Bab 5: Permulaan

7 2 0
                                    

Pandangan Layl jadi berbalam gara-gara diikat dan dipukul. Dalam kelamnya suasana dia masih lagi cuba untuk kekal sedar. Menahan rasa nyeri sakit akibat hukuman yang diterima. Sesuatu yang berada di dalam jangkaan. Dia tahu situasi yang dihadapinya saat itu akan tiba, cepat atau lambat. Gara-gara tindakan beraninya di gelanggang tadi walaupun telah dilarang Nier.

Badan yang tadinya dalam posisi melutut kini makin lama makin melorot ke bawah sebelum tumbang mencium lantai. Tenaganya telah habis. Hampir lunyai dia dikerjakan Nier. Untung sahaja nyawanya liat benar bergantung pada jasad.

Bahu yang terasa pegal di awalnya kini makin menular sakitnya. Kelopak mata sekejap dibuka sebelum ditutup lagi untuk beberapa kali. Kelihatan bayang-bayang Nier yang berdiri di hadapannya. Ada lagi insan yang turut memerhatikan perbuatan Nier, seolah-olah menjadi hakim ke atas hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya.

Detik pertemuan antara dia dan Nier usai perlawanan, mengetuk ruang memori. Terngiang terbayang di layar mata.

Dia faham Nier tidak bersetuju dengan serangan terakhir yang digunakan. Melalui pandangan mata Nier sahaja dia dapat merasai kemarahan sahabatnya yang satu itu. Dikala itu hanya satu justifikasi yang mampu Layl luahkan.

'Tak akan ada sesiapapun yang akan pandang orang bisu macam aku kalau aku tak buat macam tu tadi.'

Nier yang cekap membaca pergerakan tangan Layl membentuk bahasa isyarat kini mengerutkan dahi. "Jadi, kau patahkan leher lawan kau sebab itu?"

Tanpa tiga figura di hadapannya sedar, pinggir bibir Layl ternaik sikit ke atas. Di dalam hatinya lega kerana kecederaan Rud tidaklah sampai ke tahap yang melumpuhkan.

"Cukup, Nier." Suara asing yang mengetuk gegendang telinga, memaksa Layl untuk kekal sedar dan menajamkan deria pendengarannya. "Budak ni bagus sebenarnya dalam kombat jarak dekat. Penilaiannya terhadap lawan, strategi yang disusun dalam masa yang singkat. Sangat licik. Dia ada ciri-ciri askar Linea yang kita perlukan. Cuma sayang, dia diaturkan dengan lawan yang salah."

Nier hanya diam mendengarkan. Dalam pada dia memukul untuk menghukum Layl tadi, tubuh pemuda itu boleh tahan kerasnya. Tipu kalau dia menidakkan rasa sakit yang turut terasa menyengat di buku lima sendiri. Namun, dia bijak mengawal ekspresi wajah dan hanya berdiri statik di sebelah dua insan yang turut berada di situ.

"Seperti selalu?" Satu lagi suara asing bergema setelah sekian lama mendiamkan diri, sekadar menjadi penonton. Layl mengerutkan dahi, tidak dapat menebak gerangan yang satu lagi.

Lelaki itu menggeleng sebelum menjatuhkan puntung rokok yang tadinya dipegang di antara ibu jari dan jari telunjuk. Hujung puntung rokok yang masih bersisa baranya dipijak lelaki 50-an itu bersahaja.

"Jangan. Terlalu berisiko untuk menghabiskan riwayat budak ni sekarang."

"Sebab dia dah jadi sebahagian daripada kita?"

"Sebab kita ada protokol yang perlu kita patuh tapi tak apalah. Setidaknya dia dapat pengajaran dengan siapa dia perlu tunduk untuk masa-masa yang akan datang." Pandangan lelaki itu kemudiannya dihalakan ke arah Nier yang langsung tidak membuka suara dari tadi.

Nier hanya berdiri terpacak, tidak berkutik persis patung. Salah seorang lelaki yang bersuara tadi menghampiri Nier sebelum menepuk-nepuk bahu pemuda itu.

"Pastikan semuanya 'bersih', Nier."

Saat itu tangan Nier automatik naik ke atas. Selaras dengan kepalanya untuk tabik hormat. "Baik, tuan."

Derap langkah yang kedengaran makin sayup dan jauh daripada pendengaran menyebabkan Layl mengalihkan anak matanya ke arah Nier pula. Riak wajah menceritakan seribu satu perkara yang tidak mampu untuk diluahkan lelaki itu.

