"SUKA? Apa maksu–"
"Your confession, remember?"
Teja menutup mulut. Inilah yang dia maksudkan dengan parut memori yang diberikan oleh Jimmy kepadanya. Menelan liur, dia menjawab dengan selamba mungkin.
"Tapi kan kau dah reject. On the spot."
"Iya, okey. Memanglah tapi ...."
"Nah, jadi?"
Dia mengangkat kening sambil memandang ke arah Jimmy. Perlahan, mengendur senyuman lelaki itu. Keyakinan yang bagai sentiasa tersarung pada wajah itu ikut sama memudar.
"Lagipun kau cakap perempuan macam aku bukan jenis yang kau suka. Nama saja macam nama puteri tapi gaya kasar macam lelaki," sambung Teja, mendengus senyum. Kemudian dia tergeleng-geleng seolah-olah memori itu kelakar buatnya.
Riak Jimmy berubah sepenuhnya.
"Kau ... masih ... marah lagikah?" teragak-agak soalan itu keluar dari mulut Jimmy.
"Nak marah kenapa pula? Kalau kau tak sebut pasal ni, aku pun dah tak ingat benda yang bertahun-tahun berlalu ni." Jawab Teja, ketawa kecil. Bergerak-gerak anak mata Jimmy memandang Teja.
"Kau dah move on? Aku masih ingat yang Joyce pernah cakap aku ni first lov–"
Teja mendengus senyum seraya tergeleng kecil.
"Aku baru 15 tahun masa tu. Kau pun, kan? Lagipun memang normal kan, waktu usia macam itu kita dah mula suka kat seseorang? Tapi tak semestinya semua tu serius, kan?"
Tidak berkelip mata Jimmy. Bergerak-gerak mulutnya mahu bertanya lagi.
"Kau tak ...," terhenti dia seketika.
"Kau tak cakap pun kat aku yang kau dah move on."
Teja menjongket bahu.
"Kalau aku sampai kena beritahu orang yang aku sudah move on, itu tandanya aku berpura-pura move on."
Teja tidak mengerti mengapa Jimmy menayangkan riak wajah itu. Kali terakhir dia melihat riak itu disarung oleh Jimmy, ketika lelaki itu mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan Badminton bawah 19 tahun anjuran majlis perbandaran, sepuluh tahun lalu.
Kekalahan itu bagai memberi kesan yang sangat mendalam apabila Jimmy bermuram durja hampir tiga minggu lamanya. Mungkin ia antara memori pahit dalam hidup Jimmy, tetapi Teja merasakan peristiwa kekalahan itu menjadi gasolin yang membakar semangat Jimmy, sehingga lelaki itu tidak berhenti membaiki kelemahan skil badmintonnya. Dan kini nama Jimmy disebut-sebut antara yang bakal menyinar di SUKMA nanti.
Itu salah satu sebab Teja bersetuju mengapa Jimmy layak dikagumi.
Teja menanti jika Jimmy mahu bersuara lagi, tetapi lelaki itu masih menayang riak tadi. Matanya bagai sudah melepasi kepala Teja, melayang entah ke mana. Lalu Teja berdeham kecil, eloklah dia yang beredar dari situ dahulu.
"Jadi kau datang ke KK ni ... betul-betul sebab nak berlatih? Berlatih gimnastik?"
Soalan Jimmy itu terlebih dahulu bergema di dewan. Dilihatnya Jimmy memandang sekeliling dewan, seolah-olah baru benar-benar menyedari apa yang berada dalam dewan itu. Satu per satu radas gimnastik yang ada di situ ditenung, dan matanya singgah lama pada radas palang bertingkat.
"Jiran, kau serius ni?" soalnya kembali memandang Teja.
Teja berdeham kecil tatkala mendengar nada serius Jimmy, lagi-lagi apabila mata Jimmy kini tertumpu pada tangan kanannya. Perlahan dia menarik tangan itu sehingga tersembunyi di belakang tubuhnya.
YOU ARE READING
Ekspres Jupiter
FantasyKarya kelima dalam genre K-LIT ini ditulis oleh Riley Fizan. SINOPSIS: "Selamat datang ke Ekspres Jupiter." Tidak kira berapa juta wang yang anda ada, selagi tidak dijemput anda tidak akan dapat menaiki bas ini. Teja bertuah kerana menerima undangan...