Bab 1: SG Holding

48 2 0
                                    

LANGIT malam itu indah, dihiasi bulan yang seolah-olah mengikutnya yang berada di dalam kereta. Mata mengerling sekilas kepada pemandu e-hailing di hadapan. Beberapa kali juga brek ditekan. Kereta bergerak tersedut-sedut kerana jalan raya sedang sesak dengan kenderaan.

Melisa mengeluh kecil. Dia tak mahu terlewat untuk ke majlis makan malam Sinergi Gemilang (SG) Holding.

Pantulan wajahnya yang terlihat samar-samar pada cermin tingkap kereta cuba ditilik. Tudung hitamnya dibaiki supaya menjadi lebih kemas. Kemeja putih dan blazer hitam, dipadankan dengan slek hitam, itu pakaian pejabatnya siang tadi. Tak sempat mahu bersiap cantik-cantik. Banyak sekali kerjanya di pejabat tadi sehingga terpaksa terlebih masa.

Pagi, mesyuarat tergempar dengan ketua bahagian penyuntingan. Katanya, topik-topik yang disentuh dalam beberapa bulan terakhir membosankan. Penjualan majalah menurun. Melisa merungut dalam hati ketika itu. Mungkin bahagian pemasaran yang bermasalah. Janganlah salahkan para jurnalis semata-mata.

Kemudian, sebagai wartawan paling junior–bukan paling muda, dia didenda untuk menulis lebih sepuluh artikel pada hari ini saja. Tiada perkaitan, entahlah kenapa, Melisa sendiri tak faham. Artikel pula tentang perniagaan dan ekonomi, tren industri dan pasaran, konglomerat dan rintisan, saham dan bursa. Hampir juling matanya kaji selidik dan analisis tentang hal itu. Bukan minatnya, tapi syarikat penerbitan Bizmedia sahaja yang menerima khidmatnya selepas dia diberhentikan di sebuah syarikat akhbar ternama negara dua tahun lalu.

Sudahnya Melisa bekerja terlebih waktu demi siapkan artikel yang hampir membuat dia termuntah. Dia adalah orang terakhir yang pulang. Memang sudah lewat petang ketika itu. Mengambil kira kesesakan jalan raya dan jarak untuk ke Wisma Sinergi Gemilang (SG), Melisa terus tempah e-hailing untuk ke majlis makan malam itu.

SG Holding bukan calang-calang punya perusahaan. Itu konglomerat nombor satu negara, syarikat induk yang menaungi banyak anak syarikat dari pelbagai industri, iaitu industri hospitaliti, pendidikan dan pembuatan. Jumlah pekerja mereka keseluruhan lebih kurang 10,000 orang. Dan untungnya syarikat penerbitan Bizmedia, ia ada ikatan khas yang terjalin dengan SG Holding. Apa-apa informasi terkini perihal SG Holding, pasti akan Bizmedia yang meliputinya dahulu.

Seperti majlis makan malam ini, yang bersempena menyambut pembukaan sebuah kilang polimer di negeri pantai timur, jurnalis Bizmedia telah dijemput khas untuk meliputi majlis ini.

Melisa diarahkan untuk hadir ke majlis ini oleh ketua penyunting, bersama seorang rakan wartawan lain. Erhan namanya.

Nada dering telefon Melisa tiba-tiba berbunyi. Nama Erhan muncul di skrin. Ah, panjang umur. Melisa segera mengangkat panggilan itu. Dia pasti Erhan sedang menunggunya di sana.

"Hello."

"Hello, Mel. Sorry. Aku nak beritahu, aku tak dapat pergi majlis malam ini."

Melisa menegakkan tubuh. "Kenapa? Ala.... Habis itu, ada orang ganti tak?" Nyaring suaranya. Hampir tersentak pemandu kereta di hadapan.

"Tak ada kut. Dah last minute ini. Nanti, kau jangan lupa ya snap gambar suasana sikit," balas Erhan bersahaja. Langsung tak ada rasa serba-salah.

"Eh, kau jangan main-main. Apa aku nak buat seorang diri?"

"Kau kan budak bijak. Fuh, semua benda dalam kepala kau. SG Holding pun sukakan kau. Takkan setakat pergi majlis ini tak boleh settle. Okeylah, budak bijak. Aku hang up dulu."

"Erhan!" jerit Melisa, tetapi panggilan telah dimatikan. Geram pula Melisa kepada Erhan. Sudahlah batalkan rancangan saat-saat akhir, sempat lagi memerlinya 'budak bijak'. Iyalah, Melisa kan serba-serbi ingat dan fast-learner. Sebab itu juga dia jadi mangsa buli di pejabat. Bukan buli fizikal atau mental, cuma rakan kerjanya suka memberinya kerja lebih dari sepatutnya dan juga susah. Sebagai junior, dia tak berani melawan. Orang panggil dia menjilat pun, panggillah.

BAYANG DI ANTARA KABUTWhere stories live. Discover now