BAB 1

59 8 4
                                    

MANUSIA ialah makhluk yang mementingkan diri sendiri.

Semulia apapun mereka, takkan lari dari sifat mementingkan diri sendiri. Itu adalah fitrah kerana manusia hanyalah makhluk lemah yang sentiasa bergantung pada sesuatu untuk meneruskan kehidupan. Seperti daun yang bergantung pada dahan. Tanpa dahan, daun akan luruh dan mati. Begitulah ibaratnya manusia.

Namun manusia bukan setakat mementingkan diri sendiri, malah mereka juga bodoh. Bodoh bila pergantungan itu diletakkan terhadap makhluk lain. Contohnya, manusia yang lemah meletakkan pengharapan kepada manusia lemah yang lain. Kau tahu mereka juga makhluk yang lemah seperti kau, jadi sah-sahlah pengharapan itu akan jadi sia-sia. Apa yang kau terima hanyalah kekecewaan akhirnya. Bodoh, bukan? Sepatutnya pergantungan itu hanya diletakkan kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Kerana kuasaNya mengatasi kuasa sekalian makhluk alam.

Nusa Andika Syah Putra. Nama yang sudah lama dia tinggalkan dalam lipatan sejarah. Nama itu adalah lambang betapa bodohnya dia sebagai manusia yang lemah suatu ketika dulu. Dan hari ini dia kembali semula ke kota lumpur yang penuh dengan makhluk yang mementingkan diri sendiri ini. Dia kembali bukan atas kehendaknya, tapi disebabkan sesuatu yang mendesak.

"Tengoklah tu. Kacak kan lelaki tu."

Andika yang berdiri di dalam transit komuter sedang memandang ke luar cermin pintu. Matanya melihat pemandangan gelap yang hanya diterangi lampu-lampu neon di sepanjang kota. Telinganya bergerak-gerak kerana menangkap suara-suara yang berbisik. Dari ekor matanya dia dapat menangkap dua orang gadis yang curi-curi mengintai ke arahnya dari jarak selang lima baris kerusi. Dua orang gadis itu memakai pakaian seragam baju kurung putih dan biru. Andika tarik keluar earphone dan menyumbat telinganya.

"Muka dia iras-iras anak Sultan Brunei yang terkenal tu."

"Pangiran Mateen?"

"Bukan abangnya, tapi adiknya. Wakeel."

"Oh, Abdul Wakeel. Ya, kan. Tapi yang ini Pangiran Wakeel versi dewasa."

Si gadis yang mencuri pandang kepada Andika itu senyum tersipu sambil memukul sahabatnya. Matanya dikalihkan kepada sahabatnya demi menutupi sikap merenyamnya. Tipikal gadis remaja zaman kini yang mudah teruja tatkala terlihat lelaki kacak.

"Muka dia klasik macam zaman filem P. Ramlee. Muka macam orang dulu-dulu."

"Kan. Lagi-lagi jambul rambut dia tu."

Mereka berdua membawa tapak tangan menutup mulut mengawal tawa yang terluah. Masing-masing membuat rumusan dan tanpa mereka sedar Andika mendengar segala perbualan tersebut.

Andika berdecit dan mengetap gigi menahan perasaan jengkel. Earphone di lubang telinga direntap. Pakai pun tak guna. Deria pendengarannya yang tajam tetap dapat mendengar biarpun suara tersebut berbisik pada jarak yang mustahil boleh didengari manusia biasa.

Transit komuter berhenti di stesyen. Andika menjatuhkan hud kepalanya hingga ke bawah dahi agar tiada sesiapa dapat melihatnya lagi. Dia tidak mahu menjadi perhatian manusia seperti gadis-gadis dalam transit tadi. Sepintas lalu dia terpandang biasan imej dirinya pada dinding kaca ketika dia melepasi sebuah kedai serbaneka di luar stesyen komuter. Sebelah kening terangkat kerana teringat kembali ulasan gadis-gadis remaja tadi tentang dirinya.

