Awal pagi begini, Datin Syahirah pastinya sibuk dengan ibadah kegemarannya. Dia gemar membaca mathurat disusuli bacaan Quran. Biarpun dirinya masih merangkak-rangkak membaca Quran tetapi dia tetap berusaha membacanya. Dia tahu usahanya sudah membuahkan pahala yang besar.Selepas tamat ibadahnya itu, dia akan berehat di katil sambil membaca buku. Menanti pembantu rumah memanggil untuk sarapan. Hanya sarapan sahaja dia biarkan pembantu rumah siapkan sepenuhnya, manakala waktu makan lain dia yang akan memasak.
Di rumah banglo ini cuma ada dia bersama Fitri si anak bongsunya. Anak sulung Iman Syukri menetap di rumah sendiri bersama keluarganya. Begitu juga Iman Nadrah, anak keduanya merangkap satu-satunya anak perempuan yang dia miliki - sudah menetap di rumah sendiri bersama Henry. Tinggal lagi Fitri yang masih bujang menetap bersamanya. Anaknya itu sahajalah yang masih bujang setia menemaninya.
Tidak.
Sebenarnya masih ada seorang lagi anaknya sebelum Fitri yang masih bujang.
Datin Syahirah senyum tawar.
Tahun ini, genaplah anak itu berusia 33 tahun. Kali terakhir dia bertemu anaknya itu pada usia 27 tahun. Dia tak dapat bayangkan bagaimana anaknya itu sudah mendewasa. Pahitnya dia setiap kali teringatkan kenyataan dialah punca anak itu keluar dari rumah ini.
Datin Syahirah sebak sendiri. Tidak dapat menanggung rindu lagi pada anaknya yang seorang itu.
Falah, bila nak balik? Mama rindu sangat-sangat.
Datin Syahirah berbisik dalam hatinya. Mengharapkan Allah menyampaikan rasa rindunya ini pada anaknya yang seorang itu. Saban hari dia sentiasa berharap Falah akan muncul di pintu rumah. Dia berharap Falah masih mengingatinya dan paling penting, Falah sudi memaafkannya.
"Falah lain sangat, ma. Kalau mama jumpa dia, mesti mama tak sangka tu Falah."
Itu cerita Iman ketika Iman pulang dari Pulau Jengka. Iman beritahu padanya bahawa mereka menemui Falah di pulau tersebut. Alangkah terkejutnya Datin Syahirah apabila mengetahui Iman sudah menemui Falah selepas tiga tahun anaknya itu menghilangkan diri.
"Dia tak mahu balik lagi, ma. Nak teruskan dakwah di Pulau Jengka."
Kenyataan itulah yang buat Datin Syahirah tidak mampu berkata apa. Dalam diam, dia rasa terkilan anaknya itu tidak pulang ke rumah menjenguk dia dan keluarga di sini. Tapi Datin Syahirah sedar Falah belum bersedia untuk pulang. Datin Syahirah sedar, ini salahnya. Dia tak patut pertikaikan kenapa Falah tidak mahu pulang. Dia yang menghalau Falah dahulu.
Datin Syahirah tidak sedar air matanya menitik. Dia segera kesat air jernih itu. Dadanya sebak setiap kali teringatkan Falah.
Tidak mahu hanyut dalam rasa sebak, Datin Syahirah turun dari katil. Dia mahu keluar dari bilik untuk mengambil udara luar sekali gus melihat apa menu sarapan hari ini.
Di bawah, pembantu rumahnya Aminah kelihatan memasak nasi goreng pattaya. Harum sekali baunya. Hidu sahaja pun sudah buat perut berbunyi. Datin Syahirah tahu nasi goreng itu pasti sangat sedap kerana Aminah berasal dari Thailand, nasi goreng pattaya dan makanan Thailand lain pastinya menjadi kemahiran Aminah.
Datin Syahirah bersarapan sendirian di meja makan. Fitri pastinya belum bangun jam begini. Kalau bangun subuh pun, tidur balik. Itulah jadual harian anak bongsunya yang sudah besar panjang itu.
Bunyi loceng mengejutkan seisi rumah. Awal pagi lagi mereka sudah menerima tetamu. Aminah bergegas membuka pintu untuk tetamu yang datang. Datin Syahirah tertanya-tanya juga siapa gerangannya. Apabila Aminah terlalu lama berada di pintu rumah, akhirnya Datin Syahirah sendiri bangkit hendak melihat tetamu tersebut.
Datin Syahirah dapat lihat Aminah berbual-bual dengan seseorang. Sebaik dia mendekati pintu, dia dapat lihat sesusuk tubuh berjubah lengkap dengan khimar serba biru.
"Mama!"
