Prolog

20.4K 506 10
                                    

SATU set ay..." Belum sempat Qayla menghabiskan kata-katanya, pelayan wanita yang sedang mengambil pesanannya terus mencelah, "Set ayam penyet, sambal lebih, teh O ais, ais lebih." Wanita dalam lingkungan 40-an itu tersenyum memandang tepat ke arahnya.

Qayla angguk lalu menghulurkan RM14 kepada wanita tersebut. Tiada apa yang hendak dihairankan memandangkan dia merupakan pelanggan setia di restoran itu. Setiap kali menjejakkan kaki di universiti, dia pasti singgah di situ untuk mengisi perutnya sehinggakan pelayan restoran itu sudah maklum makanan dan minuman kegemarannya. Seketika kemudian, resit bayaran dihulurkan kepada Qayla.

Matanya meliar mencari tempat duduk. Dia tersenyum memandang meja di sudut restoran itu masih kosong. Itulah sudut yang paling dia suka.

"Kak, meja yang kat situ, ya." Kata Qayla pada Kak Tini, pelayan yang mengambil pesanannya tadi.

Kak Tini turut memandang sudut yang dimaksudkan oleh Qayla. "Oh, meja 3B. Okey."

Qayla mengatur langkah ke meja kosong itu lalu melabuhkan punggung di atas kerusi. Beg sandangnya diletakkan di atas kerusi di sebelahnya. Sekilas, dia memandang skrin telefon pintarnya. Baru jam 11.30 pagi, namun perutnya sudah pun berkeroncong minta diisi.

Matanya memandang sekeliling. Masih ramai pelanggan menunggu pesanan. Mungkin sempat untuk dia ke tandas dahulu. Dengan pantas, dia bangun dari tempat duduknya lalu menuju ke pintu keluar. Langkah Qayla terhenti untuk memberi laluan kepada seorang jejaka berkaca mata hitam yang baru melangkah masuk.

Seketika kelibat Qayla menghilang. Lelaki yang baru masuk sebentar tadi mengambil tempatnya di meja kosong setelah membuat pesanan. Cermin matanya ditanggalkan dan diletakkan di atas meja. Dia mengusap lembut matanya yang kepenatan.

'Ya Allah, Sampai bilalah aku kena terus pakai cermin mata hitam ni?' Adam mengeluh dalam hati.

Kehidupan sehariannya sungguh menyeksakan. Apa yang manusia lain fikirkan, Adam merupakan seorang jejaka yang poyo kerana hampir setiap masa dia memakai cermin mata hitam itu. Tambahan pula, dia selalu mengelak daripada memandang mata setiap orang yang berkomunikasi dengannya. Sebab itulah ada dalam kalangan mereka menganggapnya seorang yang sombong. Namun, di sebalik cermin mata hitam itu merupakan penyeksaan bagi dirinya. Dia tidak pernah merasa senang dengan keadaan matanya. Jika boleh, dia juga mahu hidup seperti manusia biasa tanpa perlu bergantung pada cermin mata hitam.

Tidak lama kemudian, seorang pelayan lelaki datang menghidangkan makanan di atas meja Qayla. Dia kemudian menghampiri Adam untuk menghidangkan makanannya. Sepinggan nasi dihidangkan ke meja Adam. Mata kedua-duanya bertembung.

Tiba-tiba pandangan Adam mula berpinar. Telinganya mula berdesing lalu suatu visual dan suara mula muncul dalam fikirannya.

"Ayah! Sakittt!" Jeritan anak lelaki itu langsung tidak diendahkannya.

Zaappp! Batang paip singgah di belakangnya.

"Ayah! Haziq minta maaf!"

Semakin kuat raungan anaknya, semakin kuat sebatan yang diberikan oleh lelaki itu

Mata Adam masih memandang wajah pelayan lelaki tersebut. Wajahnya kelihatan pucat dan lesu. Waktu seakan-akan terhenti. Adam ingin mengalihkan pandangan matanya, namun bebola matanya seolah-olah terkunci.

