HATI tua itu tenang menikmati pemandangan indah di kampung itu. Pertama kali datang, namun hatinya langsung terpaut. Hijau, damai tidak sekecoh bandar yang dia diami sejak kecil.
Andai sahaja dia dapat menghabiskan masa tuanya dalam suasana yang tenang, tanpa riak masam, tanpa perang mulut seperti yang dia hadapi setiap hati.
Pahit, tetapi itulah hakikat. Kaya tak semestinya bahagia. Syarifah Hasanah memiliki segala kemewahan, untuk tujuh keturunan pun tak mungkin akan habis. Kaya harta tetapi adakah dia bahagia? Dia mungkin mampu menakluki dunia tetapi bukan ketenangan dan kasih sayang.
Makanan yang dia nikmati setiap hari, tidak pernah sedikit, tidak pernah kurang rasa tetapi siapa yang menemaninya di atas meja makan itu kalau bukan dirinya sendiri? Ada suami, mati. Ada anak menantu, ada cucu tetapi terasa bagaikan tiada. Masing-masing terlalu sibuk melakukan hal sendiri. Sakit kan menjadi seorang insan tua yang bernama Syarifah Hasanah?
Pandangan Syarifah Hasanah tiba-tiba terhala ke arah seorang wanita muda, sekali gus menariknya ke alam nyata semula. Dia cantik, dia sempurna. Siapa sebenarnya wanita itu? Atas bawah tertutup sopan, senyuman di bibir pula tak pudar langsung. Dan... untuk sekali lagi jiwa tua Syarifah Hasanah terpaut.
"Maaf, puan. Terpaksa tunggu," ujar Ali sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Serba salah membiarkan majikannya itu menunggu lama. Ali adalah pemandu peribadi Syarifah Hasanah, sudah berkhidmat kepada wanita itu sejak lapan tahun yang lalu.
"Siapa perempuan tu, Ali?" tanya Sharifah Hasanah tanpa menghiraukan permohonan maaf Ali sebentar tadi. Sebenarnya dia tak kisah, bukannya dia perlu berpanas pun menunggu di dalam kereta mewahnya itu.
Ali kembali menoleh ke arah luar lalu tersenyum kecil. "Oh, itulah Zahra. Anak saudara saya."
"Zahra?" Syahrifah Hasanah menyebut dan cuba mengingat sebaris nama itu. Nama yang biasa namun kedengaran begitu indah, persis pemiliknya. "Jadi yang selalu jual kuih dengan nasi lemak kat office tu, Zahra ni lah ye?"
"Haah, dia ni lah puan. Zahra memang pandai masak. Rajin budaknya. Belajar pun pandai tapi sayang, tak ada rezeki untuk sambung. Habis SPM, dia terus tolong mak dia berniaga sampailah sekarang. Tapi arwah adik saya tu dah lama meninggal, lima tahun lepas."
"Sekarang ni, Zahra tinggal dengan siapa?"
"Seorang. Ara tu anak tunggal. Bapak dia pula dah lama dulu meninggal, masa Ara kecik lagi."
"Ara?"
"Ara tu nama nama panggilan dia kat kampung ni. Sebut je nama Ara, semua orang tahu dia pandai buat kuih dan nasi lemak."
"Tak kahwin lagi? Berapa sebenarnya umur Ara tu, Ali?"
"Teman lelaki pun dia tak ada, puan. Umur dia... kalau tak salah saya, 25, 26 macam tu lah."
"Oh, muda sangat dari Zairan," keluh Syarifah Hasanah perlahan sambil mengira jarak usia di antara Zahra dengan cucu sulungnya, Tuan Zairan. Ada riak hampa terpalit pada wajah tua itu.
Ketika melihat Syarifah Hasanah tidak lagi bertanya, Ali terus memandu pergi meninggalkn kawasan rumah Zahra itu. Tadi dia singgah ke sana kerana mahu menghantar duit jualan kuih-muih dan nasi lemak yang dipesan oleh staf-staf di syarikat Syarifah Hasanah. Setiap kali mengadakan jamuan kecil, mereka lebih suka membuat tempahan makanan daripada Zahra. Lebih daripada sedap kata mereka.
"Anak saudara awak tu nak tak kalau saya kahwinkan dia dengan Zairan?" Kembali bersuara namun yang membuatkan Ali terkejut ketika majkannya itu tiba-tiba sahaja membawa topik kahwin.
Sekejap, dia terus menilai tentang diri Zahra. Zahra memang sempurna paras rupanya, rajin, dan sopan tingkah lakunya tetapi adakah semua itu cukup untuk seorang lelaki hebat, bekerjaya seperti Tuan Zairan? Tambahan pula, Zairan itu seorang insan yang angkuh, yang selalu menjaga kedudukannya. Mana mungkin dia mahu menerima seorang gadis kampung yang tidak memiliki apa-apa seperti Zahra itu untuk menjadi isterinya.
"Tapi bukan ke Tuan Zairan tu dah ada teman wanita, puan?" Ali sekadar mengingatkan namun dengan niat mahu menolak bagi pihak Zahra.
"Awak rasa saya akan berkenan ke dengan budak Eva tu, Ali? Dah macam... " Syarifah Hasanah pantas menguru dada, membayangkan tentang penampilan teman wanita cucunya itu benar-benar membuatkan dia sesak nafas. Penampilan yang terbuka, belum lagi jika mahu diceritakan tentang sikapnya yang mengada-ada itu. Entah bagaimanalah Zairan boleh berkenan!
"Saya nak sebut pun tak sanggup, Ali. Orang tua Zairan tu mungkin tak kisah, tapi daripada Zairan tanggung bala menikah dengan perempuan macam tu, elok halang awal-awal. Kalau boleh, biarlah penyambung keturunan saya daripada yang baik-baik saja, Ali. Miskin kaya bukan ukuran, semua tu tak penting. Zairan seorang je cucu kandung saya. Saya berkenan sangat dengan Zahra. Kalau awak dapat pujuk Zahra, saya akan pastikan hidup awak sentiasa senang, Ali."
"Tapi Tuan Zairan nak ke, puan? Tan Sri dengan Puan Sri pulak macam mana? Saya bukan nak menolak, saya cuma tak nak dianggap jual anak pulak."
"Tolonglah, Ali. Tolong pujuk Zahra supaya setuju. Tentang Zaim dengan Fizah, awak tak payah risau. Mereka tak boleh menidakkan permintaan saya kali ni, Ali. Kalau mereka berani menentang, saya akan pastikan seluruh harta saya akan jatuh pada tangan Hadif, walaupun Hadif pun bukan anak kandung saya." Syarifah Hasanah berujar tegas dan dia tidak main-main dengan kata-katanya itu. Sudah bertekad, akan mengahwinkan cucu sulungnya dengan Zahra walau dengan keadaan apa sekalipun.

YOU ARE READING
Bukan Wanita Simpanan
RomancePerkahwinan secara rahsia yang berlaku di antara Tuan Zairan dan Zahra. Benarkah rasa cinta di antara mereka tak pernah wujud? Kalau benar, mengapa dirinya tidak dilepaskan sahaja? Dia adalah seorang isteri tetapi tidak dianggap. Angkuh mulut Tuan...