19 YUSUF BALQIS

269 33 5
                                    

SEMINGGU BERLALU sejak Natasha merehatkan diri di rumahnya sendiri. Kini, Natasha ambil keputusan untuk pulang ke rumah ibu bapa Yusuf. Tidak sanggup menghadapi mimpi ngeri yang menghantui tidur sejak berjumpa dengan Sein. Suara lelaki itu bagaikan pita rakaman yang sentiasa berputar di dalam minda berulang kali.

Tiba sahaja di perkarangan rumah ibu bapa Yusuf, Natasha ditemani suasana hening. Waktu subuh sudah menjelang tiba yang menjadi kebiasaan keluarga Yusuf berada di surau. Langkah diatur kemas ke bilik tidur. Mahu melelapkan mata yang memberat sepanjang pemanduan.

Kerutan di wajah Natasha tercipta apabila cahaya matahari terpancar tepat pada wajah. Tangan naik menghalang cahaya matahari terpancar terik sehingga menghasilkan rasa bahang di seluruh wajah. Perlahan mata dicelik sambil memandang sekeliling. Telefon bimbit di sebelah dicapai.

11.03 A.M.

Tingkap yang terkuak luas membuatkan Natasha merengus geram. Ini mesti tak lain tak bukan kerja Yusuf. Disebabkan tiada rasa kantuk yang masih tersisa, Natasha bangkit dari pembaringan. Daun tingkap ditarik ke dalam bagi menghalang cahaya matahari menerobos masuk.

Tuala dan peralatan mandi dibawa bersama ke bilik air yang berada di dapur. Natasha perlu membersihkan diri yang melekit terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan Puan Aminah. Ada perkara yang perlu diselesaikan bersama ibu mentuanya itu.

Diri dibawa keluar dari bilik air dengan keadaan lengkap berpakaian. Niat Natasha terbantut apabila melihat Fatimah turut serta bersama Puan Aminah di meja makan. Puan Aminah didapati sedang mengemas meja makan seorang ketika Natasha melangkah ke dalam bilik air tadi.

"Mari makan Tasha," gamit Puan Aminah apabila melihat Natasha hanya tercegat di hadapan pintu bilik air. Hanya memerhati mereka berdua yang rancak berbual. Suara Fatimah riuh rendah bercerita sunyi apabila perasan akan kehadiran Natasha.

Hanya mereka bertiga saja yang berada di rumah saat ini. Dua orang adik perempuan Yusuf sedang bersekolah manakala Encik Muttalib menghadiri mesyuarat sebagai ahli jawatankuasa ketua kampung. Yusuf pula sudah lama berangkat ke tempat kerja sebagai tenaga pengajar.

Senyuman tipis ditayang pada Puan Aminah yang sedang tersenyum ke arahnya.

"Yusuf dah pergi kerja pagi tadi," jelas Puan Aminah tanpa dipinta. Bukan dia tidak perasan dengan tindak tanduk Natasha yang melilau sekeliling. Pasti wanita itu sedang mencari kelibat suaminya.

"Sunyi je rumah dia tak ada. Kalau tak, Tasha asyik kena ganggu je," komen Fatimah sebelum tergelak kecil.

Laungan salam daripada suara yang amat dikenali mengetuk gegendang telinga mereka yang berada di dapur. Kerutan di dahi masing-masing tercipta kerana pelik dengan kepulangan Yusuf awal daripada kebiasaan.

"Dekat sini rupanya Balqis, puas abang cari," ujar Yusuf sebelum melabuhkan punggung di sebelah Natasha.

Tingkah Yusuf mendapat reaksi jengkel daripada Fatimah. Cekodok pisang dikunyah perlahan bersama muka toya.

"Kenapa?" soal Yusuf apabila perasan dengan pandangan yang dilontarkan oleh Fatimah.

"Dah buang tabiat ke balik awal sangat?" Fatimah bersuara curiga. Mata dikecilkan memandang Yusuf.

Walaupun dia sendiri sudah tahu tujuan asal Yusuf. Mahu melekat dengan isteri keduanya. Maklum saja, isteri lari baru pulang ke dalam pangkuan suami. Tidak sabar mahu melepaskan kerinduan yang bersarang.

Yusuf tarik sengih. Bibir dikemam sambil bermain hujung alas meja.

"Abang long half day je hari ni," jujurnya.

Dengar saja balasan daripada Yusuf, Fatimah bertindak menepuk meja kuat. Terhinjut bahu mereka yang berada di situ. Yusuf mengurut dada yang berdegup kencang manakala Puan Aminah yang sedang mengemas menggelengkan kepala.

YUSUF BALQISWhere stories live. Discover now