'Ya Allah, aku tidak mahu melihat semuanya.' Adam merayu dalam hati untuk dihentikan segala bayangan tersebut. Namun, visual itu terus bermain di fikirannya.

"Aku suruh kau cari duit tapi kau hilangkan duit!" Lelaki itu menengking anaknya yang sedang meraung kesakitan. "Kau ni memang tak guna! Sama macam mak kau! Dua-dua tak ada guna dalam hidup aku! Aku harap kau ma..."

Visual itu tiba-tiba terhenti.

Adam laju mengalihkan pandangan matanya dan memakai cermin mata hitamnya kembali. Pelayan tadi sudah beredar dari meja Adam.

Kenapa visual itu tiba-tiba hilang?

Adam hairan. Perkara begitu kerap berlaku dalam kehidupannya. Namun, kebiasaannya visual itu tidak akan berhenti separuh jalan seperti itu. Adam cuba menenangkan jantungnya yang berdegup laju.

Nafas ditarik perlahan-lahan lalu dihembus dengan penuh kelembutan. Matanya dipejam buat beberapa saat sambil menikmati udara yang memenuhi ruang dadanya.

Perlahan-lahan Adam membuka matanya lalu dia melihat Qayla yang sedang duduk di meja makannya.

Wajah Qayla bercahaya melihat makanan kegemarannya sudah terhidang. Laju sahaja tangannya menyuap nasi ke dalam mulut. Makan ayam penyet dengan nasi panas-panas waktu perut tengah lapar macam ni, Allahu. Allah sahaja tahu nikmatnya macam mana.

Dia menikmati makanannya dengan penuh kepuasan. Sementara Adam masih memandang Qayla yang sedang makan dengan penuh selera.

Adam ralit memerhatikan gadis di hadapannya sambil memikirkan suatu nikmat yang sudah lama tidak dia rasakan. Nikmat memandang mata manusia tanpa harus merasai kesakitan mereka.

Adam menguis-nguis nasi di hadapannya. Dia tidak sedar bila hidangannya sampai di meja. Seleranya terbantut apabila visual tadi melintasi fikirannya. Dia dapat merasakan keperitan yang dilalui lelaki tersebut. Emosinya sedikit terganggu. Meskipun sudah banyak layar gelap yang dilihatnya, dia tetap merasakan kesakitan setiap orang yang mengalaminya.

Sesekali, dia memandang ke arah pelayan tadi dan merenung wajahnya yang kepenatan. Adam memerhati langkah lelaki itu yang semakin perlahan.

Tiba-tiba badan lelaki itu jatuh ke lantai. Qayla dan pelanggan lain yang sedang menikmati juadah mereka serentak memandang ke arah tubuh pekerja lelaki tersebut. Adam tanpa berfikir panjang bangun lalu berlari menuju ke arah lelaki itu. Beberapa orang pekerja restoran turut datang mengerumuni mereka.

"Haziq!" jerit salah seorang daripada mereka.

Adam melutut di sebelah Haziq. Kepala Haziq dipusingkan ke sisi. Dia mengarahkan rakan Haziq untuk mengangkat kaki lelaki itu sedikit untuk menggalakkan aliran darah ke otak. Kemudian, butang baju Haziq dibuka Adam. Adam meletakkan belakang tangannya di atas dahi Haziq.

"Ya Allah, panas sangat ni!" ujarnya cemas. "Bagi saya satu mangkuk air sejuk dan kain bersih!" arahnya pula.

Qayla masih memerhati situasi itu dari tempat duduknya sambil berselera menjamah makanan. Dia ralit merenung wajah Adam yang berkaca mata hitam. Raut wajah lelaki itu memaparkan seribu kerisauan.

Adam mengeluarkan telefon pintar dari dalam saku seluarnya. Jari-jemarinya lincah mencari nombor seseorang dan mengalihkan telefon pintar ke telinganya.

Selang beberapa minit, datang sekumpulan anggota paramedik mengangkat Haziq keluar dari restoran.

Sisakan Aku Waktu |  TERBITWhere stories live. Discover now