BAB 3

25 2 0
                                    


CHAHAYA terpesona.

Buih-buih putih dengan pantulan warna-warna pelangi berapungan di sekitar perairan dekat terubu karang.

Ikan-ikan yang ada di situ turut tercengang melihatnya. Satu keajaiban, kerana belum pernah sesuatu seperti itu muncul di situ. Semuanya keluar berkumpul, memerhati dengan penuh takjub.

"Apakah itu, Veda? Aku tak pernah melihat sesuatu seumpamanya seumur hidupku." Terkerdip-kerdip mata Chahaya menyaksikan buih-buih putih indah yang berapungan itu. Di laut sememangnya penuh dengan keajaiban dan misteri tetapi apa yang terhidang di depan matanya kini adalah di luar kotak imaginasi.

"Itulah air mata manusia, tuanku."

Chahaya langsung berkalih kepada Veda.

"Air mata manusia?" Dahinya berkerutan. Tidak percaya.

Namun pada wajah Veda dia tidak menemukan helah. Bahkan dia tahu Veda tidak akan mengungkapkan kata-kata dusta.

"Apakah manusia dapat menghasilkan keajaiban seperti ini? Bukankah manusa tidak mempunyai kuasa sakti?"

"Benar, manusia tidak punya kesaktian. Tetapi pada manusia, ada sesuatu yang lebih ajaib daripada kesaktian. tuanku. Yang tinggi nilainya jika dibandingkan dengan segala kekuasaan, kekayaan ataupun kesaktian yang ada di seluruh bumi ini." Veda memberikan jawapannya dengan tenang.

Kerutan di dahi Chahaya semakin mendalam. Hairan pada jawapan sang wazir yang penuh enigma.

"Apalah yang tinggi nilainya itu, sehingga melebihi segala kekuasaan, kekayaan dan kesaktian yang ada di seluruh bumi ini?"

"Cinta dan kasih sayang."

Kening Chahaya terangkat.

"Bangsa duyung juga ada cinta dan kasih sayang, bukan? Jadi apa istimewanya dengan manusia sehingga airmatanya boleh membuahkan buih-buih yang cantik seperti itu?"

"Manusia dan duyung sama-sama ada istimewanya. Setiap daripada kita mempunyai kelebihan masing-masing di dunia sendiri. Apabila manusia menangis dengan rasa yang mendalam dari hati dan air matanya terjatuh ke lautan, maka titis-titis air mata itu akan bertukar menjadi buih-buih indah di lautan. Sementara untuk hidupan laut seperti kita, seandainya gugur air mata di dunia daratan, maka air mata itu akan bertukar pula menjadi butir-butir mutiara."

Chahaya berkerdip-kerdip mata.

"Apa benarkah, Veda? Air mata duyung bisa menjadi mutiara?"

"Itulah keajaibannya air mata kasih sayang dan cinta." Veda mengukir senyum.

Chahaya mengangguk dalam termangu-mangu. Perasaan ingin tahu dalam diri masih belum memudar, bahkan semakin menyala-nyala setelah mendengar penjelasan daripada Veda. Dia beransur dari batu besar yang selalu menjadi tempat persinggahannya itu lalu berenang ke arah buih-buih tersebut.

"Tuanku hendak ke mana?" Veda menyusul di sisi, mengekori Chahaya.

"Aku hendak mencari sumber buih-buih indah ini. Aku hendak melihat sendiri semacam apa manusia yang menjadikannya." Chahaya sudah membulatkan tekad.

"Tapi tuanku..."

Belum sempat Veda hendak menghalang, Chahaya sudah mendahuluinya ke depan. Berenang laju mengejar buih-buih pelangi. Mengikut alur asal pergerakannya yang datang dari arah tepi laut.

Chahaya menemui sumbernya, yang datang dari permukaan. Dia berenang ke atas, menjengukkan kepalanya ke luar air lautan. Mahu melihat sendiri siapa gerangannya empunya air mata yang menghasilkan buih-buih yang indah tersebut.

DUYUNGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang