HUGO yang masih berdiri di sisi Layla sejak 10 minit yang lepas hanya merenung lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Qadr itu dengan pandangan yang tajam. Geram pula dia dengan perangai kurang sopan Qadr yang tiba-tiba memarahi Layla. Walaupun dia tidak faham dengan bahasa yang digunakan oleh Qadr, tetapi dia dapat agak yang Qadr memang naik angin dengan Layla berdasarkan riak wajah mendung Layla sebentar tadi.
"Kenapa dia tiba-tiba marah tadi?" soal Hugo sekali lagi kepada Layla dalam bahasa Perancis. Sesekali dia menjeling Qadr yang duduk di hadapan Layla. Mereka bertiga kini sedang duduk di dalam bilik pejabat Madame Ines.
"Dia cari anak perempuan dia," jawab Layla dalam bahasa yang sama sambil memandang Qadr yang nampak sedikit cuak apabila Hugo sudah mula menunjukkan sisi 'protective brother' dia. Yalah, dah Hugo itu bertubuh besar dan sasa. Rasa-rasanya kalau sekali Hugo ayun penumbuk, mahunya Qadr ini masuk hospital terus!
"Anak perempuan? Layla dah pandai ada skandal dengan suami orang ke?" Membulat mata Hugo memandang Layla.
"Eh, taklah! Saya tak kenal pun dia ni," jawab Layla pantas. Memang betul pun dia tidak mengenali lelaki Melayu itu. Setakat berkongsi penerbangan yang sama dari Kuala Lumpur tidak melayakkan Qadr masuk dalam kategori orang yang dia kenal. Dahlah tak kenal, tiba-tiba muncul dan terus 'menyembur'nya. Memang pantang orang Perancis dengan lelaki yang tidak sopan seperti Qadr ini. Bak kata Madame Ines; 'courtesy counts in France'. Betapa adab sopan penting di negara ini sehinggakan ada kafe yang akan menaikkan harga minuman jika pelanggan tidak menyebut perkataan seperti 'hello' dan 'please'.
Madame Ines muncul dengan membawa sepiring kuih-muih dan dua gelas jus epal dan meletakkannya di hadapan Layla dan Qadr.
"Please, help yourself."
Anak mata Qadr jatuh pada pinggan yang berisi kuih-muih itu sebelum naik memandang wajah Madame Ines yang nampak tenang. Terus Qadr berasa serba salah dengan apa yang baru berlaku tadi. Perasaan serba salahnya semakin berganda-ganda apabila dia teringatkan riak wajah Layla yang kelihatan seperti sedang menahan tangis sebentar tadi. Keruh sahaja raut wajah manis itu apabila kena 'sembur' dengannya.
Bising monolog dalamannya yang sedang memarahi diri sendiri yang bersikap kurang ajar.
"Madame baik sangat. Kalau sayalah kan, memang saya biarkan aje lelaki ni," jawab Hugo penuh emosi sambil memandang tajam Qadr sekali lagi.
"Hugo, tak baik cakap macam tu," tegur Madame Ines perlahan walaupun dia tahu Qadr mungkin tidak memahami butir bicara mereka. Layla di sebelah pula tidak menunjukkan tanda-tanda mahu menjadi penterjemah tidak bergaji. Selepas dia mengajak Layla dan Qadr masuk berbincang dalam ruang pejabatnya, Layla yang selalunya banyak mulut itu hanya mendiamkan diri.
"Encik dah puas hati, kan?" soal Layla sambil memandang tepat wajah Qadr yang nampak berserabut.
"Sorry?"
"Encik datang sini sebab ingat saya sorokkan Orked. Jadi, encik puas hati tak yang Orked memang tak ada kat sini?"
Jeda dan pandangan mata Qadr bertemu dengan Layla yang sedang berpeluk tubuh memandangnya. Tidak sempat dia menjawab apabila iPhone di dalam poket seluar berbunyi nyaring dan tertera 'Adik' di skrin telefon.
"Adik? Ya Allah, where are you?"
Tiga pasang mata melekat ke arah Qadr sebaik sahaja dia menjawab panggilan tersebut.
"Tahu tak yang angah risau gila ni? I called you hundred times but no one answered." Anak mata Qadr singgah pada wajah Layla yang masih fokus kepadanya.
"Angah ada kat mana? Dekat Sedapnya Cafélah. That was the only clue yang angah jumpa kat rumah bila Orked hilang. Angah jumpa name card budak perempuan tu dengan alamat kafe dia dalam bilik Orked."
YOU ARE READING
Bonjour, Mon Amour - Yumi Hyra
RomanceTAJUK : BONJOUR, MON AMOUR PENULIS : YUMI HYRA ISBN NO. : 978-629-7553-09-2 BLURB: Pahlawan Café menjadi saksi manisnya pertemuan kali pertama Qadr Naufal dan Layla Tihani. Layla dan Qadr; seolah-olah gabungan nama mereka mempunyai chemistry kerana...