Versi 2023

4 0 0
                                    

It's not that diamonds are a girl's best friend but it's your best friend who are your diamonds. ~ Gina Barreca

Buku Yasin ditutup. Kedua belah tangan ditadah lalu dibacakan doa untuk dia yang telah pergi itu. Air putih dijirus atas tanah merah sejurus doanya habis dibacakan. Kubur ini berbeza dengan yang lain; tiada binaan kepok mengelilinginya. Hanya ada sebiji batu putih besar serta pokok bunga mini jasmin.

Tangan kanan mengusap batu putih itu perlahan. Redup sahaja pandangannya memandang batu tersebut. Puas dia cuba untuk membayangkan wajah si mati tetapi hampa.

"Hanani." Suaranya keluar perlahan. "Mafkan aku kerana putuskan hubungan kita." Dan airmatanya pun berjuraian mengalir ke pipi. "Aku... berdosa."




Empat puluh tahun yang lalu

Minyak wangi disembur dua kali pada surat tersebut. Kemudian, surat itu dilipat lalu disimpan dalam sampul surat sebelum sampul surat tersebut digam. Pen laju menari atas sampul surat menulis nama penerima.

"Kekanda yang tampan? Siapa tu?"

Laju kepala Hafni berpusing ke belakang dengan mata yang membulat serta membuat riak cuak. "Hei, mana boleh baca surat orang lain!" Sampul surat terus disorokkan bawah kedua telapak tangan.

"Aku cuma baca nama penerima je." Hanani menarik kerusi yang ada di meja belajar bersebelahan meja Hafni lalu duduk. "Surat cinta ke tu?" Sebelah kening diangkat sambil mengukir senyum nakal.

"Sibuklah!" Tangan kanan mengipas muka yang tiba – tiba sahaja terasa panas. Merahkah wajahnya saat ini?

Hanani menggelengkan kepala. "Kau pergi dewan pukul berapa?"

"Hmm, pukul satu kejap lagi aku akan gerak ke dewan. Majlis mula pukul dua kan?"

Angguk. "Tapi aku gerak sekarang tau sebab nak makan sekali. Kang tak pasal – pasal pitam pulak."

Hafni mengangguk; faham dengan Hanani yang tak boleh berperut kosong. "Aku pergi sekali dengan kaulah. Nak hantar barang kat orang. Kau tunggu kejap ea, aku nak tukar baju."

Hanani tunjuk senyum nakal. "Barang ke surat?"

"Yelah, suraaat!"

Dua – dua ketawa besar.




Malu – malu dia menghulurkan sampul surat kepada orang yang berdiri di hadapan. Satu perkataan pun tak terkeluar dari bibirnya. Padahal dekat bilik tadi beria dia hafalkan pantun mengurat orang. Sebaik sahaja hulurannya bersambut, terus sahaja dia berpusing dan melangkah laju menuju ke arah Hanani yang menanti di sebalik tembok; separa berlari pun ia juga. Tak beri peluang langsung untuk orang itu memberikan respons apa – apa.

"Dah, jom lari!" Tercungap – cungap dia ketika berdiri depan Hanani.

"Uii, ni serahan surat ke pertandingan marathon?" Hanani buat muka pelik melihat dia berdiri dengan nafas yang berterabur. "Perlahan sikit wei. Tarik nafas, hembus. Tarik nafas, hembus."

Dia buat sepertimana saranan Hanani beberapa kali. Barulah terasa lega. Kalau tidak, nak bernafas pun rasa terseksa.

"Macam mana?" Hanani kelip – kelip mata.

"Hmm?" Angkat kening sebelah. "Apa?"

Hanani sepetkan mata sambil tangan kiri mencubit lengan Hafni. "Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pulaaaaa!"

HananiWhere stories live. Discover now