KTAK. Ktak. Ktak.
Termenung.
Kekunci bertulis 'delete' ditekan.
Ktak. Ktak. Ktak.
Termenung lagi. Kali ini lebih lama daripada tadi. Jarinya tergantung di atas papan kekunci komputer riba. Langsung tak tahu kekunci mana satu patut ditekan.
Susah kalau macam ni.
Kepala dia ketuk menggunakan sebelah tangan. Cepat fikir, Dalili!
Hujung semester ini, Dalili harus menghantar cerpen untuk kelab Apresiasi Sasteranya. Kelab yang dia terpaksa masuk kerana tiada kelab lain yang wujud.
Disebabkan Dalili tahu hujung semester nanti dia akan sibuk menyiapkan tugasan yang lain, dia siapkan dahulu tugasan ini. Tugasan yang kurang membebankan kepala.
Kurang ya. Bukan langsung 'tidak' membebankan kepala.
Dia bukanlah seorang penulis. Tapi waktu muda-muda dulu, waktu dia di zaman sekolah, elok aje dia menulis di Blog. Ada jugalah yang baca.
Tapi kali ni, kenapa terasa susah sangat nak menulis? Hatta satu muka surat pun?
'Argh!'
Untuk mengelakkan daripada rakan sebiliknya terjaga, Dalili hanya menjerit dalam hati sambil sisi kepalanya ditekup dengan kedua-dua tangan.
Mana inspirasi dia untuk menulis ni? Kau baik datang sini, inspirasi oi!
"KAU dah siap ke cerpen untuk Kelab Sastera tu?" Irdina, rakan sekelas dan sebilik Dalili menyoal. Mereka berjalan sambil mengipas diri dengan buku Linguistik tulisan Yule. Panas hari itu. Rasa nak singsing lengan sampai ke ketiak.
"Apa punya soalanlah? Mestilah belum," jawab Dalili ringkas. Dia turut mengipas diri dengan buku dia. Haih. Inilah dia Universiti Keris dekat Puncak Alam ni. Jalan berbukit! Kolej dan fakulti jarak macam dari Malaysia ke Singapura! Jenuh rasanya nak sampai ke kolej. "Kau?"
"Dah do. Aku tulis fasal aku dengan Harith. Cerita zaman baru-baru nak bercinta dulu." Irdina, si gadis dengan rambut beralun dan bersinar menjawab sambil tersengih. Apabila wajah cemberut si Dalili menjadi sajian mata, Irdina menjelirkan lidah.
"Mentang-mentang ada marka!" jerit Dalili tak puas hati.
"Siapa suruh kau tak ada!"
Dalili dengan Irdina lain. Irdina tu, baru petik jari sekali. 15 orang lelaki beratur. Si Dalili ni agaknya kalau menjerit terlolong minta siapa-siapa kutip jadi teman wanita pun belum tentu ada yang nak.
Irdina cantik. Dagu dia berbentuk V. Pinggang dia ramping. Kulit dia putih mulus. Mata pula jenis bundar dan bersinar. Dan paling penting. Irdina tinggi! 168 sentimeter! Macam model.
Dalili pula, hanya gadis biasa-biasa. Kulitnya kusam. Pakai cermin mata tebal kerana rabunnya jauh. Rendah macam pokok bonzai depan rumah nenek dia. Tapi, nenek Dalili selalu kata yang Dalili ada wajah yang manis. Kerana Dalili mempunyai bulu mata yang melentik dan lesung pipit yang maha dahsyat dalam. Kalau bercakap sambil marah pun, lesung pipit Dalili muncul.
Tapi rasanya, kemanisan Dalili hanya di mata keluarganya dan juga Irdina yang setiap hari mengatakan dia geram tengok kecomelan Dalili. Bukan mata mana-mana lelaki di kampus yang berkeluasan 1085.75 ekar ini.
"Aku rasa, kau kena cari inspirasi. Cara dia..."
"Cara dia?"
"Kau pergi usya lelaki dekat sini."
Dalili geleng laju. "Aih! Tambah dosa!"
Irdina tergelak terus. Dia tiba-tiba teringat sesuatu. "Eh, Lili! Aku lupalah aku nak jumpa Harith hari ni. Patutnya kita orang makan dekat kafe PSB sama-sama tadi!"
YOU ARE READING
Kau, Inspirasiku
RomanceAmmar Ukashah Johan terkenal sebagai seorang lelaki yang susah untuk senyum. Gembira? Muka kosong. Marah? Muka kosong. Sedih? Muka kosong. Tetapi sejak tragedi 'putus jari' yang dihadapi Ukashah dan pelajar junior perempuannya, tiba-tiba senyumannya...