Perasaanku pada hari itu teruja bercampur bimbang. Maklumlah, sekolah baru, bos baru, cara kerja baru, rakan sekerja baru dan paling penting kerenah anak murid baru. 

Aku bertemu dia ketika mula-mula melangkah masuk ke sekolah itu. Waktu cuti sekolah. Pagi. Keadaan sekolah sunyi. Di tepi pondok pengawal, seorang wanita sedang berdiri melihat telefon sambil sesekali memandang sekeliling. Selendang terlilit kemas pada kepalanya. Tubuhnya mongel,  melentik dibaluti baju kurung. Kulit wajahnya cerah dan mulus. Mengikut perkiraanku, mungkin kami sebaya — berusia sekitar lewat 20-an.

Aku menghampirinya dan memberi salam. Dia menjawab salam dan melebarkan bibir nipisnya. Giginya tersusun. Manis senyumannya. Selepas memperkenalkan diri sebagai guru baru, dia mengucapkan selamat datang dan menawarkan diri untuk membawa aku ke pejabat. Sambil berjalan, kami berbasa-basi. Dia menceritakan serba sedikit tentang latar belakang sekolah dan tentang dirinya – salah seorang guru kaunseling di sekolah itu. 

"Nama akak Liyana," ujarnya. "Panggil Kak Yana je."

Beberapa bulan terawal di sekolah itu, Kak Yana banyak membimbing aku untuk membiasakan diri. Walaupun berlainan bidang, aku sering ke bilik kaunseling untuk meminta pendapat dan kadang-kadang meluahkan perasaan. Sepanjang tempoh itu, banyak perkara tentangnya yang aku dapat cungkil. Dia sebenarnya sudah berusia lewat 30-an. Sudah berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak. Pada mulanya, aku tidak percaya. Kerana meskipun sudah agak berusia, dia masih lagi kelihatan seperti anak dara.

"Ramai orang kata macam tu," jelasnya pada suatu hari. "Mungkin sebab akak kurus kot?"

"Akak ada makan jamu ke apa ke?"

"Takdelah. Akak memang macam ni."

"Ke akak pakai susuk?"

Dia tertawa kecil sambil menutup mulut. "Mana ada. Awak ni macam-macamlah."

Itulah reaksinya setiap kali disakat. Sifat pemalu dan sopannya itu selalu bikin hati aku melonjak-lonjak. Semakin dia menahan tawa, semakin membuak-buak rasa nak menyakat. Kadang-kadang, sampai aku berat nak kelas walaupun loceng sudah berbunyi. Kalau boleh, aku nak duduk saja menyakat dia sampai habis waktu sekolah.

Kak Yana juga selalu mengusik aku. Katanya, dia teringin nak makan nasi minyak aku. Tapi aku selalu memberi jawapan sarkastik.

"Saya belum belajar masak nasi minyak lagilah, kak. Tapi demi akak, nanti saya belajar dengan Pak Cik Google."

Dia tertawa kecil. "Bukan nasi minyak itulah, dik. Akak nak makan nasi minyak majlis awak."

Kalaulah Kak Yana belum bersuami, mesti dah lama aku lamar dia. Tapi apakan daya. Aku cuma mampu memendam rasa dan datang berborak mesra di bilik kaunseling.

Selain itu, kami juga sering tegur-menegur di WhatsApp. Bukan berbalas mesej seperti pasangan bercinta. Cuma balas-membalas status WhatsApp. Itupun cuma dua-tiga mesej.

Semakin lama, hubungan kami menjadi semakin rapat. Disebabkan aku mahir mengendalikan peralatan ICT, dia selalu meminta tolong jika hendak menganjurkan program seperti ceramah motivasi ataupun bengkel. Tolong pasangkan projektor lah, sediakan mikrofon lah dan macam-macam lagi. Mendengar ucapan terima kasih darinya selepas tamat setiap program akan membuatkan hati aku melonjak-lonjak. Seolah-olah itu satu pencapaian besar. 

Hubungan kami kekal rapat begitu selama beberapa bulan — borak di bilik kaunseling, kongsi gelak tawa dan bantu menjayakan program sekolah. Sehinggalah pada suatu petang...

Aku sedang meronda di kawasan sekolah kerana merupakan guru bertugas minggu itu. Keadaan sekolah sunyi. Tiada kelibat pelajar mahupun guru. Sewaktu melimpasi bilik kaunseling, aku dapati lampu di dalam masih menyala. Mungkin Kak Yana, fikirku, menolak pintu bilik itu dan menjengah ke dalam. Sedar akan kehadiranku, Kak Yana yang sedang duduk menghadap laptop cepat-cepat berpaling dan menyeka wajahnya seolah-olah menyeka air mata.

Yana, Kaunselor GelapkuWhere stories live. Discover now