"KESIANNYA wife dia ni. Dahlah baik, soft spoken, cantik pulak tu! Tapi suami dia pergi madukan dia!" Omelan daripada Leia membuatkan aku berhenti menyuap makanan. Mujur aku sudah hampir selesai makan.
Hmm, apa kes ni?
Di hadapanku, Leia sedang membelek telefon pintarnya. Pinggan berisi nasi campur yang dibelinya masih belum terusik.
"Leia, cepatlah makan. Lunch hour bukan lama mana pun." Gesaku kepadanya.
Leia memandangku, riak di wajahnya jelas menunjukkan sedang menahan emosi.
"Apahal ni?" Tanyaku dengan prihatin.
"Aku tengah baca pasal kes viral dekat TikTok. Kenapa eh orang lelaki senang je nak menduakan? Ingat perempuan ni tak ada perasaan ke? Eii! Aku tak fahamlah dengan orang lelaki ni!" Luah Leia dengan nada marah. Wajahnya menjadi sugul kerana emosi melebihi segalanya ketika ini.
Mendengarkan luahan Leia, spontan aku mengoyak senyuman tipis. Bagi aku, kalau lelaki tidak melayan, tak akan terjadi kecurangan atau menduakan wanita yang mereka sayangi. Tetapi, ada orang berpendapat lelaki akan diuji apabila sedang mempunyai segalanya atau sedang dilanda kesusahan.
Dan, kalau lelaki itu dapat menghadapi ujian dan dugaan berbentuk wanita, aku pasti lelaki itu sungguh kuat imannya.
Wanita mana yang mahu diduakan? Bermadu itu bukannya ibarat menelan sesuatu yang manis, ia malahan menjadi racun buat seorang wanita yang bergelar. Silap-silap boleh memakan diri sendiri.
Aku pernah mengalami nasib seperti wanita yang dikatakan oleh Leia. Ada suami tetapi dalam diam mempunyai perempuan lain di belakang isteri. Namun, aku telah reda dan ikhlaskan apa yang terjadi. Kini aku lebih senang untuk hidup bersendirian dan memberikan tumpuan terhadap kerjayaku. Biarlah aku hidup dengan caraku sendiri.
"Kalau macam ni, tak naklah kahwin. Biar membujang sampai tua. Nanti nak duduk untuk rumah tua T20!" Ujar Leia lalu mencapai sudu dan garpu. Ada dengusan terselit.
Mataku berkerdip setelah mendengarkan kata-kata Leia. Rumah orang-orang tua T20? Lain macam kawanku yang seorang ini.
"Ada-ada jelah kau ni, Leia. Ini mesti kau banyak tengok TikTok dengan media sosial yang lain. Bagi aku, doalah agar jodoh kau tu dari kalangan yang baik dan tak akan menzalimi wanita, secara fizikal mahupun mental."
Aku memberikan kata-kata berunsur nasihat untuk Leia.
Leia merenung wajahku sebelum dia mengangguk dengan perlahan. "Entahlah Anis. Aku rasa emo tau bila fikir kenapalah golongan lelaki ni mudah je nak curang. Kesian dekat perempuan yang terkena dengan lelaki spesis macam ni. Tak cukup dengan satu, pergi pasang yang lain. I hate infidelity!' Hampir ternaik suara Leia ketika itu.
Aku terus menoleh untuk melihat sekeliling kafeteria hospital. Terdapat ramai orang termasuk staf hospital sedang berada di kafe tersebut untuk membeli makanan dan menjamu selera. Hari ini kami berdua sekadar ingin makan di kawasan hospital kerana malas hendak keluar selain malas mahu menempuh kesesakan di jalan raya jika keluar makan di luar pada waktu ini.
"Sabar Leia. Bawa bertenang." Aku menepuk kekura di tangan Leia agar dia kembali tenang dan menyambung makan.
Leia menghela nafas sebelum dia menjatuhkan sudu dan garfu di pinggan semula. Tangan kanannya mencapai limau ais lalu disedut dengan perlahan sebelum dia mula menjamah nasi campurnya.
"I hate men!" Sempat dia menambah lagi.
Aku menggeleng dan cuba menenangkan Leia. "Breathe in, and breathe out, Leia. Kau jangan nak macam-macam. Lepas habis waktu makan ni kita nak sambung kerja tau?" Aku mengingatkan dia. Risau kalau masa tengah kerja boleh tersilap beri diagnosis kepada pesakit gara-gara terlalu fikirkan masalah lain.
YOU ARE READING
𝐒𝐚𝐭𝐮 𝐓𝐚𝐡𝐮𝐧 (Slow Update)
RomanceAnis Kirana sudah biasa hidup menyendiri sejak dua tahun lalu. Fokusnya hanya kerjaya dan diri sendiri. Hari- hari berlalu dia hadapi dengan tabah. Munculnya Hareez Saifullah membuatkan dirinya kembali berhadapan dengan pelbagai rasa yang bersarang...