Trip 3

19 5 0
                                    

TEJA mengemaskan ikatan tali jerut treknya. Kembali duduk bersila di tepi gelanggang senaman lantai, dia mahu mencapai beg dufel apabila menyedari yang dia masih belum menanggalkan handgrip. Lalu dia menarik pelekat velkro handgrip di sekeliling pergelangan. Kemudian tingkahnya itu terhenti. Teragak-agak dia seketika sebelum perlahan menoleh ke kanan.

Sesaat cuma memandang radas palang bertingkat, namun sudah cukup membuatkan seluruh tubuhnya terasa bagai disedut ke dalam perut. Merengus, dia lekas-lekas mengalihkan pandangan. Tegang wajahnya lalu menanggalkan handgrip dengan kasar. Tidak puas dengan itu, handgrip yang tidak bersalah itu dicampak sekuat hati ke lantai. Terus merenung alat bantuan itu, perasaannya berbaur-baur.

"Apa dah jadi, Teja? Kenapa kau buat macam itu tadi? Astaga, bahaya betul kau ni, Teja!"

"Jatuh."

"Sebelum awak naik low bar tadi saya dah perasan awak macam takut-takut. Waktu floor, vault dan beam awak tak nampak takut macam tadi."

"Jatuh."

"Mengaku terbaik konon, tapi takut kat uneven bars. Terbaik apanya macam tu?"

"Dia akan jatuh!"

"Jadi, awak okey tak ni? Jatuh macam tadi tu, syukur awak tak apa-apa, tahu tak?"

"Dia mesti jatuh!"

"Sebenarnya apa masalah kau ni Teja?"

"Jatuh!"

*****

KASAR Teja meraup muka cuba menghilangkan suara-suara yang bercampur garis masanya itu. Sebaik sahaja menyedari tangannya akan terlepas daripada palang tadi, Teja berfikir sekurangnya-kurangnya dia boleh melakukan pendaratan, walaupun bukan pendaratan yang sempurna. Tetapi mungkin dia tidak tahu bahawa daya yang terkumpul akibat gerakan tap swing tadi akan menggagalkan niatnya. Lalu jatuh terhempaslah dia di atas tikar pendaratan.

Teja yakin kepalanya terhantuk kuat sewaktu terhempas berdasarkan jeritan Coach Flora dan Coach Badrol tadi. Berbanding kesakitan, Teja lebih merasakan kekecewaan akibat kekalahan. Sehingga dia bagaikan tidak mampu untuk bangun. Dan sekali lagi membuatkan kedua-dua jurulatih riuh kerisauan. Jika bukan kerana Teja berkeras yang dia berada dalam keadaan baik-baik, tentu sahaja Coach Badrol akan membawanya ke bilik rawatan dalam kompleks sukan itu.

Teja berhenti meraup muka. Mungkinkah ini balasan buatnya kerana bercakap besar tadi? Berani mahu bersaing dengan gimnas lain, walhal dia sampai sekarang pun masih tidak dapat melakukan rutin penuh di radas palang bertingkat. Melihat radas gimnastik itu pun dia sudah berdebar-debar. Ternyata dia masih belum 100 peratus melupakan insiden 11 tahun lalu yang mendorongnya untuk berhenti berlatih sukan ini.

Perasaan putus asa begitu kuat mahu berdamping dengannya sehingga Teja berasa mahu teresak di dalam dewan latihan yang kini hanya tinggal dia sendirian di dalamnya. Namun lekas-lekas dia menelan liur, berdeham dan mengutip kembali handgrip-nya tadi.

"Aku tak akan pulang selagi aku tak dapat selesaikan rutin tu."

"Helo, jiranku."

"Hoi!" Terjerit Teja sehingga terlempar handgrip dari tangan.

*****

SUARA tawa yang meledak membuatkan Teja berpaling ke arah pintu masuk dewan. Cuak di wajahnya langsung hilang sebaik melihat Jimmy di situ, memegang perut dan ketawa sehingga tenggelam matanya. Teja menelan liur, cuba menenangkan debaran di dada. Ternyata biarpun sudah beberapa tahun berlalu, jantung Teja tetap berpesta setiap kali terlihat Jimmy. Mungkin tidak serancak dulu, namun tetap boleh membuatkannya gementar.

Ekspres JupiterWhere stories live. Discover now