BAB 4

15 2 0
                                    


PERTABALAN Ranjana sebagai pengganti Sultan Baswara Catra beberapa hari setelah pengebumian baginda sultan berjalan dengan lancar. Rakyat jelata Dewangga menerima pertabalannya dengan rasa senang hati. Bahkan meletakkan harapan kepada Ranjana untuk meneruskan legasi ayahandanya untuk memerintah dengan adil dan saksama.

Hari itu, hari pertama Ranjana menghadiri musyawarah dengan jemaah-jemaah menteri dan para penghulu kampung yang menjadi wakil kepada setiap penempatan di Dewangga, membawa keluh kesah rakyat jelata.

Hari yang membawa debaran dan cemas di hati Ranjana. Malah lebih mengkagetkan berbanding hari pertabalannya beberapa hari yang sudah.

Ranjana bersemanyam di peterana. Duduknya sekejap-sekejap beralih punggung. Kadang ke kiri, kadang ke kanan. Wajahnya juga basah dengan peluh, meski para dayang di sebelah tidak henti-henti mengipas.

Sepanjang jemaah menteri membentangkan laporan hal ehwal negeri kepadanya, dia hanya duduk mendengar. Sesekali dia mengangguk memberikan tindakbalas seadanya kepada perbentangan jemaah menteri tersebut.

Sehinggalah tiba masa para penghulu kampung-kampung Dewangga untuk mewartakan permasalahan rakyat jelata.

"Ampun tuanku. Patik penghulu dari Kampung Hujung Tenun hendak mewartakan aduan daripada penduduk-penduduk kampung yang mengalami masalah air yang meruncingkan. Adapun selama ini Kampung Hujung Tenun tidak mempunyai apa-apa kesulitan dengan bekalan air, tetapi sejak beberapa bulan yang lepas air dari telaga semakin lama semakin mengering. Penduduk kampung amat bimbang sekiranya bekalan air menjadi terputus kerana musim kemarau belum menunjukkan hari-hari redanya." Penghulu Kampung Hujung Tenun memberikan sembah selajur membentangkan permasalahan yang dialami di kampungnya.

"Benar tuanku. Kami dari Kampung Tengah Tenun juga mengalami nasib yang sama. Tanaman-tanaman kami banyak yang mati dan kering kontang. Sumber air juga kini semakin terhad untuk kegunaan sehari-hari saja dan hampir menjadi sukar untuk kami bekalkan kepada tanaman-tanaman yang kami kerjakan." Penghulu dari Kampung Tengah Tenun pula mencelah, menyatakan kebimbangan sama yang dihadapi oleh kampung mereka.

"Sekiranya perkara ini tidak diambil jalan dengan segera, patik bimbang Dewangga akan dilanda bukan saja kemelut di kalangan rakyat jelata, tetapi juga dalam soal dagangan. Tanaman berupa beras, sayur-sayuran dan buah-buahan yang biasa dihantar untuk jualan di pasar dan pelabuhan akan terjejas." Penghulu Kampung Hujung Tenun mengeyakan kata-kata daripada penghulu Kampung Tengah Tenun.

"Barang dagangan kita juga semakin surut dek hasil-hasil tanaman yang tidak mencapai peruntukan. Kita hanya dapat bergantung pada dagangan kain-kain sahaja. Permintaan pula semakin tinggi dan kita sepertinya tidak mampu untuk memenuhinya jika kita tidak menangani masalah air ini. Patik bimbang, jika kita biarkan saja tanpa diatasi dengan segera, para pedagang luar akan mencari pembekal-pembekal lain pula." Datuk Bendahari memberikan pula pandangannya.

"Itu satu perkara yang membimbangkan." Jemaah menteri yang lain mula meningkah dengan riak gelisah.

Jemaah menteri semuanya sama-sama mengangguk, saling berkongsi kegalauan.

"Bagaimana, tuanku? Apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani masalah kekurangan air ini?" Bahaduri yang duduk berdekatan Ranjana menjelingnya, menanti jawapan.

"Saya... Beta..."

Ranjana tergagap-gagap. Peluh dingin semakin membasahi wajah. Perutnya sakit, memulas kejap. Dia kehilangan kata-kata. Lidahnya kelu tidak bisa menzahirkan walau sepatah bicara. Fikirannya ketika itu juga kosong, seolah-olah diserap ke dalam lohong gelap dan dia hanya terlihat bersemanyam di peterananya dalam keadaan termangu-mangu.

DUYUNGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang