BAB 1

1 0 0
                                    

Seperti hari-hari sebelum ini, jam 7 pagi dia akan menyiapkan diri. Setelah itu, duduk di meja kerjanya sementara menunggu jam berganjak pukul 8. Matanya merenung sebuah kotak hadiah yang sederhana besar saiznya. Kotak itu sengaja diletakkan di atas meja kerjanya. Dalam itu penuh dengan barang peninggalan arwah mamanya. 

Sudah seminggu berlalu. Dia masih lagi berat hati mahu menerima pemergian mamanya. Dua tahun yang lalu, dia kehilangan papa dan abangnya. Kini mamanya pula. Dia sudah tiada sesiapa. Keluhan berat dilepaskan. 

Dia teringat sebuah perbualan di antara dirinya bersama mama. Mereka sedang duduk bersantai di ruang tamu. Tiba-tiba mamanya bertanya hal yang paling berharga pernah dibuat dalam hidup. 

Dia diam sebentar, memikirkan jawapan untuk soalan tersebut. 

"Entahlah, Nia tak tahu." Dia mengangkat bahunya. "Mama pula?"

Dia melihat mamanya meletakkan mug yang berada di tangan ke atas meja. Wajah anak gadisnya ditatap bersama senyuman cantik terukir di bibir. 

"Banyak orang dekat luar sana berharap masa boleh diputarkan semula. Sebab rasa bersalah yang bersarang dalam hati buatkan hidup mereka tidak tenang. sebab rasa sedih yang mereka pendam membelenggu jiwa, sebab rasa marah yang menguasai diri." 

Berkerut-kerut kening Zenia yang cuba untuk memahamkan apa yang disampaikan oleh mamanya. Hampir 5 minit juga mereka hanya kekal membisu. Entah apa yang mama menungkan. Zenia pula dalam diam otaknya bergeliga menyelesaikan teka-teki mama. 

Nak tanya? Memang tak akan dijawab. Dia kenal mamanya. Jarang mahu berterus terang. Kesimpulannya, nak jadi anak mamanya kenalah pandai selesaikan teka-teki ciptaannya. 

"Nia percayakan time travel?"

Zenia memutar-mutarkan pen yang berada di jari. Soalan itu tergantung kerana dia tidak ingat apa yang dia jawab kepada mama dulu. Kalau ditanya soalan itu sekarang, jawapannya ya. Tapi tidak sepenuhnya. 

"Time travel ke masa depan aku percayalah, kalau masa lalu tu tak mungkin, kan?" Soalnya sendiri. 

Apa yang dia faham, time travel ke masa depan wujud kerana setiap hari kita mengalami perkara itu. Semakin hari, masa semakin berganjak ke hadapan. Tapi kalau balik ke masa lalu sudah pasti tidak boleh. Dia yakin!

"Tapi apa maksud mama? Dia langsung tak menjawab soalan."

Ketukan pintu dari luar membawa Zenia keluar dari terus hanyut dalam persoalan yang masih belum jumpa penghujungnya itu. Dia lantas keluar dari untuk membuka pintu. Itu pasti ibu. 

Tekaannya benar!

Ibu berada di depan pintu sambil memegang sebuah beg plastik yang dia sendiri dapat teka apa isinya. Tanpa menunggu lama, dia terus menjemput wanita itu masuk ke dalam rumahnya. 

Ibu Syifa merupakan rakan baik mamanya. Selama seminggu ini, Syifa lah yang menjaga makan minum anak gadis itu. Dia yang mengambil berat tentang kesihatan Zenia. Zenia mencapai beg plastik di tangan Zenia lalu diletakkan di atas meja makan. 

Sebaik dia membuka tutup bekas makanan itu, semerbak bau nasi lemak. Pasti sedap! Huh, bila aje ibu masak tak sedap? 

"Dahlia mana?" Soal Syifa sambil mencapai dua biji pinggan di rak. 

"Sini!" Sahut Dahlia yang baru keluar daripada 'gua'. Sempat lagi dia menepuk punggung Zenia yang baru sahaja selesai menjerang air. 

Tak pasal-pasal perang kecil bermula di dapur itu. Perang pukul-memukul punggung sesama sendiri. Syifa hanya menggeleng melihat perangai dua gadis itu. 

"Sudahlah tu, meh sini makan," suara Syifa, menghentikan pergaduhan kecil itu. Kedua-duanya langsung turut tanpa bantahan. Kalau pasal makanan, tiada yang membantah. Lebih-lebih lagi Dahlia. 

Lychnis Where stories live. Discover now