BAB 3

1.1K 77 5
                                    

Mangsa maut dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu ialah pemandu Toyota Harrier, Othman bin Taha, 55, isterinya, Siti Maryam binti Ali, 50, dan anak perempuan mereka, Fasha Qaisara bin Othman, 6. Seorang lagi penumpang kenderaan itu, Fahim Luth, 15, yang juga anak Othman terselamat namun cedera parah.

Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki keluarga terbabit bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis trak pikap Toyota Hilux yang dikhabarkan hilang kawalan ketika pemanduan.

Jenazah telah dikebumikan dalam liang lahad yang sama oleh anak sulung keluarga itu, Fakhri Akmal. Sementara mangsa yang terselamat sedang berada di unit rawatan rapi bagi rawatan susulan...

Fahim mematahkan jari jemari bagi menghilangkan rasa gusar. Letupan sendi tulang kedengaran buat beberapa kali sebelum dia meletakkan telefon baharu itu ke tepi.

Berita kemalangan ngeri dalam diari hidupnya terpapar di laman sosial Facebook dan blog. Bahkan, gambar kereta arwah bapanya yang remuk menghiasi coretan wartawan. Rasa takut dan bimbang berpusu-pusu menggulingkannya ke dalam lahar kesedihan.

Silap dia mencari memori itu. Padahnya hanya mencucuk ketenangannya yang baru hendak stabil.

Rasa hidup tidak berguna. Tak ada yang sayang padanya dan dia tak sepatutnya terselamat dalam kemalangan itu.

'Achik pun mati sebab aku.'

Getus lubuk hati Fahim.

Sudah lama dia membuang rasa sesal di suatu ketika.

Pada hari di mana hujan mencurah dengan selebatnya. Air memenuhi longkang hingga ke paras jalan raya. Suasana sejuk yang terhidang bersaksikan awan gelap, di situlah si bodoh Fahim dengan gembira bermain bersama-sama rakannya. Mereka masing-masing menghanyutkan kapal mainan buatan sendiri mengikut arus deras longkang. Di usia sebegitu, memang remaja lelaki sebayanya tidak gentar pada guruh yang berdentum. Keseronokan melihat kapal melintasi garisan penamat tandaan mereka di bawah pokok sena akan menjadi suram tidak lama lagi.

Sebelah selipar disarungkan hingga ke siku tangan. Baru dia hendak mencapai selipar yang lagi satu, dahinya berkerut seribu. Melilau mata mencari-cari sampailah dia menyedari bahawa objek yang dicari telah dihanyutkan longkang berbentuk 'V' itu.

Fahim yang basah lenjun mengorak langkah di sepanjang bahu jalan dengan berkaki ayam bagi mengejar selipar. Arus airnya agak deras, langkah pun dipercepatkan. Sebaik sahaja dia menghampiri, terus remaja lelaki itu terjun ke dalam longkang yang dikiranya cetek.

Sungguh Fahim membuat sebuah kesilapan besar pada petang itu. Ketika matahari petang kesepian bergantung di horizon langit, cahayanya tak kelihatan dek lebatnya hujan.

Dia telah melangkah ke penghubung longkang-longkang besar kira-kira sedalam 1.5 meter. Dicuba melawan arus deras. Isipadu air yang hadir terlalu banyak. Fahim perlahan-lahan hanyut dibawa arus air. Walaupun ketinggiannya melebihi 1.5 meter, situasi cemas itu menewaskan dia.

Pergelutan di dalam air mengasingkan dia dari atmosfera luar. Sekejap kepalanya terhantuk pada dinding kolong yang entah di mana lokasinya. Pandangan mata tidak dapat menangkap apa-apa. Yang ada hanyalah air disegenap sudut. Hujung kakinya tidak dapat menjejaki dasar seperti tadi. Barangkali kedalaman longkang makin bertambah. Nafas tidak dapat dicuri.

Dia bakal lemas dan mati di situ.

Tiba-tiba, kakinya dapat merasakan suatu dasar. Antara realiti dan mimpi, Fahim tak mampu membezakannya. Bukan satu kaki bahkan kedua-dua kakinya dapat memijak ke atas sesuatu. Maka, badannya dapat melonjak ke atas hingga kawasan permukaan air ditemui.

Remaja lelaki berkenaan terkapai-kapai di bawah hujan yang mencurah. Dengan pengharapan agar ada yang menyambar tangannya.

Fahim menarik nafas dalam. Air mata berlinang deras. Suasana kamar serba putih ini agak menyebalkan. Begitu dia membenci diri sendiri saat ini.

Dɪᴀ, Kᴀᴡᴀɴ Aᴋᴜ ✓ | کاونWhere stories live. Discover now