BAB 1

2.4K 114 2
                                    

Tarikan nafasnya sekejap ada sekejap tersangkut di rongga hidung.

Bak patung cendana, remaja lelaki itu statik daripada menggerakkan seinchi pun anggota badan. Hari yang tak pernah sanggup untuk dilayarkan ke skrin kehidupan menjengah bagai sebuah mimpi ngeri tak berkesudahan. Diri itu sudah cukup terseksa pada suratan takdir sebelum ini. Ditambah pula 'bala' baharu ini.

'Kenapa Tuhan benci aku?'

Fahim Luth mula melinangkan air mata tanpa esakan.

Dia cuma seorang remaja lelaki biasa yang terkapai-kapai dalam lautan kehidupan. Badai tsunami telah menghentam hati itu berkali-kali dengan kejam hingga berkecai.

Terlalu serik diuji dengan perkara yang sama.

Bukan tak mahu menerima takdirNya, tetapi belum sempat dia mengerti perkasihanNya.

Kelopak mata diturunkan lama.

Selama yang mampu, dengan pengharapan agar lekas dia bangkit dari 'jenaka' ini.

"Adik."

Fahim berdegil untuk kekal menutup  mata. Liang romanya menegak kesemuanya sejak mendengar khabar berita daripada mulut lelaki di sebelah itu. Khabaran yang terlalu berat tak tertanggung.

"Fahim Luth." Suara yang sama mula memanggil nama penuhnya.

Kesal tidak disahut, lelaki itu menggenggam pula lengan Fahim erat. "Adik, buka mata."

Fahim menggeleng lemah. Dua ulas bibirnya diketap rapat tanpa sedikit pun rongga tersisa. Kotak suara telah terkunci. Anak kuncinya ditelan jauh ke sisa dasar hati.

Makin lama makin butir mutiara jernih berlinangan dengan galak. Fahim tak mampu menyekat kantung air mata daripada terus merembeskan kesaratan hati. Tiba-tiba, terasa tubuh kecilnya yang terbaring ditarik masuk ke dalam sebuah dakapan hangat.

Fahim mengangkat wajah, begitu merah mata abang sulungnya melihat keadaannya yang sebegini.

"Along minta maaf... Tapi abi dan ummi memang dah tak ada..." kata Fakhri. Nadanya terketar-ketar untuk khabarkan kepada Fahim yang baru mencelikkan mata setelah dua hari terlantar seperti orang mati.

'Lebih baik aku mati je daripada jadi satu-satunya yang terselamat dalam kemalangan kereta.'

'Aku patut mati.' Getus Fahim berkali-kali.

"Baby pun dah tak ada..." sambung Fakhri.

Andai mampu, dia mahu membuang telinganya sekarang. Realiti yang disumbat terlalu menyakitkan.

Allahuakbar...

"Along dah kebumikan abi, ummi dan baby semalam. Waktu adik tak sedarkan diri..."

Esakan remaja lelaki berkenaan makin kuat. Raungannya yang tidak bersuara menggeletarkan seluruh tubuh.

Fahim mencuri nafas yang menyempit di dada.  Di kala air mata membanjiri wajah dengan hebat, Fakhri membawa adik kandungnya lebih erat ke dalam dakapan.

Di sini, di ward serba putih ini.

Tangisan Fahim Luth berpanjangan selama satu jam. Tiada apa yang terzahir melainkan tangisan seorang anak yang baru sahaja kehilangan kedua-dua orang tua.

'Adik bongsu aku.'

'Baby.'

'Pun dah mati? Dia baru umur enam tahun.'

Rasa bengang mula membaluti jiwa. Lantas tubuh Fakhri ditolak menjauh. Fahim cuba menstabilkan nafas yang tercungap-cungap dengan helaan singkat. Kembang kempis dadanya di sebalik sepersalinan hospital.

Dɪᴀ, Kᴀᴡᴀɴ Aᴋᴜ ✓ | کاونWhere stories live. Discover now