Bab 1 ⭐

23 2 0
                                    

Malam itu, langit memuntahkan hujan lebat, setiap titisan membasahi tingkap kamar Dylan Amni yang berembun. Di luar, suasana kelam disertai dentuman guruh yang bergema di angkasa. Namun, di dalam biliknya yang sunyi, Dylan hanya mendengar satu perkara iaitu melodi halus yang terus berbisik di sudut mindanya, seolah-olah menyusup masuk melalui setiap celah dinding. Bunyi itu begitu lembut tetapi kuat, memanggilnya, merentasi hujan dan badai yang sedang melanda.

Sejak kecil, Dylan sering dihantui bunyi-bunyian aneh yang tidak dapat didengari oleh orang lain. Namun, dia tidak pernah membicarakannya kepada sesiapa, terutamanya ibu bapanya yang sering menganggap minatnya terhadap muzik sebagai sesuatu yang tidak bermakna.

"Muzik tidak akan menjamin masa depan kau," kata ayahnya dengan nada tegas, seperti selalu.

Ibunya hanya diam, tetapi jelas terpancar kekecewaan di wajahnya setiap kali Dylan menyentuh piano usang di ruang tamu.

Dylan tahu, dalam hati mereka, dia hanyalah seorang gadis yang hidup dalam dunia khayalan, terlalu terikat pada fantasi dan impiannya yang tak terjangkau. Namun, bagi Dylan, muzik adalah dunia di mana dia merasa hidup. Ia adalah satu-satunya perkara yang membuatnya merasa ada tempat untuknya, walaupun dia sering menjadi sasaran ejekan dan buli di sekolah. Teman-teman sekelasnya tidak pernah berhenti mengejeknya sejak peristiwa memalukan ketika dia cuba menyanyi di hadapan kelas. Gelak tawa dan ejekan yang datang selepas itu masih terngiang-ngiang di telinganya.

Malam itu, selepas satu lagi pertengkaran hebat dengan ibu bapanya, Dylan memutuskan untuk melakukan sesuatu yang berani,dia ingin melarikan diri. Dia tidak lagi sanggup mendengar kata-kata yang menyakitkan hati tentang bagaimana muzik tidak akan membawanya ke mana-mana. Dia ingin mencari tempat di mana dia boleh bebas, di mana muzik dihargai seperti yang dia bayangkan dalam dunia novel yang sering dibacanya.

Dengan langkah tergesa-gesa, Dylan berlari menembusi hujan, tidak mempedulikan pakaian yang basah atau rambutnya yang melekat di wajah. Kakinya membawa dia ke sebuah hutan gelap yang tidak pernah dia jejaki sebelum ini. Semakin jauh dia berlari, semakin kuat bunyi alunan muzik yang kedengaran di telinganya. Ia seperti memanggilnya, memandu langkah-langkahnya yang penuh dengan ketidakpastian.

Di tengah-tengah kegelapan hutan, Dylan tiba-tiba terlihat cahaya samar-samar yang memancar dari celah pokok-pokok yang tebal. Dengan hati-hati, dia melangkah mendekati cahaya itu dan mendapati dirinya berada di sebuah taman yang indah, dipenuhi bunga-bunga yang bercahaya dalam kegelapan malam. Di situ, berdiri seorang wanita muda dengan rambut perang gelap yang panjang, matanya berkilau seperti bintang. Senyuman lembut terukir di wajahnya ketika dia mendekati Dylan.

"Selamat datang," kata wanita itu, suaranya seakan-akan alunan muzik yang bergema di seluruh taman.

"Aku sudah lama menunggumu."

Dylan terpana. "Siapa kau?" Dia mengambil langkah ke belakang, terkejut dengan kehadiran wanita misteri itu.

"Aku Elara," jawabnya dengan nada yang tenang.

"Dan kau adalah orang yang telah dipilih."

"Dipilih?" Dylan berasa keliru.

"Untuk apa?"

Elara tersenyum penuh makna.

"Untuk menjadi sebahagian daripada dunia muzik yang kau selalu impikan. Dunia ini telah lama menunggumu. Kau telah mendengar muzik yang kita hantar, bukan? Itulah panggilanmu."

Dylan tidak tahu sama ada ini hanya mimpi atau kenyataan. Namun, dalam hatinya, dia merasakan sesuatu yang kuat. Ada sesuatu tentang Elara yang membuatnya berasa tenang dan yakin. Tanpa berkata apa-apa lagi, Elara mengulurkan tangannya, mengajak Dylan mengikutinya. Dylan, tanpa berfikir panjang, menggenggam tangan Elara dan membiarkan dirinya dibawa ke dalam dunia yang dia tidak pernah bayangkan sebelum ini.

𝙺𝙴𝚁𝙰𝙹𝙰𝙰𝙽 𝚂𝚈𝙼𝙿𝙷𝙾𝙽𝚈 𝙾𝚁𝙲𝙷𝙴𝚂𝚃𝚁𝙰Where stories live. Discover now