Cinta itu semanis madu. Namun, pahitnya umpama hempedu. Pengkhianatan lalu mengubah segala perjalanan cerita. Adakah takdir antara mereka sudah diaturkan sebegitu? Saling menyakiti.
RETINA matanya bergerak memerhatikan foto-foto itu. Kedua belah tangannya berada di dalam kocek seluar. Susunan foto-foto yang ditampal pada dinding itu saling berkait. Mereka perlu membayar segala hutang yang tertunggak kepadanya. Dia perlu memulakan langkah pertama setelah sekian lama menunggu.
Rahang diketap. Dia menarik tangan keluar dari kocek seluar. Tubuhnya memutar ke belakang. Dia mendekati meja. Jemari kasarnya mencapai anak panah kecil untuk permainan dart itu. Lantas dilemparkan ke arah salah foto tersebut. Tepat mengenai sasarannya.
"Permainan akan bermula." Senyuman sinis terukir di hujung bibir.
Dikerling jam di pergelangan tangan. Tidak sesaat dia lewat bersiap. Masa perlu dihargai bukan untuk dibazirkan.
"Kau masih nak meneruskan rancangan gila kau?" Satu suara mencelah.
Pandangan matanya terarah pada papan dart di dinding. Dia tidak membalas kata-kata lelaki itu. Sebaliknya sibuk membelek anak panah kecil di tangan.
"Aku bukan bercakap dengan patung." Nadanya ditekan.
Lelaki segak berambut paras bahu itu tersengih. Dia melontarkan anak panah tempat terakhir ke bulatan merah. Tiga kali lontaran tempat ke sasaran. Permainan masih dikuasai olehnya.
"Hutang perlu dilangsaikan. Tempoh yang diberikan sudah cukup matang."
"Kau memang suka bermain dengan api. Kau tak takut api tu akan menjilat tubuh kau sampai rentung."
"Kalau aku takut terbakar dengan api, aku takkan mulakan permainan ni. Kita akan lihat siapa yang rentung jadi abu."
Dia lepaskan rengusan kecil. Kening dijongket. Dia tidak akan sia-siakan segala usahanya selama ini. Lukanya masih meninggalkan parut. Dia sudah lupa untuk menjadi seorang yang pemaaf.
"Kau nak bergerak sekarang?"
Dia mengangguk. Lantas dilontar kunci kereta ke arah lelaki yang duduk di sofa itu. Kunci disambut. Lelaki bingkas bangun. Langkah diatur beriringan.
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
CERMIN mata hitam yang melekat atas batang hidungnya ditanggalkan. Pintu kereta ditolak keras. Dia melangkah keluar. Penggera ditekan. Secara automatik setiap pintu terkunci dengan sendiri. Matanya menerawang ke persekitaran kawasan yang sudah tidak asing baginya. Dia bertolak pulang ke Malaysia setelah urusan kerja di luar negara selesai.
Dia memasuki ruang legar bangunan itu. Derapan kasut tumit tingginya bergema dan memantul-mantul setiap kali kasutnya memijak lantai. Telunjuknya menekan punat lif. Dia melangkah masuk. Riak wajah cantik itu tampak tegang. Langkah deras diatur terus ke meja pembantunya.
"Majalah yang interview I hari tu, dah keluar atau belum?" Terus saja dia menyoal kepada pembantunya.
"Sudah Cik Aulia. Saya sudah letakkan di atas meja cik." Gadis itu membalas.