Sebaldi air sejuk yang diambil dari perigi itu disimbah ke arah seorang lelaki yang terbaring di atas tanah. Beberapa ekor babi yang sibuk menghidu lelaki itu terus bertempiaran kerana terkejut. Suara pekikan dari babi dan suhu sejuk yang menggigit tulang-temulangnya itu segera membangunkannya dari posisi berbaring.
Dengan mata yang terbeliak dia memandang ke semua arah sambil memegang dadanya. Kemudian pandangannya terhenti pada sepasang kasut kulit yang berada di hujung kakinya yang kotor. Perlahan-lahan dia mendongak dan melihat seorang lelaki yang gempal sedang bercekak pinggang. Wajah lelaki gempal itu bulat, berisi dan bengis. Dahinya berkerut dan rambutnya berwarna merah sama seperti warna matanya. Dia berpakaian bersih dan fesyen pakaiannya itu seperti orang bangsawan Eropah pada abad ke-18.
"Sekarang bukan masanya untuk awak tidur, pemalas yang tak guna!"
Satu tamparan hinggap di kepala lelaki itu. Dia mengusap kepalanya dan memandang di sekelilingnya semula. Dia mendapati bahawa dirinya berada di dalam kandang babi dengan pakaian yang agak lusuh dan kotor. Seingatnya, itu bukan pakaian yang dia guna. Lelaki gempal itu juga tidak pernah dilihatnya.
"Berani awak pandang saya macam tu?! Sedar diri awak tu, Armon!" Sekali lagi lelaki gempal itu ingin menampar namun lengannya direntap dan dipulas ke belakang badan. Kemudian belakang lututnya ditendang sehingga membuatnya berlutut.
"Berani awak lakukan ini pada saya?! Saya akan bunuh awak sekarang juga!"
"Kau ni siapa dan aku di mana sekarang?"
"Awak dah hilang akal ke sebab hidup bersama dengan babi?!" Lelaki gempal itu dihentakkan ke tanah. Dia menjerit apabila pipi kanannya melekat di tanah yang dipijaki babi.
"Kamu culik aku ke? Kat mana perempuan tu?"
"Hah?! Apa yang awak merepek ni?! Pengawal! Tolong saya sekarang! Pengawal!"
Dua orang pengawal tergesa-gesa masuk ke dalam bangsal. Muka mereka pucat sebaik sahaja melihat keadaan anak majikan mereka itu. "Young Master!" Mereka meluru ke arah anak majikan mereka itu. Seorang pengawal menolak lelaki yang bernama Armon itu manakala seorang pengawal lagi membantu anak majikannya untuk berdiri.
"Young Master Gillion tidak apa-apa ke?"
"Lembab!" Gillion menampar kepala pengawal itu. "Tengok apa yang dia dah buat pada saya! Saya akan beritahu ayah saya supaya kamu dipecat!" Gillion mendengus sambil berpeluk tubuh. Dia mencerlung ke arah Armon yang sedang ditahan oleh pengawal. Seketika dia merasa hairan kerana itulah kali pertama Armon bertindak kasar terhadapnya. Selalunya Armon hanya diam dan menurut sahaja apa pun yang dikatakannya.
"Awak berani kotorkan badan saya, sekarang saya akan beritahu ayah supaya awak dibunuh! Bawa dia!"
Dua orang pengawal itu mengikuti Gillion. Armon yang sibuk meronta-ronta merasa hairan kerana tubuhnya agak lemah untuk menumbangkan pengawal itu. Perutnya juga terasa sangat lapar seperti tidak makan selama berbulan-bulan. Oleh itu dia terpaksa mengikuti mereka sambil memikirkan cara untuk melarikan diri.
Armon dilempar sebaik sahaja mereka tiba di sebuah ruangan yang luas seperti sebuah dewan. Namun ia bukanlah dewan tetapi lebih mirip seperti balairong seri. Ruangan itu harum dan bersih. Setiap penjuru mempunyai pasu bunga ros yang berwarna putih dan merah. Lampu yang tergantung di siling pula memberikan pencahayaan yang berwarna emas. Beberapa meter di hadapan Armon, sebuah singgahsana terletak di bahagian tengah. Seorang lelaki yang bermisai dan bertubuh tegap sedang duduk di situ. Dia diapit oleh dua orang wanita yang cantik. Di sebelah kanan lelaki bermisai itu pula terdapat seorang lelaki yang memegang pedang.
