Sumaiyyah kerling tuan haji di sebelahnya. Kacak sangat tuan haji hari ini dengan tshirt lengan panjang berwarna kelabu, seluar jeans hitam dan berkaca mata hitam. Hidung mancung tuan haji buatkan kaca mata lelaki itu terletak elok.
"Maiyah tengok apa?"
"Uhuk!" Teguran dari Ashriq buatkan Sumaiyyah terbatuk disebabkan tersedak air liur sendiri. Itulah ralit lagi tenung anak teruna orang.
Hari ini mereka keluar bersama kerana ibu Ashriq mahu mereka mencari cincin nikah. Ikutkan dia, tak mahu dia ikut. Apa yang ibu Ashriq pilih dia akan pakai. Tetapi bila neneknya masuk campur, mana dia berani nak menolak?
"Kering tekak ke? Nak air? Tempat duduk belakang ada air mineral." Ashriq melirik pada Sumaiyyah di sisi.
Sumaiyyah menggeleng laju.
"Saya tak dahaga pun." Sumaiyyah hala pandangan pada jalan raya yang agak sibuk di depan sana.
"Tuan haji tak kisah ke saya minta rahsiakan perkahwinan kita dari pekerja tuan haji?"
"Kisah. Tapi dah itu yang Maiyah minta sebagai syarat, saya terpaksa setuju."
Terdiam Sumaiyyah. Sebenarnya dia takut Afifah marah. Afifah salah seorang jurutera di syarikat itu. Kerap juga Afifah dan tuan haji bekerja sama.
Dia tahu Afifah itu ada hati dengan Ashriq. Afifah selalu bercerita tentang Ashriq. Lagipula Ashriq dan Afifah itu sepadan, sama cantik dan sama pandai.
Dia pula siapa? Dia hanya seorang ibu tunggal dan tak ada kelayakan dalam pelajaran pun. Dia langsung tidak setaraf dengan Ashriq. Apatah lagi mahu menjadi pasangan Ashriq. Tanpa sedar nafasnya dihela panjang memikirkan masa depannya nanti.
"Maiyah fikir pasal apa tu?"
Sumaiyyah hanya menggeleng sebagai jawapan.
"Jangan banyak fikir tentang perkara yang tak perlu Maiyah. Hidup kita, kita yang tentukan. Apa yang berlaku antara kita pasti ada hikmahnya."
Sumaiyyah terdiam. Positif cara Ashriq berfikir. Tetapi dia masih fikirkan perkara negatif di sebalik perkahwinannya yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
"Hari ini kita ke butik sekali. Pilih pakaian untuk nikah."
Cepat Sumaiyyah menoleh. Wajah tenang Ashriq yang tekun memandu menjadi perhatian.
"Kenapa tak cakap semalam?"
"Ada beza ke kalau saya cakap sekarang? Lagi satu nenek ada tunggu kat sana."
"Tuan haji saja gunakan nek ya?" Mengecil mata Sumaiyyah.
Ashriq ketawa.
"Tak ada maknanya Maiyah. Nek yang beria nak tengok Maiyah pakai baju pengantin. Dia kata dulu Maiyah kahwin dia tak tengok sebab dia tak sihat."
Sumaiyyah kembali melontar pandangan ke jalan raya yang banyak dengan kereta. Sebak bertandang di hati.
Memang semasa dia berkahwin dengan Shamsul, nek tak sihat. Nek kena denggi, masuk hospital. Semuanya atuk yang bertungkus lumus uruskan.
Keluarga Shamsul pula hanya tahu meminta saja. Serba-serbi nak nampak mewah. Demi kegembiraan dia, atuk turutkan sampaikan kambing-kambing peliharaan atuk semuanya atuk jualkan.
Teringatkan kisah lalu, Sumaiyyah kesat hujung mata. Bodohnya dia. Bodoh kerana menuruti segala permintaan Shamsul dahulu.
Entah berapa banyak dia berhabis kerana mahu belikan hantaran yang mahal buat Shamsul. Sedangkan Shamsul hanya belikan dia barang hantaran yang tak berjenama. Rugi di pihaknya, untung di pihak Shamsul.
Nasib baiklah tuan haji langsung tak begitu. Kata tuan haji cukuplah ala kadar, janji ada yang wajib sudah mengcukupi.
Sekilas Sumaiyyah memandang sekali lagi wajah kacak Ashriq.
Sempurna. Satu patah perkataan yang dapat dia gambarkan peribadi dan rupa seorang Haji Ashriq.
*****
"Saya nak yang warna merah jambu tu." Sumaiyyah hala telunjuk ke arah pakaian pengantin berwarna merah jambu yang tergantung di butik itu.
