Trip 1

111 9 2
                                    

"KALAU setakat mahu mengisi masa lapang, berhenti! Bagi peluang kepada orang lain. Orang lain yang lebih muda, yang lebih layak!"

Mengeras rahang Teja. Namun, sedikit pun dia tidak mengangkat pandang. Biarlah dia bertatapan dengan Reebok hitam putih yang dikenakan oleh Coach Flora dan Coach Badrol. Baru Teja menyedari, kedua-dua jurulatihnya itu mengenakan kasut sukan daripada jenama yang sama. Juga tidak perlu dia memperlihatkan wajahnya yang walaupun beriak beku, namun sudah ketara merona merah itu kepada sebelas gimnas yang berdiri di tepi gelanggang senaman lantai. Teja tidak perlu mengangkat pandangannya pun untuk tahu yang dia sedang menjadi pusat tumpuan semua pasang mata yang berada dalam dewan latihan itu.

"Kau fikir apa, Teja, main limpas macam itu saja waktu gimnas sedang pecut ke vaulting beam? Nasib si Angie tidak cedera waktu kamu berdua bertembung tadi! Kalau si Angie cedera, macam mana? Kau tidak sayang batang leher kau sudahkah?"

Terjongket sedikit bahu Teja dek lengkingan suara Coach Flora. Telinga Teja turut menangkap suara keluhan panjang, yang dia tahu milik Coach Badrol.

"Kalau sudah tidak fikir pasal orang sekeliling, kau fikirlah pasal batang leher kau!" Coach Flora belum puas meletuskan perasaannya. Mungkin kerana jantungnya masih belum reda daripada berdetak kencang selepas menyaksikan insiden itu, tidak sampai 10 minit yang lalu.

Jurulatih wanita itu memandang sekilas ke arah Angie di tepi gelanggang senaman lantai. Gimnas berusia 17 tahun itu berpeluk tubuh dan memandang tajam pada Teja. Masih bersisa pucat pada wajah gadis itu.

Kedengaran Coach Badrol berdeham kecil. Teja mengerti.

"Saya minta maaf, coach."

Coach Flora mendengus panjang mendengar ucapan Teja. Sejak dari tadi dia melihat Teja hanya menundukkan pandangan. Malah wajahnya hanya dihiasi riak beku.

"Berapa lama sudah kau ikut berlatih dalam kelab ni?" soalnya bercekak pinggang.

"Tiga bulan."

"Tiga bulan, kan? Jadi mustahil bah Teja, walaupun kau newbie, kau tidak tahu peraturan semasa berlatih di sini! Bukan di sini saja tapi di mana-mana dewan latihan gimnastik pun! Aku dengan Coach Badrol bukan sekali tapi sudah berkali-kali tekankan, safety! Safety! Safety! Kenapa? Sebab sebarang kecederaan, silap-silap boleh menamatkan karier kamu semua dalam sukan gimnastik! SUKMA? Sukan SEA, Komanwel, Olimpik? Tiada semua tu kalau kamu tercedera! Impian kamu semua boleh hilang terbang macam itu saja!"

Teja menghela nafas panjang.

"Saya minta maaf, coach." ulangnya lagi.

"Macam mahu terbang jantung saya tengok kau punya cuai tadi. Teja, Teja ...," keluh Coach Flora menoleh ke arah Coach Badrol. Lelaki itu berpeluk tubuh, tergeleng-geleng merenung Teja.

Beberapa saat berlalu, yang kedengaran hanya bisik-bisik halus di tepi gelanggang.

"Begini, Teja ...," Coach Badrol berhenti sekejap memandang Coach Flora. Mereka berdua saling mengangguk.

"Saya dengan Coach Flora rasa gimnastik ni ... tak sesuai untuk kau. Untuk kebaikan kau, kami rasa kau patut berhenti berlatih."

Teja perlahan mengangkat pandangannya buat pertama kali sejak sepuluh minit tadi.

"Championship untuk pemilihan ke SUKMA lagi sebulan. Kami perlu fokus latihan khusus untuk championship tu, jadi aku kalau boleh tidak mahu ada sebarang gangguan semasa latihan nanti." Coach Flora pula menyambung. Kedengaran bisik-bisik dari tepi gelanggang senaman lantai. Rata-rata gimnas di situ bersetuju dengan Coach Flora.

"Lagipun ...," Coach Flora berhenti dan memandang Teja yang memakai baju-T hitam dan seluar legging panjang ke buku lali. Jauh berbeza dengan gimnasnya yang lain, yang tidak ada masalah memakai thigh dan leotard. Terkadang dia tidak faham, jika Teja berasa tidak dapat memakai pakaian latihan sama seperti gimnas yang lain, mengapa perlu mengikut latihan di sini? Coach Flora berdeham kecil.

Ekspres JupiterWhere stories live. Discover now