Wajah Datin Syahirah yang awalnya sedikit kusam terus berseri-seri seperti baru menemui kekasih hati.
"Linda..." Dia tak sangka dia menerima tetamu kesayangan itu di pagi-pagi hari.
.
.
.Rasa sayu dan sebak yang menguasai hati Datin Syahirah pagi tadi lesap begitu sahaja apabila paginya ditemani Linda. Apatah lagi bila Linda akan menemaninya sampai ke Zohor, hanya Allah tahu gembiranya hati dia. Sudahlah dia rindu mahu berbual dengan Linda kerana sudah lama tidak menemui anak angkatnya ini, tiba-tiba Linda muncul dan mahu menemaninya lama-lama.
"Linda nak masak lunch juga tau, ma." Linda keluarkan beberapa lauk yang dia bawa dari rumah. Dia masih lengkap bersarung lengan dan stokin. Fitri masih ada di rumah ini. Tunggulah Fitri ke pejabat, bolehlah dia tanggalkan sarung lengan dan stokin.
Datin Syahirah senyum memerhati gelagat Linda. Kembang tujuh taman hatinya memikirkan hari ini dirinya ditemani Linda. Dapat berbual sama-sama, dapat masak sama-sama. Seronoknya!
"Mama ada fikir nak masak apa tengahari?" Linda bertanya sambil menyusun barang yang dibelinya atas kabinet. Dia kemudian pandang mama yang sedang duduk di kabinet pulau sambil memerhatinya.
"Mama?" Linda tertawa lucu bila mama senyum-senyum sendiri melihatnya.
"Eh, Linda tanya apa?"
"Isy mama ni... Linda tahulah Linda cantik tapi janganlah tenung lama-lama macam tu. Malu tau." Linda menutup pintu kabinet.
Tertawa Datin Syahirah mendengar seloroh Linda.
"Linda tanya apa? Mama seronok sangat fikir hari ni Linda temankan mama."
Linda senyum kecil. Dia labuhkan duduk di depan Datin Syahirah kemudiannya.
"Lama sangat dah Linda tak datang rumah mama. So hari ni Linda nak masak lunch untuk mama. Mama ada idea tak nak masak apa?" Linda bertanya.
Datin Syahirah berfikir-fikir. Dia belum fikirkan apa-apa pun lagi tentang menu tengahari.
"Mama tak fikir lagilah. Linda ada nak masak apa?"
"Haa... Kalau macam tu Linda nak masak nasi beriyani boleh tak, ma?"
"Eh mestilah boleh! Linda pandai buat beriyani?"
Linda terangguk-angguk semangat dengan senyum teruja.
Datin Syahirah senyum melihatnya. Dicubit pipi Linda yang lengkap berkhimar itu.
"Mama ni..." Linda tertawa malu bila dicubit begitu.
Datin Syahirah tertawa sahaja. Haih, macam manalah dia mahu lepaskan Linda jika Linda perlu berkahwin dengan lelaki lain?
Linda sudah bangkit dari meja hendak memeriksa bahan-bahan untuk nasi beriyani. Datin Syahirah memerhati sahaja gelagat Linda.
Linda sudah berumur 24 tahun ini. Sudah banyak pinangan sampai kepada Linda. Tapi syukurlah Linda tolak semuanya. Linda beralasan Linda belum bersedia.
Tapi Datin Syahirah tak dapat bayangkan jika satu hari nanti Linda menerima salah satu lamaran itu. Pasti hancur luluhlah hatinya. Dia mahu sangat Linda jadi anaknya, tapi dia sendiri tidak tahu bagaimana Linda.
Iman pernah mengatakan Linda punya perasaan pada Falah. Tapi itu dua tahun lepas, bagaimana sekarang? Melihat pada susuk Linda yang sekarang, Datin Syahirah cuma nampak kecintaan Tuhan pada gadis kesayangannya itu. Linda sangat bahagia dalam mengajak ramai orang mengenali cinta Allah. Sehingga Datin Syahirah sendiri tidak dapat meneka, apa masih berbaki perasaan suka Linda pada anaknya yang hilang itu?
Jika masih berbaki...
Adakah Falah pula akan membalasnya?
Datin Syahirah menghela nafas memikirkannya.
Falah dan Linda. Dua anak kesayangannya yang tenggelam dalam kecintaan agung yang tiada siapa dapat definisikannya.
.
.
.
YOU ARE READING
FALAH | Cinta Agung
General FictionPembunuhan misteri kanak-kanak di flat murah Taman Merak membawa kepada siasatan berantai yang khurafat. Dan akhirnya membawa kepada pulau terpencil yang mereka pernah berjuang satu ketika dahulu, Pulau Jengka.