Syahmi merenung jauh ke luar jendelanya sambil menghayati bait-bait yang didendangkan oleh ribut yang sedang membadai rumahnya pada petang itu. Kelihatan jelas riak wajahnya yang kosong bagaikan tiada lagi semangat untuknya meneruskan hidup. Di dalam mindanya sedang berlegar tentang perihal e-mel yang dihantarnya beberapa minggu sebelum itu. Ini sudah menjadi kali yang ke-4 baginya dalam memohon untuk melanjutkan pengajian tinggi.
Namun begitu, setelah beberapa hari, dia masih belum mendapat sebarang jawapan daripada pihak universiti. Otaknya ligat memikirkan nasibnya yang buruk itu kerana dia merupakan antara pelajar yang mendapat keputusan paling cemerlang dalam sekolahnya bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dia bergraduasi dari sekolah menengah dengan keputusan 7A+ dan 2A daripada 9 subjek keseluruhan. Mengapa masih belum ada institut pengajian yang menawarkan program pengajian apatah lagi menerima permohonan melanjutkan pengajiannya? Itulah persoalan yang selalu berlegar di mindanya sejak beberapa bulan ini selepas menerima slip keputusan SPMnya.
Dia juga masih belum sepenuhnya mampu menerima hakikat bahawa dua orang yang menjadi sebab untuknya meneruskan hidup telah pergi meninggalkannya beberapa bulan lalu. Ibu bapanya sempat menyambut kejayaannya dalam peperiksaan SPM dengannya beberapa hari selepas menerima slip keputusan itu sebelum kedua-duanya terlibat dalam kemalangan pesawat udara. Keluarganya telah terlibat dalam satu kemalangan pesawat semasa hendak bercuti dimana pesawat yang dinaiki telah mengalami kegagalan enjin dan akhirnya terhempas di Lautan Hindi.
Jika diikutkan, Syahmi juga sepatutnya turut serta dalam percutian itu bersama ibu bapanya namun semasa hendak melepasi pemeriksaan imigresen, kad pengenalannya mengalami masalah dan dia tidak dibenarkan berlepas pada hari kejadian. Ingatannya tentang lambaian terakhir ibu bapanya semasa melangkah melepasi tempat pemeriksaan lapangan terbang itu masih segar menghantui setiap penjuru benaknya.
8 bulan lalu...
"Nak, barang dah load dalam bonet ke?" tanya ibu Syahmi, sambil melaram di dalam bilik. Suara ibunya itu kedengaran agak sayup kerana pintu bilik itu hampir tertutup sepenuhnya.
"Haa, apa? Tak dengar la, Bu... Tapi kalau Ibu tanya pasal barang, ayah dah angkat dah, lagipun kami kan tak larat nak angkat luggage-luggage besar gedabak tu..." jawab Syahmi, dengan nada yang sedikit tinggi kerana khuatir ibunya tidak dapat mendengar suaranya dengan jelas.
Kelihatan dia sedang memakai cermin mata bulatnya sebagai persediaan jika dia perlu bergerak untuk melakukan sesuatu dalam masa terdekat. Rangka cermin matanya halus dan berwarna hitam, dan lensanya sekali-sekala memantulkan sinaran malap berwarna biru jika dilihat dari sudut-sudut tertentu.
Syahmi memiliki penampilan dan personaliti yang agak feminin. Bukan, perkataan "agak" itu kurang tepat. Penampilan dan personalitinya sangat feminin. Caranya berpakaian dan tingkah lakunya boleh membuatkan seseorang tertanya-tanya tentang jantina sebenarnya. Rupa parasnya sendiri tidak sama seperti lelaki lain. Ketinggiannya agak sederhana, tetapi komposisi badannya mirip seperti seorang wanita. Dia seorang yang sederhana kurus, tetapi memiliki saiz pinggul yang sedikit lebar. Hal ini tidak ketara pada pandangan mata kasar, tetapi akan terlihat jelas jika diteliti. Kulitnya yang putih melepak menjadi penambah seri kepada kelembutannya.
Mukanya juga tidak nampak garang dan menakutkan, ataupun tampan dan maskulin seperti lelaki lain, sebaliknya kelihatan manis dan comel. Pipinya yang sedikit tembam menjadikan mukanya kelihatan gebu. Lesung pipitnya menjadi penyeri senyuman setiap kali dia mempamerkan sengihan manjanya kepada orang lain. Dia mewarisi muka ibunya lebih banyak berbanding muka ayahnya. Mukanya persis seperti muka ibunya, membuatkan dia lebih cenderung untuk disalah anggap sebagai adik-beradik ibunya. Nasib sahaja rambutnya yang boleh dikira cukup tebal bagi seorang lelaki digayakannya dengan gaya wavy menjadi satu-satunya sauh yang menambat sedikit sifat kelelakian untuknya. Walaupun begitu, tidak seperti lelaki lain yang membiarkan rambut mereka mengering serabut dengan alasan ia kelihatan "lebih cool", dia selalu menyikat rambutnya dengan rapi, yang mana merisikokan kehilangan satu-satunya ciri kelelakiannya yang ketara.
YOU ARE READING
Diari Riri.
Romance--ONGOING-- Kisah tentang hidup seorang penuntut universiti lelaki yang berpewatakan feminin bernama Riri (once known as Ami) dalam perjalanannya bersama rakan-rakan dalam menelusuri pahit manis kehidupan. "Eee dia nii!! Tahu la kita ni omell, tapi...