"Perlu ke ayah?"
Ayat berbentuk konstruksi ayat tanya buat keseribu kali itu, muncul dari bibir Almarissa Dahlia. Dato' Afnan yang menyambut soalan itu, sudah pasrah. Hati ditujah-tujah kegeraman. Sebaliknya, bibir tua itu tidak pula meletuskan kemarahan pada skala melebihi Ayah Pin. Disimpan dalam jiwa. Tidak mahu merosakkan mood anak gadisnya.
Sejujurnya, kokleanya sudah kebal. Koklea tuanya yang berbentuk siput pun boleh berubah menjadi lipas kalau tidak habis-habis diserang oleh soalan yang sama. Dan itulah yang terjadi semenjak dua jam yang lalu.
Ya...
Dua.
Jam.
Yang.
Lalu.
Sepanjang-panjang Dato' Afnan memandu, sepanjang-panjang itu jua soalan Almarissa memenuhi segenap ruang kereta Mercedes-Benz-C-Classnya. Soalan yang sama. Bentuk yang serupa. Koherensi yang segi empat sama. Bahasa mudahnya, diulang bulat-bulat oleh bibir sang anak yang merekah merah itu.
Almarissa Dahlia kulum sengih apakala menangkap dengusan sang ayah. Dengusan yang tidak terlalu keras dan kasar. Hanya dengusan penuh kasih sayang. Dia sengih lagi. Lewat hujung mata, Almarissa Dahlia sempat menangkap tingkah sang ayah yang mengenggam elok stereng kereta. Melepas geram nampaknya. Menampakkan beberapa vena merah darah di balik lengan ayah yang membekam stereng.
Patutlah Datin Airini gilakan ayah. Huh! Hormon gatal ibu, sampai sekarang pun masih ada. Nasib sajalah ibu laksanakan Bilateral Tubal Ligation (BTL). Bahasa kampungnya, ikat peranakan. Sekurang-kurangnya, hormon miang ibu itu terkawal sedikit.
"Perlu. Dan, wajib."
Mudah Dato' Afnan meluah koherensi. Membawa Almarissa kembali kepada sang ayah. Hilang semua fragmen mindanya yang menerawangkan ibu di rumah. Apalah ibu buat? Siram pokok bungakah?
Tanpa aba-aba, dia rindukan ibu. Baru dua jam berpisah, namun sudah serasa berbelas tahun rasanya. Inikah yang dinamakan Sindrom Anak Dua Tahun Rindukan Ibu (SADTRI)? Almarissa letuskan keluhan. Rindukan bauan ibu di rumah. Seolah-olah dia kanak-kanak yang tergolong najis Mutawassitah pula.
Drama sungguh.
"Kenapa mengeluh? Ayah suruh pergi lapor diri. Bukan suruh berperang." Dato' Afhan tayangkan dahinya yang berlipat-lipat itu. Almarissa sambut dengan cebikkan.
"Berperanglah tu. Berperang melawan perasaan tak nak. Tapi disebabkan Lia ni anak yang baik. Lia usaha dengar cakap ayah."
Dato' Afnan hanya mencendangkan mata ke atas. Perasannya anak dara dia yang seorang ini.
"Geli telinga ayah dengar."
Sekilap, Dato' Afnan melontarkan jelingan semula. Tidak sampai sesaat, Almarissa terpingkal-pingkal menahan tawa. Hujung hati terkapai-kapai lucu dengan perilaku ayah.
"Tapi ayah..." Jeda.
Kelipatan mata dia kelip-kelipkan. Roman wajah tenang, dia tayang sehabis mungkin. Sang ayah di sebelahnya, hanya julang kening sedikit. Hujung telinga dibuka luas-luas. Mahu mendengar sebarang bantahan wakil rakyat di sisinya itu. Setia menunggu untuk Almarissa Dahlia habiskan ayat, sama ada mahu menjadikan lontaran ayatnya itu pascakata, prakata atau prafrasa.
Almarissa Dahlia ni lebih banyak auta daripada fakta.Memang sengaja mahu buat ayat tidak bernoktah. Sengaja juga mahu bina ayat berkoma-koma. Silap-silap dia yang akan ajar anaknya itu kemahiran membina ayat dengan cemerlang dan gemilang.
"Memang wajib ke? Tak boleh harus? Atau makruh?"
Kala ini, Dato' Afnan pula yang tersengih-sengih, menampakkan gigi. Soalan berkonti nada main-main itu menyentuh hujung telinga. Dia jeling roman wajah si anak yang sedang beriya-iya melontar kata.
YOU ARE READING
Al-Quds Nabhan
RomanceAl-Quds Nabhan x Almarissa Dahlia Dia yang mengingati x dan dia yang melupakan.