KERETA yang dipandu Adam memasuki halaman banglo mewah milik keluarganya. Enjin kereta dimatikan. Dia menarik nafas berat sebelum keluar dari kereta dan mula mengatur langkah memasuki rumah. Hari yang sangat memenatkan buatnya. Tidak terkira bilangan pesakit yang telah dirawatnya hari ni. Belum lagi cerita kerenah pesakit yang bermacam-macam ragam.
Kadang-kadang, yang membuatkannya penat bukanlah kerja yang tidak berkesudahan, tetapi gelagat manusia yang pelbagai ragamnya. Namun, penatnya itu perlahan-lahan hilang apabila bau ayam goreng memasuki rongga hidungnya. Dia menghirup nafas dalam sambil matanya ditutup, menikmati keenakan bau makanan yang memenuhi ruang tamu. Bibirnya mengukir senyuman lalu dia bergegas menghala ke dapur.
"Ya Allah, sedapnya bau! Umi masak apa ni?" Adam mengucup lembut pipi uminya yang sedang sibuk memasak.
Matanya sempat menjeling ayam goreng kunyit di dalam kuali. Sengaja dia bertanya untuk bersembang dengan uminya.
"Masak gajah," jawab satu suara dari belakang. Suara seorang gadis yang menjengkelkan.
"Oh, gajah! Gajah yang awak buru dalam hutan semalam ya?" soal Adam. Turut berjenaka dengan Aisya, adik perempuannya yang kelima.
"Iya. Along tahu apa? Tahu makan aje." Aisya mencebir sambil tangannya ligat memotong tembikai.
"Okeylah tahu makan dari orang tu tahu tidur aje," bidas Adam.
"Hisy! Dahlah kamu ni. Bergaduh aje." Puan Syazana mencelah. "Along, pergi naik mandi. Lepas tu, kita makan sama-sama," arahnya.
"Hah, elok juga tu! Bau dah macam makanan basi," perli Aisya.
"Bluek!" Adam sempat jelir kepada Aisya sebelum melangkah ke kamarnya.
Beginilah gelagat dua beradik ini. Apabila dekat, bergaduh bagaikan anjing dengan kucing. Apabila berjauhan, rindu mengalahkan pasangan bercinta.
Tidak lama kemudian, Adam turun ke ruang makan. Makanan sudah terhidang. Dia memandang satu per satu lauk di atas meja. Alhamdulillah. Dia mensyukuri segala nikmat yang diberikan Allah dalam hidupnya.
Matanya teralih ke arah ahli keluarganya yang sibuk bersembang di meja makan. Bagi Adam, ini adalah nikmat terbesar sepanjang hidupnya. Dianugerahkan keluarga yang saling mengasihi.
"Hah, along! Terjegat apa lagi kamu di situ? Jom kita makan. Abi dah lapar ni," tegur Sheikh Ahmed.
Adam ambil tempat di sebelah abinya.
Semua yang berada di meja makan menadah tangan lalu Adam membaca doa makan. Sebaik bacaan doa tamat, mereka mengaminkan. Masing-masing mula menjamah makanan.
"Amboi, along! Berseleranya kamu hari ni," tegur abinya.
"Ha'ah. Macam tak makan setahun abang ni." Maira, adik bongsunya pula mencelah.
"Tak adalah. Siang tadi tak sempat makan, abi. Ramai sangat pesakit hari ni. Lagi satu ni hah... ayam goreng kunyit umi ni sedap sangat. Mana tak seleranya?"
"Along ni kalau ayam goreng kunyit memang dia makan rakus macam ni," sampuk Nuh, anak keenam dalam keluarga itu.
Ya. Adam ada ramai adik. Ini baru yang ada di rumah, itu belum lagi yang berada di asrama dan yang sedang bekerja di luar negara.
"Habislah bakal isteri dia nanti hari-hari nak kena masak lauk sama aje."
Adam menjeling Aisya. Budak ni memang sengaja bangkitkan isu sensitif ini di meja makan.
"Along kamu ni dah ada calon isteri ke?" Dengan teruja Puan Syazana bertanya kepada Aisya. Belum pernah dia mendengar anak terunanya itu menjalinkan hubungan percintaan dengan mana-mana gadis. Namun, sengaja dia bertanya begitu untuk meminta kepastian.
YOU ARE READING
Sisakan Aku Waktu | TERBIT
RomanceAdam Fawaaz, dianugerahkan tuhan satu kelebihan; dia dapat melihat kisah silam setiap manusia yang bertentang mata dengannya. Namun itu adalah hal yang paling dia benci tentang dirinya. Baginya, ia merupakan suatu sumpahan dari tuhan. Sehingga takdi...