"Abdul Wakeel. Hmm...." Mulutnya mengguman sendiri. Kepalanya merencana sesuatu dengan nama tersebut.

Manusia bukan setakat bodoh, malah menjengkelkan. Mereka selalunya berpura-pura baik untuk dipandang mulia orang sekeliling. Mereka hanya menunjukkan diri sebenar bilamasa dalam keadaan terdesak.

Sebiji bola plastik melantun sebelum bergolek di kaki Andika. Andika menahannya dengan hujung tumit kasut butnya. Matanya mencerun ke arah seorang budak lelaki dalam lingkungan usia lima tahun yang sedang berlari anak menuju kepadanya.

Andika kutip bola tersebut sebelum budak lelaki itu sempat mengutipnya.

"Abang, nak bola tu." Budak lelaki yang comel itu tersenyum manis sambil menghulurkan tangan kepada Andika.

Andika membalasnya dengan pandangan yang dingin. Matanya ditala ke arah seorang wanita yang sibuk bercakap dengan sesuatu alat berbentuk petak dalam tangannya. Tiada sesiapa di situ selain mereka. Jadi dia yakin wanita itu ibu kepada budak lelaki ini.

Sebuah kereta sedang bergerak laju di hujung jalan raya dari arah bertentangan di hadapannya. Lima puluh meter lagi akan melintasi tempat mereka berdiri. Andika tersenyum sinis sambil menjeling budak lelaki tadi.

"Nak bola ni?"

Budak lelaki itu mengangguk dengan mata yang bersinar-sinar.

Andika mengacah dengan menghulurkan bola tersebut kepada budak lelaki itu, tapi sebenarnya bola tersebut mahu dilemparkan ke jalan raya.

"Pergi ambil sendiri."

Leretan senyumannya menghantar langkah budak lelaki itu melepasi bahu jalan. Ekor mata Andika mengintai si ibu yang masih leka dengan urusannya. Kereta yang sedang bergerak di jalan raya semakin hampir.

'Mati... mati... mati!'

Dalam kepala Andika hanya mambayangkan kereta tersebut merempuh budak lelaki itu tanpa sempat mengelak. Budak lelaki yang malang itu akan terpelanting di tengah jalan raya. Darah akan mengalir dari luka yang terkoyak lalu membasahi jalan yang tidak berdosa. Bau darah yang meransang deria makhluk seperti Andika akan bangkit selepas itu. Bau segar yang tidak pernah gagal membuatkannya ketagih. Pada waktu itu, keadaan jadi cemas. Semua orang berkerumun dengan si ibu yang meraung melihat anak lelakinya sudah terkulai tidak bernyawa akibat kecuaiannya sendiri.

Senyuman Andika semakin lebar membayangkan itu semua.

Namun senyuman itu membeku sebaik seorang pemuda muncul dari Seberang jalan. Berlari pantas meluru ke arah budak lelaki yang mengejar bola di tengah jalan raya. Kereta yang semakin hampir mengilas tayar dengan panik disebabkan kemunculan mengejut budak lelaki itu.

Tindakan pantas pemuda tadi menerpa budak lelaki itu berjaya menyelamatkannya dari kecelakaan. Kereta yang mengelak tadi, menekan break secara mengejut sehingga bunyi seretan kedengaran menyagat jalan disusuli dengan tempikan hon yang menjerit panjang. Bunyi bising itu menarik perhatian orang sekeliling.

Pemuda yang menjadi hero itu masih memeluk budak lelaki tadi di tepi jalan. Budak lelaki itu meraung sekuat hati kerana terkejut dengan situasi cemas yang hampir meragut nyawanya. Si ibu menoleh ke jalan raya dan baru sedar apa yang berlaku pada anaknya. Dia pantas berlari mendapatnya anak lelakinya.

"Sial!" Andika merengus. Menggumam amarah dalam dada. Rencananya tadi digagalkan oleh pemuda tersebut dalam sekelip mata.


BERSAMBUNG...

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 05 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

BLAT-V (new ver. 2024)Where stories live. Discover now