"Ayah!" Gillion menundukkan kepalanya ke arah lelaki bermisai itu. Dua orang pengawal yang berdiri di belakangnya turut menundukkan kepala. Gillion melirik ke arah Armon lalu terbeliak kerana Armon sibuk memandang di sekeliling. Dia segera menekan kepala Armon sehingga dahi Armon menyentuh lantai.
"Kenapa kamu ke sini?"
Gillion menelan air liurnya sebaik sahaja mendengar suara ayahnya yang garau dan jelas itu. Dia melepaskan kepala Armon dan maju beberapa langkah. "A-ayah, saya datang ke sini sebab saya nak beritahu sesuatu."
"Apa lagi masalah yang kau dah buat?" Lelaki bermisai itu merenung Gillion dengan tajam sehingga membuatkan Gillion menggigil dan berpeluh.
"Bu-bukan ayah, saya tak buat apa-apa masalah pun. Saya nak beritahu yang Armon berani melawan cakap saya dan dia dah kotorkan badan saya. Ba-bagi saya, ini suatu penghinaan dalam keluarga kita ayah. Jadi-
"Jadi kau nak aku buat apa?"
"Saya mahu ayah bunuh Armon!"
Armon mengangkat wajahnya dan mencerlung ke arah Gillion.
"Tengoklah tu ayah, dia juga berani menjegil ke arah saya!"
Armon menggenggam penumbuknya dan berusaha untuk sabar. Walaupun dia masih tidak mengerti bagaimana dia boleh berada di situ, namun dia tahu yang Gillion merupakan anak kepada lelaki bermisai itu dan lelaki bermisai itu pula terlihat seperti orang yang mempunyai pengaruh yang kuat. Satu hal yang Armon yakin adalah dia harus berhati-hati dengan lelaki bermisai itu agar nyawanya tidak melayang.
Lelaki bermisai itu memandang ke arah Armon. "Kenapa kau berani menghina anak aku?"
Armon sekadar diam. Dia risau jika dia bersuara maka mereka akan mengetahui bahawa dia bukanlah Armon yang asli. Lelaki bermisai itu mengeluh kerana bosan dengan pergaduhan antara dua orang anaknya itu. Lalu dia pun memerintahkan pengawal agar menyebat Armon sebanyak 100 kali.
Dahi Gillion berkerut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan ayahnya itu. "Armon harus dibunuh ayah!"
"Diam." Lelaki bermisai itu merenung ke arah Gillian dengan tajam. Gillian menggeletar lalu menundukkan kepala. Dua orang wanita yang mengapit lelaki bermisai itu segera bersujud di lantai. Menyedari hanya Armon yang tidak menundukkan kepala, lelaki bermisai itu segera berdiri. Dia mengambil pedang di tangan pengawalnya lalu meluru ke arah Armon. Pedang itu dihalakan ke muka Armon untuk melihat reaksinya. Namun Armon sekadar merenung mata lelaki bermisai itu tanpa berkelip.
"Kau mahu dibunuh?" Tanya lelaki bermisai itu. Armon sekadar diam dan menerima apa sahaja yang akan terjadi padanya. Sekali lagi lelaki bermisai itu bertanya.
Armon menarik nafas sedalamnya lalu menghembus semula dan dengan yakin dia menjawab. "Kalau itu yang kau mahu, buat saja."
Lelaki bermisai itu merenung mata Armon yang berwarna ungu. Serta merta dia teringat dengan gundiknya yang bernama Missa yang mati diracun. Dia mengalihkan pedang itu dari wajah Armon lalu memanggil pengawal kanannya yang bernama Tizen. Tizen menghampiri majikannya itu dan mengambil semula pedangnya.
"Kurung dia di penjara."
Tizen menundukkan kepala sebaik sahaja menerima arahan. Armon yang masih berlutut di lantai itu dibantu untuk berdiri. Kemudian Tizen membawa Armon keluar dari ruangan itu. Gillion menggenggam penumbuknya kerana masih berdendam dengan Armon.
"Ada apa-apa lagi yang nak dicakap?" Tanya lelaki bermisai itu kepada Gillion.
"Tiada ayah. Saya minta maaf sebab dah menggangu ayah. Saya pergi dulu." Gillion segera keluar dari situ dan diikuti dengan dua orang pengawalnya. Rasa takut yang bercampur dengan marah, membuatkan dia terlupa untuk meminta ayahnya memecat dua orang pengawalnya itu.
...
[ Thank you for reading :) this part will be continue. ]
YOU ARE READING
5 Sense of Honey
AléatoireCerita ini tentang 5 kisah berbeza-beza yang dialami oleh 'Uke.' Enjoy!