GREEN Plaza Mall sentiasa dipenuhi orang pada waktu pagi, lebih-lebih lagi pada hari Sabtu. Sebahagian pengunjung tiba lebih awal untuk mengelak kesesakan tempat letak kereta, manakala yang lain datang kerana pusat beli-belah itu dianggap paling mudah diakses dan dekat dengan kawasan perumahan sekitar.
Nufa berdiri sebentar di pintu masuk, memerhati gelagat orang ramai. Ada yang keluar sambil memegang beberapa beg belian. Di satu sudut lain, beberapa pelanggan kelihatan terburu-buru mencari tanda promosi sementara pekerja masih mengemas rak. Selebihnya sekadar berjalan santai sambil mengunyah aiskrim.
Dia pula masuk dengan tujuan yang jelas. Ada pesanan yang perlu diambil, sebuah pasu khas yang sudah ditempahnya secara dalam talian untuk gubahan bunga yang akan digunakan minggu hadapan. Pesanan itu sudah dibayar penuh, jadi dia hanya perlu mengambilnya di kaunter dan memastikan keadaannya elok.
Nufa menuju ke eskalator dengan langkah teratur, tidak terganggu langsung oleh kebisingan sekeliling. Lorong pusat beli-belah itu belum dibuka sepenuhnya, namun beberapa kafe, kedai pakaian dan kedai dekorasi rumah sudah mula beroperasi. Roller shutter diangkat separuh, menampakkan pekerja yang sibuk mengatur rak atau menyiapkan kaunter sebelum pelanggan masuk.
Ketika melintasi deretan itu, pandangannya tertarik kepada sebuah butik kecil di hujung lorong. Butik itu menjual abaya dari Dubai, rekaan tergantung rapat di bahagian hadapan seolah-olah sengaja disusun untuk memancing mata sesiapa yang lalu.
Satu potongan moden berwarna lembut membuatkannya berhenti tanpa sedar. Dia tidak berniat membeli apa-apa hari ini, sekadar mahu menyelesaikan urusannya dan pulang. Namun, rekaan itu cukup untuk mematahkan fokusnya walaupun hanya seketika.
"Nak tengok sekejaplah," gumamnya, lebih kepada cubaan meyakinkan diri.
Tanpa banyak fikir, Nufa melangkah masuk ke butik itu. Dia menyelak beberapa helai abaya yang dipamerkan berhampiran pintu. Kainnya jatuh kemas apabila disentuh, tidak terlalu nipis hingga kelihatan jarang dan tidak terlalu tebal hingga terasa panas. Kebanyakan rekaan tampak ringkas, selaras dengan citarasanya yang kurang gemar pakaian sarat perhiasan.
Hujung jarinya berhenti pada sehelai abaya berwarna ungu muda. Potongannya lurus dengan perincian kecil pada bahagian lengan. Di sebelahnya pula tergantung abaya putih dengan motif bunga merah jambu yang halus, sekadar penambah seri tanpa menonjol.
Nufa tersenyum nipis. Kedua-duanya menepati seleranya. Sederhana, kemas dan cukup manis untuk bergaya tanpa perlu berlebih-lebihan.
Dia mencapai tanda harga pada kolar kedua-dua abaya itu lalu menelitinya satu persatu. Hanya sekadar memastikan ia masih dalam had perbelanjaan yang dibuat untuk dirinya sendiri.
"Okey, masih dalam bajet aku," bisiknya lega.
Dia bukan berkira dengan diri sendiri. Cuma dengan keadaan ekonomi sekarang, dia sudah terbiasa menapis kehendak sebelum membeli. Tidak semua yang cantik layak dibawa pulang. Tetapi kalau harganya masuk akal, itu lain cerita. Berjimat perlu, cuma tidak sampai menyekat diri sendiri.
"Satu untuk percutian nanti... satu untuk pakai hari biasa," bisiknya, mencari alasan walaupun tiada siapa bertanya.
Setelah membuat keputusan, Nufa membawa kedua-duanya ke kaunter. Pekerja butik menyambutnya dengan senyuman ringkas sebelum mula mengimbas kod harga. Sementara menunggu, matanya pula sempat menjeling susunan tudung bawal dan selendang yang kemas di rak sebelah kaunter. Warnanya tenang tapi menggoda, bagaikan ditata khas untuk menguji pelanggan yang sedang menunggu.
"Haish... dugaan betul," rungutnya perlahan.
Tangannya terasa gatal hendak mencapai satu, tetapi dia cepat menarik balik niat itu. Jika ditambah satu lagi barang, bajetnya pasti lari daripada tujuan asal.
ANDA SEDANG MEMBACA
KEMBALI CINTA | OG
Roman d'amour#𝟏𝐬𝐭 𝐂𝐢𝐧𝐭𝐚 𝐒𝐞𝐫𝐢𝐞𝐬 𝐆𝐞𝐧𝐫𝐞 : 𝐒𝐚𝐝 𝐑𝐨𝐦𝐚𝐧𝐜𝐞 Dua tahun selepas lafaz yang memutuskan segalanya, Sayf dan Nufa tidak pernah menyangka takdir akan mempertemukan mereka semula di kota Alexandria. Di bawah langit yang pernah menyak...
