Zenia memaksa membuka matanya walaupun masih terasa berat. Dia memegang kepalanya yang terasa berdenyut-denyut. Otot-otot diregangkan sambil merenung siling bilik itu. Siling berwarna coklat. Warnanya juga semakin pudar.
Lama dia merenung siling itu sehinggalah dia sedar sesuatu yang aneh. Keningnya hampir bertaut. Siling coklat? Bukankah siling di biliknya berwarna putih?
Dengan pantas dia menukar posisi baring kepada duduk. Ruangan sekeliling bilik itu diperhatikan. Sangat ganjil. Sungguh berlawanan dengan biliknya. Biliknya lebih bersih dan kemas berbanding bilik ini. Kotor, bau hapak, barangannya langsung tidak tersusun dengan kemas, almari baju pula sudah hilang sebelah pintu. Sakit mata dibuatnya.
Pandangan dialihkan pula pada setiap dinding bilik itu. Ada bahagian yang sudah berubah warna kekuningan. Ada bahagian yang berlumut hijau, ada juga sebahagian yang sudah retak. Lantai pula ada beberapa bekas tapak kaki berwarna hitam.
Dia menelan liur.
Dimanakah dia berada sekarang? Mengapa dia berada di sini? Apa yang sudah terjadi sebenarnya? Penuh tanda tanya dalam kepalanya. Rasa takut, berdebar, cemas semuanya menjadi satu. Rasanya seperti mahu menangis.
Teringatkan rakan serumahnya, Dahlia Alanna, dia lantas mencari telefon untuk menghubungi Dahlia. Poket seluar diseluk, namun dia tidak mendapati apa-apa. Kedua-duanya kosong. Zenia bagai kera kena belacan. Dia buntu. Tidak tahu apa yang patut dilakukan. Patutkah dia hanya duduk diam disini menanti keajaiban?
Oh, tidak! Tentunya dia perlu mencari jalan keluar.
Akhirnya, dia bangkit dari katil lusuh dan buruk itu. Jika dia duduk berdiam diri sahaja di dalam ini, bila pula dia akan keluar dari sini? Mahu atau tidak, dia perlu memberanikan diri. Perlahan-lahan dia membuka pintu. Bunyi yang terhasil daripada pintu itu membuatkan dia semakin takut. Dia menarik nafas dalam-dalam, lalu menghembuskan keluar. Segala keresahan dipaksa keluar.
Sebaik sahaja dia melihat ruangan di luar bilik itu, dia dapat meneka bahawa dia kini berada di sebuah hotel. Buktinya, terdapat beberapa bilik di sepanjang kaki lima ini. Cuma ia lebih kepada hotel yang menyeramkan.
Zenia menggigit bibir, tangannya menggeletar bukan main.
Suasana yang sunyi itu membuatkan bulu romanya menjadi tegak sembilan puluh darjah. Tidak dapat dinafikan dia berasa sangat takut. Kalau boleh, mahu saja dia pengsan atau mati di sini juga. Namun hati dan akalnya melarang. Takut akan jadi perkara lebih buruk nanti.
Apa pun yang terjadi dia perlu selamatkan dirinya juga! Tiada sesiapa yang boleh diharapkan sekarang melainkan dirinya.
Dia meneruskan langkah melintasi bilik-bilik yang sunyi dan agak menyeramkan itu. Sangat sunyi. Bunyi tapak kaki sendiri pun tidak kedengaran kerana dia berjalan dengan sangat perlahan. Gerun jika dia akan menyedarkan makhluk-makhluk yang mungkin sedang bersembunyi di sini.
Langkahnya dilakukan sedikit namun masih mengawal bunyinya. Tiba-tiba dia terdengar bunyi derapan tapak kaki. Dia berhenti seketika untuk memastikan bunyi itu datangnya dari tapak kaki sendiri. Namun, anggapannya salah! Bunyi itu datang dari tempat lain. Dia pasti bunyi itu betul-betul dari belakangnya.
Derapan kaki itu semakin kuat. Dahi Zenia sudah berpeluh. Seluruh badannya semakin menggeletar. Satu tapak, dua tapak, tiga tapak...
Sudah tiada pilihan, dia lantas memecut laju. Ke arah mana dia berlari pun dia tidak pasti. Apa yang dia fikirkan ketika ini cuma mahu menyelamatkan diri. Sesekali dia memejamkan mata sambil berlari. Mahu membuang segala perkara negatif yang bermain di minda. Tidak dapat digambarkan perasaannya tika ini. Dia sangat berharap semua ini hanyalah mainan mimpi.
Setelah pasti dia sudah berlari jauh, dia hentikan langkahnya. Dia cuba mencari bunyi tapak kaki tadi. Nafas lega dihembuskan. Bunyi itu sudah sirna daripada deria pendengaran.
Zenia meneruskan lagi perjalanan untuk mencari pintu keluar bangunan itu. Dia juga tidak pasti dia berada di tingkat berapa. Tidak lama selepas itu, dia nampak sebuah tangga yang hanya beberapa langkah darinya. Tanpa berlengah, dia terus berlari ke sana. Boleh tahan besar juga bangunan ini. Sakit kakinya akibat berjalan dan berlari sejak tadi.
Turun sahaja ke tingkat bawah, barulah dia tahu bahawa dia berada di tingkat 3 tadi kerana terdapat papan tanda yang memaparkan nombor aras di tepi tangga itu. Kini dia berada di tingkat 2. Lega sedikit rasanya. Dia hampir menemukan pintu keluar!
Dia teruskan langkahnya untuk menuruni anak tangga yang seterusnya. Satu bunyi yang tiba-tiba kedengaran memberhentikan langkahnya. Bukan bunyi derapan tapak kaki tadi tapi bunyi alunan piano.
Satu pintu bilik yang tidak tertutup rapat mencuri perhatiannya. Semua pintu bilik yang lain tertutup rapat kecuali yang satu itu. Rasa curiga dan ingin tahu semakin membuak-buak. Kata orang, 'Curiosity killed the cat' namun alunan alat muzik itu seperti menarik dirinya untuk mendekati bilik itu.
Tangannya sudah berada di permukaan pintu. Tinggal ditolak sahaja. Dengan hati yang penuh debaran, dia menolak daun pintu itu. Seorang wanita yang membelakangi dirinya sedang ralit bermain piano. Pakaiannya berwarna putih, rambutnya dileraikan. Mungkin dia tersedar ada sepasang mata yang sedang memerhatikannya. Muzik itu terhenti. Wanita itu menoleh ke belakang. Mata mereka saling bertaut. Senyuman sinis wanita itu terukir.
Hampir jatuh terduduk dia dibuatnya. Terkejut.
"Siapa kau?"
YOU ARE READING
Lychnis
General FictionSiapa sangka, Lychnis yang ditubuhkan untuk membantu orang mula dicemari dengan perbuatan kotor manusia yang masih terkurung di masa lalu. Kematian Emilia mula merungkai persoalan dalam minda Zenia. Ada satu permintaan yang tidak diberitahu Zenia s...