Keluhan dilepaskan sebelum dia melabuhkan duduk di sebelah tubuh Layl yang terkulai tidak bermaya.

Lama dia berdiam sebelum akhirnya dia membuka suara.

"Kadang-kadang aku takut dengan jalan yang aku pilih ni. Sebab kemegahan yang orang luar nampak, hanyalah apa yang ada di permukaan. Lagi dalam kau terjebak dengan sistem ketenteraan di Linea ni. Lagi banyak sisi gelap yang bercanggah dengan apa yang kau pertahankan."

Dia menoleh ke arah Layl yang dah kelihatan nyawa-nyawa ikan mencari nafas. Kelihatan jelas kesan lebam di wajah Layl meskipun tempat yang mereka huni saat itu tidak mempunyai sistem pencahayaan yang baik.

Terpaksa. Sebelum ayah kepada Rud bertindak gila. Nier terlebih dahulu mengheret Layl ke tempat hukuman itu. Paling tidak nyawa Layl masih melekat pada jasad. Kemarahan pegawai atasan itu berjaya dilunturkan sedikit melihatkan kesengsaraan temannya itu.

Buat kesekian kalinya Nier melepaskan keluhan berat. Layl pula terlalu penat menahan sakit yang menular di segenap tubuh. Kelopak matanya perlahan-lahan terkatup.


* * *


Telunjuk mengetuk-ngetuk permukaan meja. Sedang anak mata memandang kosong insan-insan yang tunduk tidak berani merenung matanya.

Sistem ketenteraan Linea terdiri daripada pelbagai unit dan dia merupakan ketua bahagian unit strategi. Cuma keputusan yang ada di hadapannya kini bukanlah suatu perkara yang wajar diraikan.

Pergerakan jarinya terhenti.

"Kita tak dapat langsung formula cecair tu?"

Insan yang bertanggungjawab langsung menegakkan belakang tubuh sebelum bersuara, "Tidak, tuan."

Kegagalan daripada kerjasama dengan kerajaan jiran itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Bahkan telah dijangkakan dari awal. Disebabkan itu jugalah dia lebih selesa untuk mengelolakan sebarang misi langsung dibawah arahannya.

Keluhan berat dilepaskan. "Status Subjek Dytus?"

"Darah mereka semuanya telah dineutralkan, tuan."

Kelopak mata dipejam geram dengan mimik wajah yang jelas kelat mahu menerima kenyataan yang baru sahaja didengarinya.

"Kita perlukan formula tu untuk menjayakan kembali apa yang gagal. Bentangkan cadangan atau semua yang ada di sini, aku gantikan dengan orang yang lebih layak," ugutnya tegas.

Jemari kiri kanan disilangkan antara satu sama lain sebelum dibawa ke bawah dagu. Setiap satu wajah yang ada dihadapannya dipandang tanpa ada yang terlepas.

Jarum jam terus berdetik namun tiada sesiapapun yang membuka suara. Hampa. Posisinya diubah, berura-ura mahu keluar dari ruangan tersebut.

"Tu... tuan!"

Pergerakannya terhenti.

"Saya ada cadangan, cuma mungkin kita akan mengalami sedikit kesukaran kelak."

Naik bosan dia dengan segala alasan yang diberi. Batang tubuh dipusingkan kembali menghadap orang bawahannya. "Bentangkan dan kalian akan jayakan misi ni sampai dapat."

"Kalau kita tak boleh dapatkan spesimen daripada subjek yang hidup. Mungkin kita boleh dapatkan spesimen daripada mereka yang dah mati?"

Kerutan di dahinya bercambah, namun tetap tenang menunggu ayat seterusnya.

"Kami mendapat intel. Mayat salah satu subjek Dytus ada di Edens baru-baru ini."

Keningnya kiri kanan langsung terangkat. Pinggir bibir turut terjungkit naik tidak menyangkakan berita yang satu itu. Dia ada mendengar ura-ura konflik dalaman antara Edens dan Sud. Jadi semua itu berpunca daripada eksperimentasi Dytus?

Di dalam hatinya merasakan betapa dungunya kedua-dua kerajaan tersebut. Berbalah antara satu sama lain sedangkan dalang utamanya sebenarnya dari Linea.

"Cadangan diterima. Beri maklumat terperinci tentang intel tersebut dan kita akan mulakan gerakan secepat yang mungkin."

"Arahan diterima, tuan!" jawab semua orang bawahannya serentak.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 19 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

La.MienWhere stories live. Discover now