LETIH! Memang dia letih. Jika dikata jasad dia letih, jiwa dia berkali-kali ganda letihnya apabila selesai kenduri adik tersayang. Sedaya upaya diuruskan agar berjalan dengan lancar. Segalanya. Demi janji dan kasih sayang yang dikhianati.
Wajah Lai basah dengan wuduk.
Baru sahaja mahu melangkah naik ke atas, kakinya terpaku pada anak tangga kayu yang pertama. Dia melangut memandang wajah adik iparnya di hadapan mata. Perlahan-lahan Zarul turun dan berdiri tegak di hadapan Lai."Nak solat ke?" Direnung lama wajah wanita yang sudah nyata menjadi kakak iparnya. Tuhan memudahkan jalan namun dia nyata tidak mampu hendak bersyukur.
Lai angguk. Dia telan liur. Tidak biasa pula rasanya ada lelaki di dalam rumah ini setelah bertahun-tahun ayahnya pergi, kembali kepada Ilahi.
"Errr... Boleh kita cakap sikit?" Zarul beranikan diri bersuara sambil mengerling ke hadapan. Takut benar isterinya, Liza muncul.
"Apa dia?" Mata Lai jatuh pada tubuh Zarul yang masih dibaluti baju kahwin berwarna putih mutiara itu.
Kacak adik iparnya. Memang pandai Liza memilih. Padanlah dengan Liza. Liza pun cantik. Mewarisi kecantikan, kelembutan dan keayuan arwah ibunya, kata si ayah. Tetapi dia, segalanya mengikut ayahnya. Hanya rambut mengikut rambut ibunya. Dengan mata sepet sedikit, tidak seperti mata Liza yang begitu bundar.
"Lai marah?"
"Marah siapa?" Wajah Lai berkerut dengan soalan yang mengetuk pendengaran. Entah apa yang Zarul maksudkan. Tidak tahu di hujung pangkalnya. Seketika kemudian, dia seolah-olah dapat memahami maksud pertanyaan adik iparnya itu.
"Saya uruskan majlis kau orang berdua dengan ikhlas. Kalau kata penat, memang penat. Tapi, marah tu tak ada..." Tanpa menanti Zarul menjawab, Lai ketawa halus.
"Dan saya cukup puas hati..." Dia menyambung.
Senyuman Zarul bergaris kelat. Dia garu belakang kepala. Rasanya wajah dia sudah merah. Wajah rasa bersalah kepada Lai."Saya mintak maaf kalau-kalau..." Beratnya lidah hendak bercakap. Zarul hela nafas dalam seketika.
"... Perkahwinan ni buat Lai rasa..."
"Saya bahagia apabila awak dapat bahagiakan adik saya..." Lai tercantas. Tetapi, hati tetap rasa pedih. Bohongla kalau dia tidak terasa dan terluka. Berkali-kali digilis tetapi masih cuba bertahan. Ya, dia harus bertahan demi kebahagiaan adiknya.
"Saya mintak maaf, Lai," ucap Zarul cukup perlahan apabila Lai melangkah naik ke atas tanpa menoleh lagi.
Dia meminta, tetapi kenapa dia yang paling kecewa?
YOU ARE READING
Seseorang Untuk Aku
Teen FictionPenulis : Rehan Makhtar *** boleh dapatkan di karyaseni 🤍