Sejuk.
Angin salju yang bertiup memberi rasa dingin pada diri. Setiap bayu yang menyentuh kulit bagaikan menusuk rasa beku. Berbekalkan secebis kain nipis yang sedikit koyak di bahagian hujungnya, dia cuba bertahan hidup dalam cuaca sedemikian rupa. Bibirnya bergetar menahan sejuk sambil kaki digagahkan untuk melangkah di dalam ribut salju yang semakin mengganas.
Sebelah tangannya memegang sebuah kotak berisi mancis. Itu sahaja yang dia ada setelah melarikan diri daripada skim pemerdagangan manusia beberapa hari yang lepas. Ketika beberapa orang pekerja mereka lalai dalam memerhatikan kegiatan jualannya, dia terus lenyap dari mata. Cabut lari, sebelum mereka cabut nyawanya tanpa belas di hati.
Fwoooshhh! Angin semakin kencang. Tubuh gadis itu kian hebat menggigil. Dipeluk tubuhnya untuk mengekalkan haba. Pandangannya bertukar kabur dek ribut yang bertiup ke arahnya. Kaki yang tiada alas pula semakin sakit memijak lantai yang berais.
Kepala dililau kiri dan kanan. Pucuk dicita ulam mendatang, sebuah lorong berdekatan yang agak terlindung daripada ribut menyapa mata. Lekas gadis itu menggegaskan langkahnya walaupun dalam sakit. Nasiblah tiada penduduk kota yang berkeliaran pada cuaca teruk sebegini, senang buat dirinya untuk berjalan ke mana-mana.
Punggung dilabuhkan di atas lantai yang sudah dilapik dengan kadbod yang dijumpai di lorong tersebut. Tubuhnya disandarkan pada dinding yang berlumut. Kain nipis ditarik agar mendakap seluruh tubuhnya. Bibir meniup tangan yang hampir beku, mengharap agar ia mampu membekalkan haba. Setidaknya...
Kaki turut dirapatkan sesama sendiri. Kotak mancis yang dibawanya dibuka. Keluhan halus terbit daripada mulut tatkala yang menyapa mata hanyalah batang batang mancis yang separa beku. Bagaimana ingin hidupkan api jika begini?
Sebatang mancis diambil dan digeser laju pada bahagian hitam kotak. Hampa, tiada api. Jari mengambil batang mancis yang lain dan mencuba satu persatu. Geser dan geser lagi.
Hampa dan hampa lagi.
Fyuushh... Mata gadis itu berkelip apabila mancis yang terakhir menghasilkan api. Proses eksotermik terjadi, membebaskan haba yang menghangatkan diri.
Tetapi nyalaan ini terlalu kecil...
Gadis tersebut mencari apa-apa yang boleh dijadikan medium pembakaran di sekeliling. Mancis yang menyala itu dipasak pada tebukan lubang pada kotak mancis tadi. Tangannya menyelongkar sisa sampah berdekatan untuk mencari sesuatu yang berguna.
Prang! Sebuah botol alkohol dicampak mengenai dinding di sebelah gadis tersebut. Berderai. Terhenjut bahu gadis tersebut dek kejutan yang datang secara tiba-tiba. Mata yang terbeliak melihat botol yang tinggal serpihan itu sebelum perlahan-lahan memusingkan wajahnya pada empunya botol.
Seorang lelaki.
"Hoi, kau buat apa tu!"
Tinggi.
"Aku tanya ni jawablah b***h!"
Mabuk.
"Tak guna, kau ingat kau siapa nak abaikan aku?!"
Bahaya. Dan sedang berjalan meluru ke arahnya dengan wajah yang menyinga.
Gadis tersebut bingkas bangun. Kakinya membuka langkah untuk lari. Namun lengan sasa lelaki itu lebih cepat menjambak rambutnya, menariknya kasar kembali.
"Kau siapa nak lari?!"
Dada gadis itu berombak kencang. Sensor baunya mengesan bau busuk alkohol. Tengik. Jijik. Tangannya cuba melepaskan genggaman tangan lelaki itu daripada rambutnya.
"B***h! Kau ingat kau hebat sangat! Kau ingat kau dah perdayakan aku, kau boleh lari sewenang-wenangnya?" Lelaki itu menarik rambutnya sehingga dia terpaksa berdiri. Wajah lelaki itu betul betul di hadapan wajahnya. Mata lelaki itu berair.
"Tak guna! Aku cintakan kau, kau tahu!"
Gadis tersebut mengetap giginya. Dia tak faham. Siapa lelaki ini? Apa yang dia lihat? Dia sedang tidak waras, makanya dia melihat apa yang difikirkannya? Bukan yang sebenarnya di hadapan mata? Dia sedang berbicara, namun bukan dengannya.
Ah, dia memang malang. Getus hati gadis tersebut.
"Aku akan buat kau menyesal." Suara penuh dendam lelaki itu kedengaran lagi sebelum dia mencampakkan jasad si gadis ke atas lantai. Dipanjatnya tubuh tersebut dengan sebelah tangan menahan segala gerakan tangan gadis tersebut.
"Kau akan menyesal."
Mata gadis tersebut membulat. Bahaya. Semua gerakannya dicantas oleh berat badan lelaki tersebut. Dia cuba menolak, menendang dan menjerit. Namun tiada apa yang berkesan. Dia terperangkap. Nafsu lelaki tersebut semakin membuak-buak dalam dendam yang bukan tertuju padanya.
Malang.
Keluar daripada mulut singa, masuk ke bulut buaya.
Dan apabila lelaki tersebut mendekatkan wajahnya pada leher gadis tersebut, dia hantukkan kepala mereka berdua kuat.
S**l, pergi!
Amarah memuncak. Akal yang waras tidak lagi dalam perhitungan. Alkohol dan nafsu menguasai. Lelaki tersebut capai sebuah lagi botol kaca yang dibawanya. Botol tersebut diangkat tinggi.
Mata gadis tersebut membulat, merakam wajah keji manusia yang mensia-siakan akalnya.
PRANG! Kaca dihempas ke kepala.
Pecah. Darah. Amarah.
Malang.
160424
YOU ARE READING
Delulu Time
LosoweHimpunan idea tak siap yang kononnya nak dikembangkan tapi last last tak sempat. Tak perlu baca, banyak karut dan kebosanan je dalam ni. Not a just story dump, more to my idea gallery yang berdebu. Akhirul kalam, peniru tidak dibenarkan di sini, syu...