Masuk sahaja ke butik pengantin itu, pakaian yang dipakai patung itulah yang nampak menarik di matanya. Menyerlah dengan taburan manik-manik kecil berwarna putih. Simple namun elegan.
"Merah jambu tu tak pernah dibuat orang." Ashriq menolak secara halus.
"Saya suka warna tu." Sumaiyyah berpeluk tubuh. Dah ajak sangat dia datang pilih pakaian akad nikah kan. Mestilah dia nak merah jambu, warna kegemarannya.
"Kita cari warna lembut-lembut yang lain. Baby blue ke, pastel green ke." Ashriq memberi cadangan.
"Tak nak."
Ashriq raup muka. Boleh tahan degil rupanya mama Taqif ni.
"Tak pelik ke masuk masjid kita pakai warna pink?"
"Biarlah."
"Maiyah, belum kahwin ni cuba belajar ikut cakap bakal suami." Hajah Rafeah menegur. Ikutkan geram, nak aje dia tarik telinga cucunya. Menduga kesabaran betul.
Dia tahu Sumaiyyah saja memberontak sebab Sumaiyyah tak pernah bersetuju dengan perkahwinan ini. Cucunya itu juga tak mahu adakan majlis besar-besaran seperti bersanding. Cukup sekadar akad nikah dan makan-makan untuk sedara mara terdekat dan jiran-jiran berhampiran.
"Tak apa nek. Ashriq okey aje kalau Maiyah nak juga warna pink. Pink pun pink lah. Yang penting nikahnya jadi." Ashriq tersengih menayang giginya yang cantik tersusun.
"Hishh.. Dahlah kacak, baik pula. Untung kamu dapat Ashriq tu." Hajah Rafeah melobi Ashriq buatkan cuping telinga lelaki itu merah.
Sumaiyyah juih bibir. Sikit-sikit telinga merah. Lelaki jambu! Ashriq yang tersipu-sipu itu dijeling.
"Saya nak cuba baju pink tu."
"Eloklah Maiyah cuba. Ashriq pun cuba. Senang apa-apa yang tak kena, diorang boleh alter terus."
Ashriq mengangguk. Nampak gayanya berbaju merah jambulah dia nikah nanti. Mesti sakan dia kena gelak dengan Fakhrul.
Dengan Fakhrul dia tak boleh berahsia kerana Fakhrul salah seorang saksinya.
Masa mereka belajar dahulu, dia pernah berjanji yang dia akan mengambil Fakhrul sebagai saksi semasa pernikahannya. Begitu juga sebaliknya. Dialah saksi pernikahan Fakhrul tiga tahun lepas di UK.
Terkejut juga Fakhrul bila mendapat tahu Sumaiyyah bakal pengantin perempuannya.
"Bila masa kau bercinta dengan Maiyah ni? Pelik bin ajaib ni." Berkerut muka Fakhrul bila mendapat tahu kawan baiknya akan berkahwin. Dengan Sumaiyyah pula tu. Tea lady pejabat mereka.
"Jodoh Rul." Ashriq memberi jawapan klise.
Lama mata Fakhrul terpasak pada wajah Ashriq. Seolah tidak yakin dengan jawapan Ashriq.
"Kau ada sembunyikan sesuatu ni. Aku tahu."
Ashriq menggeleng.
"Dah jodoh aku dengan dia."
"I smell something fishy." Fakhrul masih tidak percaya. Dia kenal Ashriq sudah lama. Bukan mudah seorang Ashriq yang berhati batu nak jatuh cinta.
"Makin lama aku tengok dia aku rasa tertarik. Dia bukan macam wanita-wanita yang aku pernah jumpa sebelum ni. Dia lain, Rul." Luah Ashriq jujur. Selagi dia tidak jujur selagi itulah Fakhrul curiga.
Terburai tawa Fakhrul. Tahu berjiwang juga kawannya ini.
"Rupa-rupanya kau sukakan wanita matang. Dah ramai mana aku kenalkan perempuan kat kau. Semua kau tolak. Riq, Riq." Ujar Fakhrul dengan sisa tawanya.
Ashriq hanya beriak serius. Itu kenyataan.
Hanya Sumaiyyah yang mampu membuatkan jantungnya berdenyut kuat.
Hanya Sumaiyyah yang mampu membuatkan dia gelisah.
Tidur tak lena, mandi tak basah bak kata orang.
YOU ARE READING
sentuhan cinta tuan haji
RomantikMenjadi ibu tunggal dalam usia yang muda bukanlah satu pilihan. Demi kelangsungan hidup bersama anak kesayangannya, Sumaiyyah bekerja sebagai tea lady di sebuah syarikat. Kehadiran seorang 'Tuan Haji' sebagai majikan, telah menghuru-harakan hidup Su...